kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pengajaran daripada musibah

MUSIBAH pesawat Air­­Asia Indonesia QZ­8501 dan banjir lumpur yang berlaku di Kelantan, Sabah, Sarawak, Johor dan Negeri Sembilan telah menyedut perhatian ramai. Mereka bersimpati, ada yang terus menghulurkan bantuan dan ramai lagi yang mendoakan keselamatan mereka. Malah RTM dengan program Landskap Khas Banjir juga mula mengupas fenomena banjir dan isu-isu yang berkaitan dengannya.

Berlakunya kedua-dua musibah ini sesungguhnya bukan perkara baharu. Faktor cuaca ekstrem yang berpunca daripada perubahan iklim serantau antara punca kejadian tersebut. Keragaman cuaca di lapisan atmosfera akibat interaksi tenaga antara lautan dan angkasa sememangnya kerap membawa fenomena di luar jangkaan manusia. Lapisan-lapisan aktif ini kerap memicu sirkulasi atmosferik dan cuaca boleh berubah secara mendadak.



Pencarian oleh Basarnas dibantu beberapa negara akhirnya menemukan serpihan pesawat AirAsia QZ8501 di Laut Jawa, dekat Selat Karimata. – AFP

Amnya, setiap kejadian sentiasa kita didedahkan kepada dua perkara yang paling asas iaitu berpunca dari aspek material atau fizikal dan satu lagi adalah dari aspek spiritual. Dalam aspek material atau fizikal, berlakunya fenomena banjir atau jatuhnya pesawat boleh dijelaskan secara saintifik. Manakala dari aspek spiritual sememangnya ia berkait rapat dengan Sang Pencipta yang merekabentuk sistem, mentadbir dan mengawal kejadian. Bolehkah manusia dengan segala akal sihatnya memfungsikan dirinya sebagai sebuah sistem amaran awal (early warning system)?

Sebuah sistem yang peka dan res­ponsif. Fenomena alam memang tidak boleh kita kawal. Tetapi memi­nimumkan risiko bencana menggunakan akal, apatah lagi kemajuan sains dan teknologi adalah sangat memungkinkan.

Kita perhatikan dalam musibah pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 pada 28 Disember 2014 tepat pukul 7.24 pagi waktu tempatan Indonesia, 162 penumpang termasuk anak kapal telah terkorban. Pesawat ini dikatakan meminta izin kepada pengawal lalu lintas udara Indonesia (ATC) Jakarta untuk mengelak awan ke arah kiri dari laluannya M-635, dan meminta naik ke keting­gian dari 32,000 kaki kepada 38,000 kaki dalam perjalanan dari Surabaya menuju ke Singa­pura. Permintaan itu tidak dibenarkan ATC kerana kesesakan trafik pada masa itu yang dilaporkan enam pesawat melalui laluan sama.

ATC mengarahkan supaya juruterbang naik ke 34,000 kaki terlebih dahulu namun sebelum sempat menukar ke ketinggian tersebut, komunikasi dengan pesawat dilaporkan hilang daripada radar. Juruterbang juga dilaporkan belum sempat menghantar isyarat kecemasan. Mengikut laporan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia, laluan yang dilalui pesawat AirAsia dari Surabaya ke Singapura pada sebelah pagi dipenuhi awan konvertif, terutama awan Kumulunimbus (Cb). Tambahan pula, cuaca buruk disertai hujan dan petir di laluan pesawat tersebut menambah intensiti awan berkenaan yang dalam analisis awal penerbangan dikatakan memerangkap pesawat secara mendadak.

Selepas hilang komunikasi, pihak ATC segera menghubungi Badan Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarnas), yang secara profesional bekerja sehingga mene­mukan penumpang dan pesawat. Dengan bantuan beberapa negara antaranya Malaysia, Singapura, Korea Selatan, Australia, China dan Amerika Syarikat, hasilnya pada 30 Disember 2014, Basarnas mene­mukan serpihan pesawat AirAsia QZ8501 dan jenazah penumpang yang berpusat di Laut Jawa, dekat Selat Karimata, manakala pengendalian pemindahan dipusatkan di Pangkalan Bun, Kalimantan Te­ngah. Salah satu serpihan yang ditemukan adalah plat logam dan pintu keluar kecemasan.

Kotak hitam dan badan pesawat, masing-masing telah pun ditemukan pada 12 Januari dan 14 Januari. Sehingga 20 Januari 2015, pasukan gabungan mencari dan menyelamat telah menemukan 53 jenazah penumpang, 45 daripadanya berjaya dikesan identitinya.

Setiap kali berlaku kemalangan pesawat, kita biasa didedahkan dengan tiga perkara ini, iaitu teknikal, cuaca dan human error. Aspek lain yang mungkin juga diambil kira ialah sabotaj atau serangan pelampau. Dari kaca mata atau mindset awam, semua pesawat AirAsia adalah milik syarikat Malaysia walaupun ianya berbendera Indonesia atau Thailand.

Oleh itu, jatuhnya pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 akan sentiasa merujuk balik ke negara asalnya, iaitu Malaysia. Ini bermakna sepanjang 2014, Malaysia telah kehilang­an tiga pesawat, bermula dengan MH370 dan MH17, yang selang masa di antara kedua-duanya empat bulan, sementara kes MH17 dengan QZ8501 pula lima bulan.

Ini adalah sebuah analisis dan pengajaran yang penting, bahawa semua pihak mesti waspada terhadap apa jua keadaan yang berlaku berikutnya. Musibah QZ8501 hendaknya dijadikan pengajaran berharga bagi industri penerbangan. Untuk keselamatan penerbangan, perlu dipastikan kebenaran terbang yang diatur mestilah jelas dan dikuatkuasakan dengan tegas, sehingga tiada lagi pesawat yang sepatutnya tidak terbang tetapi terbang pada hari di luar perjanjian. Pastikan pesawat diselenggara de­ngan betul dan layak terbang sesuai dengan masa yang dijadualkan.

Sebelum berlepas, juruterbang dan kru perlu mendapat penerang­an lengkap berkenaan cuaca yang akan dilalui oleh pesawat daripada pegawai meteorologi di terminal atau Flight Operation Officer (FOO). Ini bermaksud tidak cukup sekadar memuat turun maklumat cuaca dari laman web tertentu dan kemudian digunakan sebagai rujukan.

Meskipun sebuah pesawat canggih dilengkapi dengan alat pengesan cuaca buruk atau berkeupayaan mengesan awan Cb, tetapi menjadikan perkara ini sebagai sebuah prosedur operasi standard (SOP) adalah usaha besar untuk meminimumkan human error.

Setiap berlakunya kejadian atau musibah, pada masa itu juga manusia baru tersedar akan ujian-ujian kehidupan yang mereka lalui. Bukan sedikit yang menitiskan air mata, sedih, marah, saling menya­lah dan memfitnah, jika perkara sebegini tidak ditangani dengan bijak maka kredibiliti syarikat penerbang­an akan terjejas, ini termasuk negara penaung pesawat tersebut.

Setiap musibah menyedarkan kita akan pentingnya bekerjasama, muhasabah diri dan bertanggungjawab, menghargai dan belajar memaafkan, jangan takut akan kematian, takutlah kepada Tuhan.

Tahap keselamatan penerbang­an jangan hanya dilihat dari aspek operasional dan komersial syarikat. Semua pihak yang terlibat, terma­suk pembuat dasar harus bertindak cekap dan berkesan dalam memperbaiki aspek keselamatan.

Ini penting, sepanjang kita berusaha dengan berbuat yang terbaik, hasilnya pun akan yang terbaik juga walaupun kelak kita perlu akur bahawa ‘rencana Tuhan adalah lebih indah daripada rencana kita’.

Penulis ialah Felo Penyelidik Kanan, 
Pusat Sains Angkasa, Institut Perubahan Iklim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tags: musibah
Subscribe

  • Grades in high school to be a teacher?

    The subject above is related to an article entitled 70% of teachers have no more than 3A in SPM (FMT, 09/09/2021) I am called upon to give a little…

  • Online education must continue

    Learning sessions and approaches through educational television will be taken to provide students without access to the internet but access to…

  • There are more things than PPSMI 2.0

    The PPSMI issue is back in the news. The BM Linguistic group is again against the proposal. It is seen as a one-man show by an obsessed man and…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments