kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kejatuhan harga minyak tuntut strategi baharu

Walaupun kejatuhan harga minyak sehingga ke paras bawah AS$50 (RM175) satu tong menggembirakan pemilik kenderaan di negara ini, malah ada bertukar daripada RON95 ke RON97 yang lebih mahal, kesan kepada ekonomi negara adalah sebaliknya.

Ditambah dengan penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika serta perbelanjaan dan kerugian luar jangka akibat banjir besar di beberapa negeri baru-baru ini, kedudukan ekonomi walaupun belum pada tahap krisis, agak membimbangkan.

Penurunan nilai ringgit, selain kerana pengukuhan dolar Amerika, turut didorong oleh kejatuhan harga dan permintaan ke atas komoditi utama lain seperti minyak sawit dan getah.

Selain itu, seperti kebanyakan di negara lain, ketidaktentuan ekonomi dunia turut menjejaskan pasaran saham tempatan. Malah, Bank Dunia minggu lalu mengumumkan unjuran baharu bagi pertumbuhan ekonomi global untuk tahun ini dan tahun 2016, daripada tiga dan 3.3 peratus, kepada 3.4 dan 3.5 peratus.

Unjuran pendapatan dan perbelanjaan kerajaan dalam Bajet 2015 yang dibentangkan pada Oktober lalu dibuat berdasarkan harga minyak mentah sekitar AS$90 (RM315) satu tong. Bagaimanapun, dalam tempoh tiga bulan, harganya menjunam sehingga serendah AS$48 (RM168) satu tong minggu lalu.

Kerajaan tiada pilihan

Berdasarkan senario ini, kerajaan tidak mempunyai pilihan lain kecuali menstrukturkan semula Bajet 2015. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka mengumumkan penstrukturan semula Bajet 2015, esok.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, kelmarin berkata kerajaan telah menjalankan kajian terperinci terhadap kesan kejatuhan harga minyak dan penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika.

"Ia akan diumumkan Perdana Menteri minggu depan kerana kedua-dua faktor ini ada impak positif dan negatif," katanya.

Kerajaan sebelum ini menyasarkan pertumbuhan ekonomi tahun ini antara lima hingga enam peratus, manakala defisit kewangan negara sekitar tiga peratus. Mengambil kira kedudukan ekonomi semasa negara dan global, sasaran pertumbuhan ekonomi dijangka dikurangkan sekitar dua peratus, manakala unjuran defisit kewangan terpaksa dinaikkan.

Sementara ramai pakar ekonomi meramalkan kesan sebenar kejatuhan harga minyak, hanya mulai dirasai tahun depan, seperti petikan bekas Presiden Amerika Syarikat, John F Kennedy, setiap krisis atau kegawatan itu turut mempunyai sudut positif dan peluang untuk kebaikan.

Disebabkan kira-kira 30 peratus pendapatan kerajaan disumbangkan oleh sektor petroleum dan gas, iktibar pertama boleh diambil daripada kejatuhan harga minyak mentah dunia ialah kita, sama ada suka atau tidak, mesti berusaha mengurangkan kebergantungan kepada komoditi itu.

Tumpu industri lain

Buat permulaan, kita boleh memberi tumpuan kepada perusahaan kecil dan sederhana tempatan, yang tidak kurang hebatnya dengan negara maju. Yang diperlukan ialah strategi berkesan lebih berkesan untuk meningkatkan eksport daripada industri ini.

Begitu juga dengan bidang pertanian di mana kerajaan memperuntukkan berbilion-bilion ringgit setiap tahun tetapi dari segi eksport, kita masih ketinggalan berbanding Thailand dan Indonesia.

Peningkatan pengeluaran dan mutu industri pertanian tempatan bukan sahaja membolehkannya dieksport, tetapi menarik lebih ramai pengguna dari kalangan rakyat tempatan, yang ketika ini masih cenderung membeli barang import.

Kehadiran jutaan pekerja asing di negara ini bukan setakat 'merampas' peluang pekerjaan dan perniagaan rakyat tempatan atau menambahkan lagi gejala sosial serta jenayah, tetapi menyebabkan pengaliran keluar ringgit berbilion-bilion ringgit setahun.

Barangkali sudah tiba ketikanya, semua pihak terutama kerajaan dan majikan benar-benar serius dengan masalah ini, bukan setakat bercakap untuk menghiasi ruangan akhbar.

Usaha mengurangkan kebergantungan kepada komoditi minyak dan pekerja asing sama-sama penting, terutama ketika ekonomi negara tidak lagi semakmur dahulu. Manja Ismail Berita Harian Kolumnis 20 Jan 2015

Tags: ekonomi
Subscribe

  • Adakah anda seorang yang berani?

    Artikel Waktu isu 1MDB lagi saya lawan, tegas Abdul Hamid dan Ketua Ulama Pas teruk kena maki hamun dengan Lokman Adam bertarikh…

  • Persepsi I

    Amar makruf nahi munkar perlu dijadikan pegangan warga PDRM (Mei, 3, 2021) ada menyebut mengenai ‘ war of perception’. Dunia…

  • Hamid Bador: Antara persepsi dan kenyataan

    Mantan Ketua Polis ke-12 memperdengarkan ungkapan "persepsi” sebelum beliau menyerahkan kuasa pada 3hb Mei 2021. Namun, beliau menyebut…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments