kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Musibah boleh merintis jalan muhasabah

BANJIR lumpur yang berlaku di Kelantan ibarat tsunami senyap amat menyayat hati. Kerosakan pada rumah dan harta benda bukan kepalang. Proses pemulihan menelan belanja yang besar dan menuntut kerjasama banyak pihak.

Setiap musibah yang terjadi bersebab dan ada hikmah di sebaliknya bagi yang mahu merenung dan menginsafi ujian Allah. Kisah banjir Nabi Nuh dalam al-Quran dijadikan ibrah atau teladan betapa kedegilan manusia menerima kebenaran mendatangkan kemurkaan Allah.

Tsunami Aceh yang berlaku 10 tahun lalu musibahnya adalah perseteruan yang sangat tajam dalam kalangan warga umat dan berbunuhan sesama sendiri dan keras hati serta tidak bersedia mencari jalan muafakat akibat dendam kesumat yang mendalam. Akhirnya musibah tsunami yang dahsyat itu menyebabkan mereka bersatu semula.

Banjir lumpur yang berlaku di Kelantan pada hemat penulis mempunyai dua sebab. Pertama, penggondolan bukit dan banjaran atas nama pembangunan dan melibatkan kepentingan pihak luar yang mengaut keuntungan berganda-ganda. Ia merosakkan amanah pengurusan negeri. Ini yang disebut oleh al-Quran kerosakan alam akibat perbuatan tangan-tangan manusia.

Kedua, musibah akibat pertentangan antara dua kelompok umat Islam di Kelantan berlarutan berdekad-dekad lamanya. Tuduh-menuduh dan label-melabel terjadi. Umat menjadi lemah dan proses menjaga kebajikan rakyat negeri tidak terjadi seperti sepatutnya.

Apakah musibah banjir lumpur ini gambaran musibah Allah supaya umat Melayu menginsafi bahawa kemurkaan Allah boleh berulang lebih dahsyat lagi sekiranya kedegilan untuk menginsafi kelemahan-kelemahan lalu tidak diperbaiki.

Apa yang sedang terjadi dalam kalangan segelintir pihak ialah menyalahkan orang lain, tidak merasa bersyukur dengan bantuan, masih berfikir cara parti dan politik dan menabur fitnah untuk menyalahkan pihak lain.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob kelihatan mempunyai jiwa besar untuk membina kerjasama dengan Kerajaan Pusat bagi menghadapi musibah banjir walaupun tidak semua orang Pas bersetuju dengan cara beliau.

Pilihan yang beliau ambil adalah sesuatu yang praktikal dan bijaksana kerana adalah mustahil musibah yang begitu dahsyat dapat dipulihkan dengan upaya kewangan kerajaan negeri yang terbatas. Ia memerlukan bantuan Kerajaan Pusat supaya rakyat Kelantan dapat bangun semula seperti sediakala malah lebih maju lagi.

Orang Kelantan terkenal dengan daya maju yang tinggi dalam perniagaan dan pendidikan. Potensi ini boleh dibangunkan kembali supaya Kelantan baharu adalah terdiri dalam kalangan mereka yang insaf perlunya hikmah dari banjir dirasai dan pentingnya muafakat sesama umat Islam berlaku supaya masa tidak terbazir dengan perpecahan berasaskan kebencian yang melemahkan potensi.

Muafakat yang berlaku tidak sekadar usaha-usaha pemulihan pasca banjir tetapi pemulihan kerjasama dalam hal-hal yang lebih pokok harus terjadi. Terlalu banyak politiking yang berlaku pada masa lalu hingga menyebabkan titik pertemuan tidak berlaku. Sehingga Allah perlu campurtangan menimbulkan asbab banjir yang dahsyat baru tergerak untuk bekerjasama.

Kerjasama yang sedang berjalan antara kerajaan Kelantan dengan pihak Kerajaan Pusat mengenai pembaikan Enakmen Jenayah Syariah umpamanya adalah suatu contoh yang berjiwa besar supaya faktor syariah boleh diterima walaupun tentangan adalah banyak.

Kunci kepada kekuatan ini adalah keikhlasan mengatasi resam politiking yang merugikan kepentingan umat Islam. Tanpa keikhlasan hasilnya tidak akan meninggalkan barakah. Hal yang sama juga dengan kerjasama pemulihan banjir ini harus terjadi dengan ikhlas. Kalau politiking terus terjadi seolah-olah kita tidak menjadikan bencana banjir itu sebagai iktibar dan bila pemulihan sudah terjadi kita kembali kepada cara lama yang merugikan.

Harus berlaku renungan yang mendalam atas keinsafan hikmah kejadian untuk merintis rasa persaudaraan yang tinggi sesama Islam kerana penulis percaya orang Kelantan sudah lama menginginkan suasana yang lebih damai ke arah pembangunan. Dan kalau kedegilan itu masih terjadi percayalah Allah akan menimbulkan asbab lain kerana Allah amat membenci sikap permusuhan sesama warga umat dan mahu warga umat melakukan muhasabah supaya ukhuwah terbina. - Jendela Tok Ki Utusan Malaysia Rencana 20 Jan 2015

Tags: musibah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments