kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Ujian integriti dan ketelusan SPRM

Ujian integriti! Tahun ini tahun kelima warga kerja Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tertakluk kepada pelaksanaan Ujian Integriti. Justeru, SPRM melihat ujian integriti menjadi asas kepada penerusan membudayakan amalan-amalan positif dan murni secara menyeluruh bagi membolehkan SPRM merealisasikan aspirasi SPRM.


KETUA Pesuruhjaya SPRM (kanan), Abu Kassim Mohamed bersalaman dengan pegawai-pegawai SPRM di Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 14 Bil. 2/2013 di Dataran Kawad SPRM Johor, pada Ogos tahun lalu.

SPRM melihat suruhanjaya bebas ini perlu menjadi contoh dalam soal membudayakan nilai-nilai integriti. Oleh itu, apabila ada pihak bertanya apakah azam tahun 2015, penulis menekankan bahawa pengurusan tertinggi telah memutuskan agar ada satu pendekatan bagi memastikan pelaksanaan ujian integriti terus dipertingkatkan.

Ujian integriti ini bukan hendak menakutkan warga kerja. Sebaliknya menjadi panduan dan pengukur dalam menjadikan organisasi ini terus disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat sama ada di dalam ataupun luar negara.

Malah perkara ini menjadi sebahagian sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) SPRM. Di mana Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme diberi tanggungjawab dengan memfokus misi meningkatkan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan, meningkatkan kecekapan dan ketelusan tadbir urus, meningkatkan integriti dalam kalangan warga SPRM dan meningkatkan inovasi dan kreativiti dalam kalangan warga SPRM.

Tahun ini adalah tahun ketujuh SPRM dibentuk menggantikan Badan Pencegah Rasuah. Entiti baru sebagai entiti bebas di mana pada masa sama rakyat tidak kira lapisan meletakkan harapan tinggi dalam misi pencegahan rasuah.

Pelaksanaan ujian integriti di SPRM adalah berdasarkan Pelan Integriti 2011-2015 yang menetapkan warga baharu SPRM terutama pelatih kursus asas hendaklah diuji tahap integriti mereka semasa dalam latihan. Kini pelaksanaannya diperluaskan melibatkan seluruh warga SPRM - dari peringkat atasan sehinggalah peringkat rendah. Pelaksanaan ujian integriti di SPRM terdiri daripada beberapa kaedah, antaranya:

i. Pelaksanaan mystery cal­ler (penyamaran telefon) yang dilaksanakan sepanjang tahun bagi memastikan mutu perkhidmatan pegawai khidmat pelanggan SPRM di seluruh negara berada di tahap terbaik

ii. Mystery Shopping (pe­meriksaan mengejut) ke atas perkhidmatan yang disediakan untuk kemudahan pelanggan oleh pejabat SPRM seluruh negara adalah memenuhi piawaian yang ditetapkan seperti paparan piagam pelanggan, visi dan misi, carta organisasi dan peti cadangan serta penyampaian perkhidmatan sentiasa berada di tahap yang tinggi dan memberi kepuasan kepada rakyat

iii. Ujian integriti (Integrity Testing) dilaksanakan atas setiap warga baharu SPRM semasa latihan kursus asas dan juga secara rawak ke atas pegawai yang sedang berkhidmat tanpa mengira peringkat dan pangkat berdasarkan maklumat atau aduan berkaitan salah laku ditohmah melakukan perlanggaran tata kelakuan.

Selain itu, SPRM juga dari semasa ke semasa mengendalikan ujian psikologi ke atas warga kerja SPRM. Turut diadakan adalah ujian air kencing secara mengejut, di mana ia dilakukan secara rawak ke atas warga SPRM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM). Ia pertama kali dilaksanakan pada Oktober 2014.

Ujian berkenaan adalah bagi memastikan warga kerja SPRM di semua peringkat agar tidak berada dalam pengaruh dadah, barangan terlarang mahupun alkohol.

Selaras dengan program transformasi, SPRM mengambil langkah proaktif bagi memastikan pegawai-pegawai SPRM memperlihatkan tahap integriti dan kredibiliti yang tinggi sepanjang masa.

Pelan Integriti SPRM 2010-2015 digubal bagi meningkatkan keutuhan pengurusan dan menjadikan SPRM sebuah institusi yang profesional dan unggul dalam aspek membudayakan integriti dan nilai-nilai murni bagi melaksanakan fungsinya iaitu membanteras segala bentuk rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan secara sistematik dan berkesan.

Pelan ini juga bertujuan membentuk jati diri, akauntabiliti dan keperibadian yang tinggi dalam kalangan warga kerja serta memupuk sikap bertanggungjawab bagi memberi perkhidmatan yang terbaik untuk kepuasan pelanggan sejajar dengan visi dan misi SPRM.

Sebagai sebuah suruhanjaya yang bertanggungjawab terhadap rakyat, stakeholder serta pelanggan keseluruhannya, SPRM sentiasa mengambil inisiatif mempertingkatkan imej dan integriti.

Oleh itu, usaha-usaha penambahbaikan perkhidmatan yang diberikan oleh SPRM diiringi dengan pemantapan dan pengukuhan integriti bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan SPRM.

Dalam melaksanakan fungsi, SPRM memberikan penekanan kepada tiga prinsip utama iaitu kebebasan, ketelusan dan profesionalisme berlandaskan nilai amanah, tegas dan adil bagi memperkukuhkan integriti dalam kalangan warganya, di samping mewujudkan suasana yang boleh meningkatkan keutuhan organisasi dan individu.

Masyarakat mempunyai pengharapan dan persepsi yang berbeza ke atas perkhidmatan yang disampaikan oleh SPRM. Justeru, SPRM perlu mempamerkan tahap integriti yang tinggi melalui penggubalan strategi serta pelaksanaan program-program integriti yang berkesan dan menyeluruh.

Keberkesanan program pembudayaan integriti SPRM diukur melalui analisis ke atas tahap rungutan, aduan dan ketidakpuasan hati pelanggan yang minimum terhadap tadbir urus khususnya salah laku.

Dengan melakukan pemeriksaan secara rawak pengurusan tertinggi mendapati penyampaian perkhidmatan SPRM meningkat – dari segi penyelesaian kes pada tahun yang sama, kadar keyakinan dan kadar sabitan serta kecepatan dalam menyelesaikan kes. Ini kerana kepatuhan kepada sistem dan undang-undang juga membantu melahirkan barisan pegawai yang profesional dan beretika.

Selain meningkatkan produktiviti, Ujian Integriti sudah pasti menyumbang kepada peningkatan keyakinan dan sokongan rakyat ke atas SPRM. Agensi penguatkuasaan seperti SPRM memerlukan sokongan masyarakat. Apabila keyakinan meningkat, sokongan juga akan meningkat. Dengan adanya sokongan tinggi lagi padu SPRM akan dapat lebih berjaya.

Kajian kendalian SPRM mendapati kadar keyakinan masyarakat meningkat daripada lingkungan 31 peratus pada 2009 kepada 68 peratus pada 2014. SPRM menyasarkan kadar keyakinan 80 peratus dapat dicapai menjelang 2020.

Untuk itu, SPRM sangat mengharapkan ujian integriti akan terus meningkatkan keyakinan masyarakat dan seterusnya memberi sokongan kepada SPRM dalam apa jua aktiviti pencegahan dan pembanterasan rasuah.

SPRM mahu secara berterusan ujian integriti dilaksanakan bagi memastikan pembudayaan integriti yang tinggi dihayati sepenuhnya oleh warga kerja SPRM. Perkara ini juga selari dengan program transformasi yang sedang dilaksanakan secara menyeluruh di SPRM, dengan melaksanakan strategi merakyatkan SPRM.

SPRM juga berpandangan bahawa aspek ini perlu diberi penekanan tinggi memandangkan pegawai-pegawai SPRM kini dihantar ke agensi-agensi awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai Pegawai Integriti. Keberkesanan pelaksanaan ujian integriti secara holistik turut dibantu oleh Jawatankuasa Aduan, salah satu badan bebas yang memantau perjalanan SPRM. Penulis ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM.

Tags: integriti, sprm
Subscribe

  • Kerja Kontrak atau Tetap

    Isu terkini di Malaysia selain politik, Covid-19 dan wabak yang semakin berleluasa adalah kakitangan ‘kontrak’ bergelar ‘pegawai…

  • Kerajaan Swasta

    Apabila kita berfikir tentang pemerintahan kerajaan , apa yang muncul di kepala kita? Bagi kebanyak orang, gambar Agong, PM, bangunan parlimen ,…

  • Angkuh dari wajah

    Selagi kita terus tersilap mengenai keyakinan untuk kecekapan, kita akan berakhir dengan terlalu ramai bertemu dengan mereka yang tidak cekap yang…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments