kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pelan ambil alih kuasa Mao Tse-tung

Menjelang penghujung tahun 1960-an, dua puluh tahun selepas penubuhan negara komunis China, hampir semua pemimpin kanan parti yang rapat dengan Mao Tse-tung sejak ‘hari pertama’ Parti Komunis China (PKC) melancarkan Revolusi Cina – sudah kehilangan kuasa, sama ada dalam parti atau kerajaan. Mereka yang tersingkir itu kebanyakannya disebabkan mereka menentang secara terbuka atau halus dasar-dasar Mao yang dianggap mendatangkan kesan buruk terhadap rakyat China.

Seperti saya katakan dalam coretan Mingguan Malaysia 15 Jun 2014, negara China telah mengalami kehilangan 36 juta manusia semata-mata kerana tidak cukup makan akibat dasar gila Mao Tse-tung yang digelar Great Leap Forward (1958-1962). Jumlah ini bagi tempoh itu sahaja. Penulis Jung-Halliday, dalam bukunya Mao: The Unknown Story, berkata 70 juta rakyat China telah terkorban di bawah pemerintahan Mao selama 27 tahun (1949-1976) itu. Inilah yang mendorong Liu Shao-chi, sebagai Presiden China, semasa berucap di depan kongres parti yang dihadiri 7,000 perwakilan menyelar dasar gila Mao itu, dan menggesa ia segera diberhentikan. Tetapi, demikianlah berakhirnya riwayat perjuangan Liu Shao-chi yang terseksa hanya kerana ingin memperbaiki keadaan hidup rakyat China.

Dengan kematian Liu Shao-chi pada 12 November 1969 itu, maka tidak ada lagi pemimpin kanan yang berani mengkritik Mao secara terbuka. Deng Xiao-ping, seperti halnya Liu Shao-chi, telah ‘dibuang negeri’ ke Nanchang, wilayah Jiangxi, selatan China. Di situ dia dan ahli keluarganya menyara hidup sebagai petani menanam sayur. Mereka diperintahkan tidak boleh keluar dari kawasan kediaman mereka melainkan jika mendapat kebenaran daripada parti komunis. Peng De-huai, seorang Marsyal yang sangat berjasa semasa peperangan menentang Jepun dan Kuomintang, dan sebagai bekas Menteri Pertahanan China yang pertama, telah juga dibuang negeri ke wilayah Shaanxi, bahagian tengah China sejak ­­1959 – kerana keberanian mengkritik secara terbuka dasar Mao.

Yang tinggal hanya Chow En-lai, tetapi dia bersikap pak turut. Dia menurut apa sahaja kehendak dan kemahuan Mao Tse-tung asalkan kedudukannya – dalam parti dan kerajaan– tidak terjejas. Reaksi dan sikap Chow di sepanjang menghadapi sepak-terajang berbagai tahaluf siyasi kalangan pemimpin kanan parti pada waktu itu lebih untuk menentukan supaya dirinya tidak terpalit, pada pengamatan Mao Tse-tung. Saya beri satu contoh klasik yang jelas menyerlahkan sikap Chow En-lai ini: selepas Kongres ke-9 Parti Komunis China awal April, 1969 apabila Mao telah menghabiskan banyak masa mengutuk tingkah-laku Liu Shao-chi dan Wang Guang-mei (isteri Liu), Lin Biao, tanpa arahan parti, telah menyediakan satu senarai nama pemimpin parti yang perlu dihapuskan serta-merta. Pihak tentera yang di bawah kawalannya akan menjalankan kerja itu.Nama teratas dalam senarai itu ialah Wang Guang-mei.

Chow En-lai menandatangani senarai itu,kemudian segera membawanya kepada Mao untuk kelulusan. Tetapi, Mao memutuskan tidak bersetuju Guang-mei dibunuh. Menurut Mao, salah laku Guang-mei tidaklah sampai dia perlu dihapuskan. Kononnya, Chow kemudian telah memberitahu Mao: “Saudara Pengerusi, anda cukup bertimbang rasa.” (Pengerusi bererti Pengerusi Parti Komunis Cina). Anda yang membaca coretan ini boleh membuat kesimpulan sendiri apakah jenis kepimpinan yang ditunjukkan oleh Chow itu.

Lin Biao ketika itu merasakan kedudukannya dalam hierarki kepimpinan parti sudah cukup kuat.Penat-lelahnya ‘mempertahankan’ Mao Tse-tung telah berhasil semacam tanpa batasan apabila dia dinobatkan sebagai pengganti Mao. Penobatan ini diselitkan dalam perlembagaan parti komunis menerusi satu pindaan yang dibuat pada September 1969. Dengan sikap besar kepala itu, Lin Biao mula merancang untuk merampas kuasa politik. Dia meneliti beberapa kemungkinan. Pertama, dia percaya bahawa Mao Tse-tung sebenarnya tidak menaruh kepercayaan penuh kepadanya, bukan saja kerana memang begitulah sikap dan putar-belit politik Mao, malah dia mengesyaki Chow En-lai tidak akan berganjak daripada menumpukan kesetiaannya kepada Mao. Lin Biao menilai bahawa Chow akan berubah sikap terhadapnya sebaik-baik sahaja Mao mati. Jadi, dia kena bertindak segera. Jiang Qing juga membebani pemikiran Lin Biao. Sungguhpun Jiang Qing tidak menyimpan hasrat yang kuat untuk mengganti suaminya dalam parti, dia diketahui menaruh minat menempatkan anggota termuda Gang of Four, Wang Hong-wen, pemuda tampan dari Shanghai itu, sebagai ‘pewaris’ Mao Tse-tung. Jiang Qing hanya menunggu masa yang sesuai sebelum bertindak mempertegaskan kehendaknya. Ada pula sumber mengatakan, Jiang Qing yang umurnya jauh lebih muda daripada Mao, ada menjalin hubungan sulit dengan pemuda Shanghai yang kacak itu dan ingin menjadi isterinya apabila Mao telah mati.

Sebagai Menteri Pertahanan China, Lin Biao yakin angkatan tentera China, yang telah dipimpinnya sejak sepuluh tahun, akan berdiri teguh di belakangnya jika dia mengambil keputusan merampas kuasa. Soalnya, apakah caranya untuk dia melaksanakan rampasan kuasa itu? Adakah dengan membunuh Mao? Atau, dengan mencipta suatu gagasan kononnya wujud suatu komplot jahat hendak mengguling Mao Tse-tung dan Mao perlu diselamatkan? Dalam proses melindungi dan menyelamatkan kedudukan Mao itulah, maka segala kuasa Mao Tse-tung lambat-laun akan dihakis dan dihapuskan.

Cara yang kedua itulah juga yang cuba dipakai oleh Parti Komunis Indonesia (PKI) waktu pemerintahan Presiden Soekarno pada pertengahan 1960-an. Bezanya, apa yang dibilang gerakan Gestapo 30 September 1965 PKI – singkatannya gerakan G30S/PKI – telah diatur dengan cukup teliti serta dengan pengetahuan mutlak dan tanpa batas oleh Presiden Soekarno sendiri. Dalam gerakan G30S/PKI itu, Parti Komunis Indonesia telah mencipta apa yang digelarnya Dewan Jeneral yang berhasrat mengkudita Presiden Soekarno. Dewan Jeneral itu sebetulnya tidak ada, ia hanya alasan PKI untuk merampas kuasa daripada Presiden Soekarno jika G30S/PKI itu mencapai matlamatnya. Ikutilah coretan saya di minggu hadapan apakah kesudahannya rancangan Lin Biao itu. - Rahim Noor Utusan Malaysia Rencana 18 Jan 2015

Tags: komunis, mao
Subscribe

  • Bersuaralah

    Pada saat permintaan komunikasi yang telus di tempat kerja berada pada tahap premium, ramai yang masih tidak bersuara dan memberi pandangan yang…

  • Falsafah politik adalah ideologi?

    Ahli politik tak lagi cenderung soal falsafah, ideologi - Musa Hitam (7/3/2021) menjadi tajuk salah satu berita. Ahli falsafah politik…

  • Falsafah dan ideologi sudah mati?

    Ahli politik di negara ini tidak lagi memikirkan hal falsafah dan ideologi, sebaliknya mereka hanya mementingkan sokongan untuk kelansungan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments