Untuk sekian kalinya saya terus menaip perkataan 'warga asing' dalam ruangan ini. Kisah ini tidak ada kesudahannya sehingga kerajaan benar-benar tegas mengawal kemasukan pekerja asing sama ada yang memegang permit ataupun masuk secara haram.
Pendedahan beberapa media tempatan termasuk Utusan Malaysia berkenaan aktiviti rakyat asing merebut peluang ekonomi di negara ini dengan bekerja hampir di semua sektor dan berniaga, menunjukkan betapa orang kita hanya selesa dengan apa yang ada. Dapat lesen dan permit digadainya kepada warga asing. Sebab itulah banyak premis perniagaan di ibu kota dijaga atau sudah dimiliki oleh warga asing.
Kata A. Hadi dalam e-melnya kepada saya, penyakit ini bukan sahaja ‘hak eksklusif’ orang Melayu malah turut berjangkit kepada kaum lain. Buktinya warga asing mula menguasai perniagaan Chinatown di Jalan Petaling dan Plaza Low Yat dekat Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang selama ini diketahui umum sebagai kawasan peniaga Cina. Sudahlah begitu, para majikan pula kini begitu ketagih kepada buruh murah dari luar. Membiarkan perkembangan ini, A. Hadi percaya satu hari nanti anak-anak Melayu yang berkelulusan SPM pun mungkin sukar bersaing dengan pekerja asing di sektor perkilangan.
Jika dahulu, kedai-kedai 24 jam mengupah remaja tempatan sebagai juruwang sambilan atau tetap, kini bukan sahaja KK Mart malah 7 Eleven turut menggaji juruwang warga asing. Warga Nepal (Gurkha) pun sudah diambil bekerja dalam sektor perkhidmatan itu yang sebelum ini hanya dikhususkan bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Kalau kita ke restoran dan hotel, berpuluh-puluh warga Myanmar dan Bangladesh yang melayan dan menyajikan makanan ke meja kita. Mana perginya budak-budak lelaki dan perempuan tempatan yang berkelulusan sijil perhotelan? Adakah rakyat Malaysia terutamanya anak-anak Melayu begitu malas sehingga bukan sahaja tidak mahu bekerja di tapak pembinaan dan ladang kelapa sawit malah tidak mahu bekerja di tempat berhawa dingin? Tiada maknanya kerajaan berjaya mewujudkan banyak peluang pekerjaan jika rakyat kita tidak mendapat manfaat.
Apabila warga asing menguasai semua sektor pekerjaan maka tinggallah anak-anak Melayu menjadi mat rempit, kaki ragut dan mat dadah, mat ketum dan sebagainya. Berpesta dan bersuka-ria tanpa had siang malam, sedangkan warga asing bertungkus-lumus membangunkan negara kita. Mereka memang rajin bekerja dan berani merebut apa sahaja peluang di depan mata. Kata A. Hadi, jika beginilah keadaannya tidak mustahil pada tahun 2020 mereka pula jadi ‘tuan’ di negara kita ini manakala orang Melayu jadi kuli.
Usahawan Bumiputera Cepat Mengalah
Cuba beritahu saya, apa lagi bantuan yang Kerajaan Pusat belum bantu. Tetapi kenapa masih banyak peniaga tempatan terutama bumiputera masih belum berjaya?
E-mel daripada Pengerusi Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Muda Nasional atau Perdasama Muda, Feruddin Emir Moehamad Izat Emir memberitahu saya bahawa kerajaan banyak menghulurkan bantuan langsung dan tidak langsung kepada masyarakat seperti BR1M, Klinik Rakyat, Kedai Rakyat dan sebagainya bagi golongan berpendapatan ren-dah. Pada masa sama kerajaan juga ada menyediakan bantuan bagi golongan peniaga dan usaha-wan bumiputera. Sebagai contoh pinjaman SME, pinjaman Tekun oleh Mara, bantuan Geran oleh Teraju, bantuan kewangan kepada koperasi dan sebagainya.
Sepanjang pengalaman Feruddin sendiri, banyak bantuan ini kurang mendapat sambutan daripada golongan sasaran itu sendiri, iaitu usahawan Melayu. Contohnya, permohonan bantuan Geran Per-mulaan Perniagaan melalui SME di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada tahun 2008, majoriti daripada rakan Feruddin menerima pembayaran tersebut. Mereka menghormati sikap profesional pegawai kerajaan kerana hadir ke pejabat mereka dan memeriksa segala dokumen serta operasi perniagaan. Ini bagi memastikan bahawa geran tersebut digunakan dengan berhemat serta efektif tanpa sebarang prejudis, dan bagi mengelakkan penyalahgunaan dana.
Begitu juga dengan Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (Superb) oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang kini mendapat sambutan hangat sehingga permintaan melebihi penawaran. Geran Superb ini ditawarkan kepada syarikat baru yang kurang daripada tiga tahun penubuhannya serta mempunyai inovasi dan potensi untuk diniaga dalam pasaran. Sekiranya pemohon tidak layak, Teraju melalui Yayasan Usahawan Baru (myNEF), akan menawarkan program latihan bagaimana ingin membuat penyediaan rapi untuk memohon geran akan datang atau terus melatih entiti perniagaan tersebut agar dapat mencapai objektif mereka. Ini bermakna kerajaan tidak menafikan usaha pemohon sebaliknya menawarkan program dan aktiviti yang membawa nilai tambah kepada mereka yang baharu mula berniaga.
Kerajaan komited dan dedikasi dalam mewujudkan lebih ramai usahawan dan peniaga baharu. Terpulang kepada peniaga dan usahawan terutamanya golongan Melayu muda untuk mengambil peluang tersebut. Feruddin mendapati banyak peniaga serta usahawan Melayu kurang berminat atau mudah mengalah apabila diberi peluang sebegini. Sekiranya peluang yang sama diberikan kepada bukan Melayu, kita yakin bahawa kuota akan habis dalam tempoh masa yang pantas. Kita tidak perlu lihat jauh, contoh terdekat ialah pelaburan ASB yang masih banyak lagi orang Melayu tidak melabur.
Atas kesedaran ini kata Feruddin, Perdasama Muda menjalankan program Akademi PROGerak (Akademi Kepimpinan dan Ekonomi Melayu Islam). Program Akademi ini akan memberikan beberapa jenis latihan yang terbahagi kepada tiga kategori (3B) – Belum berniaga, Baharu berniaga dan Besarkan perniagaan. Dalam Akademi, mereka akan kenal pasti pengisian latihan dan mengajak beberapa agensi kerajaan untuk turut serta seperti SSM, Tekun, MyNIC, Teraju, Mara, dan Telekom Malaysia. Untuk maklumat lanjut layari e-mel: perdasamamudanasional@gmail.com. Kalau warga asing boleh maju berniaga, kenapa tidak anak tempatan? - Azman Anuar Utusan Malaysia Rencana 18 Jan 2015