kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Saya reda ganti arwah kakak

BENAR sekali jodoh, pertemuan dan maut itu di tangan Allah. Setiap manusia harus reda dengan ketentuan Ilahi dalam mengatur perjalanan hidup mereka.

Tidak siapa boleh menolak apa yang telah tertulis untuknya walaupun kadangkala terpaksa menolak kehendak hati demi kebahagiaan keluarga yang tersayang.

Hanya doa mampu dipanjatkan ke hadrat Ilahi agar bahagia yang dicari akan menjadi kenyataan dan hidup tidak disia-siakan oleh lelaki yang diterima untuk menjadi teman sepanjang hayat.

Inilah kisah minggu ini yang ingin dikongsi dengan pembaca semua. Kisah pengorbanan seorang adik terhadap keluarga dan arwah kakak semata-mata mahu membahagiakan anak-anak saudara yang kehilangan kasih ibu dalam usia muda.

Kepada saya Shira (bukan nama sebenar) meluahkan isi hatinya setelah membuat keputusan menikahi abang iparnya, Fazli (bukan nama sebenar) setelah kematian kakaknya lebih setahun lalu.

Ini cerita Shira.

“Saya berusia 27 tahun, bekerja sebagai seorang pegawai di sebuah bank. Saya anak bongsu dalam keluarga seramai empat orang, dua lelaki dan dua perempuan.

“Dua orang abang sudah mendirikan rumah tangga dan hidup bahagia dengan keluarga masing-masing. Saya mempunyai seorang kakak tetapi dikesan menghidap kanser rahim dua tahun lalu.

“Setelah dua tahun menderita sakit tersebut akhirnya kakak kembali kepada pencipta-Nya setahun lalu, meninggalkan dua orang anak berusia lapan tahun dan enam tahun.

“Sepanjang kakak sakit, saya tinggal bersamanya. Makan minum, urusan rumah tangga kakak, saya yang lakukan apabila balik dari kerja. Walaupun kakak mempunyai pembantu rumah tetapi saya telah diamanahkan oleh mak untuk menemani kakak.

“Sebagai adik bongsu dan anak yang patuh kepada ibu bapa, saya ikut kehendak mak... Hampir setahun lebih juga saya tinggal di rumah kakak. Sesekali mak turun untuk menjenguk kami dan memberi semangat kepada kakak.

“Sepanjang masa itu, abang ipar menjadikan saya tempat dia berkongsi kesedihan dengan apa yang berlaku terhadap kakak. Sayangnya kepada kakak amat ketara sehinggakan setiap malam dia berjaga sehingga awal pagi untuk membantu kakak ke bilik air dan sebagainya.

“Pada hujung minggu, abang bawa kakak keluar bagi menyedut udara luar dan menggembirakannya. Saya kagum dengan apa yang abang ipar saya buat untuk kakak. Kasih sayangnya tidak pernah luntur untuk kakak.

“Anak-anaknya sangat rapat dengan saya. Pada malam hari, saya menemani mereka membuat kerja sekolah sementara abang ipar menjaga kakak. Begitulah rutin hidup saya sepanjang dua tahun itu.

“Secara tidak langsung, urusan dapur dan menjaga rumah dibuat oleh saya dengan bantuan pembantu rumah. Apabila saya pergi kerja, pembantu rumah teman kakak tetapi apabila saya ada di rumah, saya akan melakukannya untuk kakak dan anak-anaknya.

“Seminggu sebelum kakak meninggal, dia memanggil saya. Dia berbisik supaya saya bernikah dengan abang ipar setelah dia tiada.

“Kakak mahu kamu menjaga dan memberi kasih sayang kepada anak-anak kakak sama seperti apa yang kakak berikan kepada mereka. Kakak tidak mahu orang lain mengambil tempat kakak setelah kakak tiada.

“Masih terdengar kata-kata kakak di hari itu. Semuanya berlaku dalam suasana sangat tenang. Kakak juga lancar sewaktu mengeluarkan kata-kata tersebut dengan disaksikan abang ipar sendiri.

“Merah muka saya saat itu tetapi saya mendengarnya dengan hati-hati kerana pada saya, ini wasiat dan amanat kakak yang tidak boleh saya ambil mudah.

“Setelah kakak meninggal dunia, saya masih tinggal di rumah tersebut sebab pembantu rumah masih ada, lagipun anak-anak saudara saya masih trauma dengan kehilangan ibu mereka.

“Saya mula terasa malu apabila bertentangan mata dengan abang ipar, tidak seperti sebelumnya. Apabila saya di ruang tamu, dia di dalam bilik, begitu keadaannya selama beberapa minggu.

“Akhirnya saya mengambil keputusan untuk balik tinggal bersama rakan-rakan di rumah bujang saya kerana tidak mahu keadaan menjadi semakin tidak selesa bagi saya.

“Enam bulan selepas kematian kakak, mak datang ke rumah kakak. Anak-anak saudara saya tidak mahu berengang dengan mak kerana rindukan ibu mereka. Mahu tidak mahu, saya terpaksa pulang ke sana.

“Di sinilah segala-galanya bermula. Mak dan ayah sebulat suara bersetuju untuk menjodohkan saya dengan abang ipar kerana kata mak itu, sebaik-baik cara untuk mengekalkan kasih sayang anak-anak arwah dengan keluarga kami.

“Lagipun kata mak, anak-anak saudara saya itu tidak mahu orang lain di dalam rumah mereka kecuali Maksu...berderau darah saya mendengar kata mak tetapi saya telah bersedia.

“Secara tidak langsung, kata-kata arwah kakak terngiang di telinga saya. Makin lama makin kuat. Saya tidak memberi jawapan tetapi menunggu apa tindakan abang ipar saya.

“Seminggu setelah mak bersuara, saya dipelawa keluar oleh abang ipar. Katanya untuk berbincang sesuatu. Saya mula berdebar dan saya rasa saya tahu apa yang hendak dibincangkannya.

“Saya setuju untuk berjumpa di luar rumah... kami ke sebuah restoran eksklusif. Di sana abang ipar mencurahkan isi hatinya untuk menjadikan saya isterinya yang sah jika saya belum berpunya. Dia ikhlas menerima saya demi anak-anaknya.

“Dia juga bercerita tentang pesanan arwah kakak kepadanya supaya mengambil saya sebagai isteri setelah dia tidak ada. Alasannya kerana dia yakin saya boleh memberi kasih sayang dan menjaga anak-anaknya dengan baik.

“Abang terima Shira dengan ikhlas, tidak ada agenda tersembunyi dan niat apa-apa. Apa yang abang buat untuk anak-anak abang dan anak-anak saudara Shira. Jika Shira sudi, alhamdulillah, jika tidak abang tidak marah. Abang faham, Shira masih muda.

“Itu kata-kata abang ipar saya yang saya pegang hingga ke hari ini. Takdir Allah saya tidak mampu menolak. Secara ikhlasnya, saya tidak ada teman lelaki ketika itu walaupun ramai yang mencuba.

“Pesanan mak saya pegang betul-betul. Kalau hendakkan kepastian dan keyakinan tentang jodoh, lakukan solat istikharah... insya-Allah, Allah akan tunjuk siapa jodoh kamu yang sebenarnya.

“Selama tiga malam saya lakukan solat istikharah, dan yang saya nampak adalah wajah abang ipar. Saya lalu istigfar dan mengucap syukur, kiranya inilah lelaki yang Allah hadiahkan untuk menjadi teman hidup saya, saya terima dengan ikhlas dan reda hati.

“Lalu saya maklumkan keputusan saya kepada mak dan ayah. Mereka sangat gembira. Mak menangis bila saya bersetuju untuk bernikah dengan abang ipar. Sekali gus menghilangkan keraguannya terhadap masa depan cucu-cucunya yang telah menjadi yatim itu.

“Begitu juga dengan keluarga kedua-dua pihak, semuanya gembira dan bersyukur dengan apa yang berlaku. Abang ipar saya? Tentunya dia sangat gembira kerana saya menerimanya dengan ikhlas.

“Dia mengucapkan terima kasih kepada saya kerana sudi menerimanya sebagai suami dan mengalas tanggungjawab menggantikan arwah kakak.

“Majlis pernikahan saya dibuat secara beradat kerana itu yang mak dan ayah mahu. Merisik dan meminang. Tapi saya tidak bertunang lama, setelah tiga bulan bertunang, kami disatukan sebagai suami isteri pada Ogos lalu.

“Alhamdulillah, saya boleh menerima abang ipar dan anak-anak kakak sebagai keluarga sendiri. Saya berdoa siang malam agar rumah tangga yang saya bina kekal bahagia hingga ke jannah.

“Walaupun ramai kawan-kawan memandang rendah terhadap saya tetapi saya yakin telah melakukan satu pengorbanan yang cukup besar untuk keluarga saya terutama untuk arwah kakak yang telah pergi dengan tenang.

“Saya yakin, arwah kakak akan bersemadi dengan tenang kerana saya telah menunaikan permintaannya untuk menikah dengan abang... Semoga Allah lindungi rumah tangga kami dan jadikan saya isteri dan ibu solehah untuk anak-anak arwah kakak.

“Saya tidak ralat bersuamikan lelaki yang lebih tua dari saya dan mempunyai anak dua. Apa pun mereka adalah keluarga saya yang perlu saya jaga dan berikan kasih sayang sehingga ke penghujung nyawa saya.

“Abang juga tidak berubah. Dia tetap macam dahulu, penyayang, ambil berat sama seperti mana dia hidup dengan arwah kakak semasa hayatnya.

“Hubungan dengan mentua juga tidak ada masalah kerana mereka menerima saya sama seperti mana mereka menerima arwah kakak dahulu. Saya sangat bersyukur kerana diberi kebahagiaan ini. Terima kasih Allah.

“Apa yang saya ceritakan di sini adalah untuk dijadikan iktibar kepada orang lain yang mungkin menghadapi keadaan yang sama seperti saya. Kadangkala tidak salah kita berkorban untuk membahagiakan orang lain, yang penting pengorbanan itu ikhlas,’’ begitu Shira menamatkan ceritanya.

Ya Allah, begitu murni hati Shira. Saya kagum dengan pengorbanan Shira terhadap arwah kakaknya.

Tidak ramai orang yang sanggup berbuat demikian terutama orang muda seperti Shira yang ada kerjaya sendiri.

Syukur Allah permudahkan segala-galanya. Semoga rumah tangga Shira dan Fazli bahagia hingga ke penghujung usia mereka. Saya doakan agar keluarga ini sentiasa di dalam rahmat Allah.

Menutup catatan minggu ini, pesanan saya, kehidupan kita mempunyai penyudah jalan ceritanya tetapi biarlah kesudahan ceritanya itu yang baik-baik sahaja agar masyarakat boleh sedar dan insaf dengan isi ceritanya.

Salam Utusan Malaysia Rencana 24 Jan 2015

Tags: kahwin
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments