kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

10 fakta terkini AirAsia

AIRASIA seperti yang kita semua ketahui, sedang berdepan dengan tragedi pesawat terhempas pada 28 Disember 2014. Sehingga Jumaat lalu, seramai 51 mangsa daripada 162 penumpang pesawat QZ8501 telah ditemukan.

Ramai yang pening untuk memahami pemilikan AirAsia. Pesawat yang jatuh itu milik AirAsia Indonesia. Jenama AirAsia bermula di Malaysia. Begini huraiannya:

Secara umumnya, ia sama seperti konsep francais iaitu AirAsia yang diasaskan oleh Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamaruddin Meranun pada tahun 2001, mewujudkan syarikat usaha sama dengan syarikat di negara yang diteroka.

Berbeza dengan francais makanan contohnya, industri penerbangan dijaga dengan ketat oleh semua negara. Ia menyentuh soal kedaulatan dan menjaga kepentingan rakyat. Setiap negara mewajibkan pemilikan ekuiti majoriti misalnya 51 peratus tempatan, dan 49 peratus asing.

Dalam tempoh sedekad ini, AirAsia membentuk lima syarikat seumpamanya iaitu Thai AirAsia, Indonesia AirAsia, Philippines AirAsia, AirAsia Zest dan AirAsia India, selain daripada operasi Malaysia AirAsia. Untuk operasi jarak jauh, ia memiliki AirAsia X, Thai AirAsia X dan Indonesia AirAsia X. Operasi AirAsia Jepun masih digantung.

Berdasarkan konsep di atas, AirAsia merintis jalan bagi meyakinkan setiap kerajaan negara terbabit untuk menyelaras standard dan merasionalkan sektor penerbangan masing-masing. Proses ini berterusan, seiring dengan matlamat AirAsia untuk meluaskan lagi jenamanya ke peringkat global.

Operasi AirAsia melangkaui model perniagaan tradisional iaitu 'pesawat negara’ seperti MAS untuk Malaysia, Garuda bagi Indonesia atau SIA untuk Singapura. Apabila sesebuah syarikat penerbangan menggunakan satu jenama sahaja, ia mewakili semua entiti dan bukan sekadar satu negara semata-mata.

Inilah sebab bila berita pertama pesawat AirAsia Indonesia terhempas, rakyat Malaysia yang pertama terkejut dan sedih. Selepas MAS, tragedi AirAsia ini sama memilukan. AirAsia bagi kebanyakan rakyat Malaysia, dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia.

Faktor yang sama juga memperjelaskan kenapa Tony Fernandes yang menjadi jurucakap syarikat kepada kaum keluarga mangsa dan media massa, tetapi bukan pemilik majoriti AirAsia Indonesia.

Berikut ialah sembilan lagi faktor yang perlu anda ketahui tentang AirAsia:

1 - AirAsia Indonesia beroperasi di Indonesia menerusi PT Indonesia AirAsia, syarikat usaha sama antara AirAsia International Ltd. dengan PT Awair International pada Disember 2004, dan sejak 10 tahun lalu, beroperasi di Jakarta, Bandung, Bali, Surabaya dan Medan.

2 - Bersama dengan pengurusan Indonesia Airasia, pengasas bersama AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun dan Tan Sri Tony Fernandes telah turun padang membantu sejak hari pertama pesawat terhempas, ke pusat krisis di Indonesia dan Singapura bertemu dengan keluarga mangsa.

3 - Warga Airasia serantau terbang ke Surabaya memberi bantuan kepada rakan-rakan mereka. AirAsia Indonesia melantik seorang 'penjaga’ kepada setiap keluarga untuk sebarang bantuan seperti pengangkutan, penginapan dan sokongan emosi.

4 - Tony mengutus surat kepada semua pelanggan AirAsia menyatakan penghargaan atas sokongan berterusan mereka. Dalam surat itu, dia menulis: "Beberapa minggu kebelakangan ini merupakan detik yang paling sukar dalam kehidupan saya sejak memulakan AirAsia 13 tahun lalu. Saya mahu menyampaikan rasa terima kasih atas sokongan yang anda berikan. Meskipun dalam situasi paling sukar sekarang, akan terus menjadi yang terbaik di dunia dan lebih baik untuk anda’’.

5 - Penampilan Tony mendapat reaksi positif di Indonesia. Seorang teman Editor Bersekutu di Jakarta, Krisnadi Yuliawan berkata, orang Indonesia menganggap Tony menguruskan krisis ini dengan baik. "Ini kerana beliau bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa Indonesia. Dan beliau tidak lokek memuji usaha Basarnas dalam operasi mencari mangsa’’.

6 - Dalam sosial media, beribu-ribu mesej sokongan dan galakan diberikan kepada AirAsia. Hashtag #togetherWEstand diwujudkan dalam kalangan kakitangan AirAsia sebagai tanda ingatan dan hormat kepada penumpang dan rakan-rakan yang terkorban. Dalam Instagram, sebanyak 19,368 perutusan disiarkan.

7 - AirAsia Allstars memakai reben hitam dan putih sebagai tanda berkabung. Logo AirAsia pada laman web dan saluran lain ditukar warna kepada kelabu.

8 - Sebagai pemilik kelab Queens Park Rangers, Tony sering memberi ulasan dalam Twitter tentang prestasi pasukan. Sejak insiden itu, fokus Tony tertumpu kepada krisis. Para penyokong QPR merinduinya.

9 - Di sebalik tragedi itu, AirAsia tidak melupakan tanggungjawab membantu mangsa banjir di Pantai Timur baru-baru ini. Ia menyediakan ruang kargo percuma untuk mengangkut barang bantuan seperti makanan, ubat dan pakaian. Sebanyak 36 tan barangan telah diangkut ke Kota Bharu dengan lebih 182 pegawai perubatan dan sukarelawan.

Tags: ekonomi
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments