kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Undang-undang baharu diperkasa

PADA 26 November lalu, Dewan Rakyat meluluskan kertas putih bertajuk “Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Islamic State (IS)”, setelah ia dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketika menggulung usul khas pembentangan kertas putih itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan menggubal undang-undang antikeganasan baharu yang akan mengandungi lebih banyak elemen pencegahan berbanding pembanterasan.

Undang-undang baharu itu dikatakan akan memperkasakan lagi undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) (Pindaan dan Pemerluasan) 2013.

Menyentuh tohmah sesetengah pihak bahawa undang-undang baharu itu yang mungkin dipanggil Prevention of Terrorism Act, (POTA) akan mengembalikan semula tahanan tanpa bicara seperti yang terkandung dalam Akta Keselamatan Dalam Ne­geri 1960 (ISA) yang telah pun dimansuhkan, Ahmad Zahid berkata, dakwaan itu tidak berasas sama sekali.

“Kerisauan mereka tidak berasas kerana tumpuan kita adalah untuk menangani keganasan,” katanya.

Baru-baru ini media tempatan melaporkan bahawa satu Rang Undang-Undang Anti-Keganasan akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac depan.

PELBAGAI KEMUNGKINAN

Pelbagai kemungkinan-kemungkinan besar undang-undang baharu ini akan dibuat oleh Parlimen di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 149 ini menyatakan sekiranya satu undang-undang dibuat di bawah Perkara ini bagi maksud, antara lain, membanteras keganasan terancang, undang-undang sedemikian itu adalah sah walaupun ia tidak selaras dengan mana-mana peruntukan Perkara 5, 9, 10 atau 13.

Kemungkinan juga ada peruntukan dalam undang-undang ini yang membolehkan pihak berkuasa melakukan tahanan pencegahan dan siasatan, tertakluk kepada prosedur tertentu dan semakan badan-badan khas yang diwujudkan. Undang-undang anti-keganasan di banyak negara luar ada mengandungi ciri-ciri seperti ini. Barangkali juga ada peruntukan yang menghalang mana-mana pihak memberikan dana atau wang kepada mana-mana individu atau organisasi yang dikenal pasti terlibat dalam kegiatan keganasan.

Untuk memastikan bahawa undang-undang baharu ini tidak disalahguna, barangkali akan ada peruntukan yang membolehkan badan kehakiman negara ini melakukan kawalan kehakiman (judicial oversight) terhadap badan eksekutif yang melaksanakan akta baharu ini.

Kemungkinan undang-undang anti-keganasan baharu ini satu hari nanti akan dicabar di mahkamah setelah ia dikuatkuasakan tidak boleh diketepikan. Ia boleh berlaku, seperti yang berlaku United Kingdom (UK), apabila undang-undang­nya Prevention of Terrorism Act 2005 dicabar. Akta ini memberi kuasa kepada home secretary mengeluarkan perintah kawalan (control orders) ke atas individu tertentu yang disyaki terlibat dengan keganasan.

Pada 2006, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa satu peruntukan dalam akta ini bertentangan dengan European Convention on Human Rights (yang terpakai di UK) dan oleh itu, ia adalah tidak sah.

UNDANG-UNDANG 
ANTI KEGANASAN 
DI NEGARA LUAR

Di bawah Terrorism Act 2006 UK seorang yang disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan boleh ditahan selama 28 hari sebelum hari perbicaraan. Pada awalnya pentadbiran Tony Blair mahukan tempoh tahanan pra-bicara (bukan tahanan pencegahan) itu sehingga maksimum 90 hari tetapi ditentang oleh banyak pihak.

Di Australia, di bawah akta anti-keganasan 2005, ada kuasa memerintahkan tahanan pencegahan (preventive detention) mana-mana individu yang disyaki terlibat dalam aktivit keganasan. Tahanan itu bertujuan membolehkan individu berkenaan disiasat oleh agensi siasatan negara itu, Australian Security Intelligence Organisation (ASIO). Ada juga kuasa meletakkan individu tertentu di bawah perintah kawalan bagi tempoh tidak melebihi satu tahun, sebelum ia dikaji semula.

Setiap orang yang disiasat oleh ASIO di bawah Akta 2005 ini diberi peluang untuk mendapatkan khidmat peguam dan membuat aduan kepada Inspector General of Intelligence and Security atau kepada Commonwealth Ombudsman.

Di bawah akta di Australia ini, adalah menjadi satu jenayah bagi seseorang itu memberi dana atau bantuan kewangan kepada mana-mana pihak yang disyaki terlibat dalam keganasan.

Australia telah menubuhkan satu badan khas bernama Australian Transactions and Reports Analysis Centre (AUSTRAC) yang ada kuasa memantau akaun bank dan pergerakan kewangan individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah ini.

Terbaru, Australia meluluskan Counter-Terrorism Legislation Amendment (Foreign Fighters) Bill pada 30 Oktober 2014 lalu. Seterusnya pada 3 November lalu, undang-undang ini mendapat perkenan ketua negaranya (Governor-General).

Matlamat utama undang-undang baharu ini adalah, selain meminda 22 undang-undang negara yang sedia ada, ia memberi kuasa kepada pemerintah menangani masalah yang timbul dari warga negara itu yang berhijrah kepada (atau pulang dari) negara-negara yang berkonflik.

Kanada turut berdepan dengan isu keganasan militan ini. Pada Disember 2014, negara itu digemparkan oleh satu klip video menunjukkan seorang belia Kanada, John Maguire (24 tahun, nama Islamnya Abu Anwar al-Canadi) menyeru penduduk di negara itu melancarkan lone-wolf attacks (serangan bersendirian). Kerajaan Kanada telah membatalkan paspot Maguire, tetapi setakat ini belum lagi memulakan prosiding jenayah terhadapnya.

Dua tahun lalu, kerajaan Kanada membentangkan satu undang-undang baru (Bill S-7, Combating Terrorism Act) dalam Senat, untuk menggantikan dan memperbaiki undang-undang anti-keganasan negara itu yang telah luput kuatkuasanya.

Matlamat utama undang-undang baharu ini adalah menangani masalah yang serupa berlaku di Australia, iaitu warga negara itu yang meninggalkan negara untuk menyertai kumpulan pengganas di luar negara.

Terbaru, pada Oktober 2014, kerajaan Kanada membentangkan satu lagi rang undang-undang baru bernama Protection of Canada from Terrorists Act untuk memperkasa lagi badan penyiasat negara, Canadian Security Intelligence Service (CSIS).

Kerajaan Kanada menyedari bahawa pada masa ini terdapat sekurang-kurangnya 130 individu “yang ada hubungan dengan Kanada” berada di luar negara dan disyaki terlibat dalam kegiatan keganasan.

Kesimpulannya, walaupun kini terdapat pelbagai nama undang-undang anti-keganasan yang berkuatkuasa di beberapa negara, isinya mesti mampu menjawab persoalan berikut: -

* Apakah aktiviti jenayah yang dikatakan keganasan (terrorism) itu?

* Apakah tindakan yang boleh diambil oleh badan eksekutif – bila, bagaimana, dan terhadap siapa?

* Apakah hak seorang suspek yang ditangkap dan disiasat, kemudian ditahan?

* Apakah peranan dan kuasa badan atau agensi yang melaksanakan undang-undang itu?

* Apakah jenis tahanan dan berapa lama tempoh tahanan yang boleh dikenakan?

* Apakah ada prosedur kawalan atau semakan oleh badan kehakiman (atau badan tertentu) untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa, pelanggaran undang-undang dan sebagainya? Salleh Buang ialah Penganalisis Undang-undang. Utusan Malaysia Rencana 20 Januari 2015 12:55 AM

Tags: undang-undang
Subscribe

  • Wise and Positive Words Jan 20

    Today's Inspirational Quote:"Do not wait; the time will never be 'just right.' Start where you stand, and work with whatever tools you may…

  • Wise and Positive Words Jan 7

    Today's Inspirational Quote:"Then give to the world the best you have, and the best will come back to you." -- Madeline Bridges…

  • Wise and Positive Words Jan 6

    Today's Inspirational Quote: "The self is not something ready-made, but something in continuous formation through choice of action." --…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments