kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Raja Abdullah simbol istimewa diplomatik

KERAJAAN Arab Saudi yang menempatkan dua tanah suci umat Islam, Mekah dan Madinah (Haramain), amat signifikan kepada dunia Islam keseluruhannya. Selepas zaman Rasulullah SAW dan Khulafa’ al-Rashidin, Haramain ini ditadbir oleh monarki daripada kerajaan Umayyah, Abasiyyah dan Uthmaniah. Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud memerintah negara itu selepas kematian Raja Fahd pada 1 Ogos 2005.

Sistem pemerintahan Arab Saudi sebenarnya amat unik, pewaris takhta bukannya daripada bapa kepada anak seperti kelaziman monarki lain tetapi dalam kalangan anak lelaki pengasas Arab Saudi moden, Raja Abdul Aziz al-Saud atau lebih tepat lagi Tujuh Sudairi bersaudara iaitu daripada ibu yang sama, Puteri Hassa al-Sudairi, isteri yang paling disayangi bapa mereka.


Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud menerima kunjungan Najib Tun Razak di Riyadh, Arab Saudi, pada 13 Mei 2011. – ARKIB UTUSAN

Negara pengeksport minyak terbesar dunia ini secara khususnya mempunyai hubungan yang sangat baik, akrab dan istimewa dengan Malaysia. Manifestasi daripada hubung­an itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima anugerah tertinggi kerajaan Arab Saudi iaitu Anugerah Raja Abdulaziz Kelas Pertama yang disampaikan sendiri oleh Raja Abdullah.

Apa yang menarik, selain menjalin kerjasama erat dalam menangani isu-isu antarabangsa, imej Malaysia juga terserlah di Arab Saudi dalam bidang ekonomi berikutan kejayaan membanggakan syarikat-syarikat Malaysia yang menunjukkan prestasi terbaik dalam melaksanakan projek-projek mega di negara itu. Antaranya, pembangunan Bandar Ekonomi Jizan berjumlah RM30 bilion dan di Shuhaiba, apabila Tenaga Nasional, Malakoff dan Khazanah Nasional terlibat dalam satu projek tenaga dan penapisan air laut.

Dalam pada itu, kerajaan Arab Saudi turut meningkatkan kerjasama ekonomi dengan Malaysia me­lalui penglibatan lebih aktif dalam sektor perbankan Islam, meningkatkan ekuiti serta menambah penglibatan dalam sektor per­khidmatan dan pengeluaran produk Islam di negara ini. Ketika ini bank Arab Saudi iaitu Bank Al Rajhi sudah beroperasi di Malaysia.

Raja Abdullah ialah arkitek utama transformasi Arab Saudi - daripada landskap dipenuhi padang pasir bertukar menjadi bandar raya termoden. Baginda juga menjadi penggerak utama usaha perdamai­an dunia Arab termasuk lantang membantah pendudukan Israel di bumi Palestin.

Baginda yang gemar membaca itu juga tidak melupakan kepen­tingan ilmu apabila merintis penubuhan dua buah universiti iaitu Universiti Sains dan Teknologi Raja Abdullah dan Universiti Permaisuri Nourah Abdul Rahman khusus untuk wanita, kedua-duanya di Mekah. Selain itu terdapat dua buah perpustakaan ditubuhkan iaitu Perpustakaan Raja Abdul Aziz di Riyadh dan Casablanca, Maghribi.

Kira-kira pukul 1 pagi Jumaat waktu tempatan Arab Saudi, Raja Abdullah mangkat pada usia 90 tahun akibat penyakit pneumonia. Putera Mahkota, Salman Abdul Aziz al-Saud dilantik sebagai Raja Arab Saudi yang baharu.

Raja Salman ialah saudara lelaki kedua terakhir daripada Tujuh Sudairi itu. Bekas Ketua Perisikan Arab Saudi, Putera Muqrin Abdul Aziz pula dilantik Putera Mahkota baharu, jawatan yang bakal me­nyaksikan beliau menjadi pemerintah negara itu pada masa depan. Baginda juga saudara lelaki terakhir Tujuh Sudairi.

Arab Saudi sebenarnya dikelilingi oleh beberapa negara yang tumpas kerana revolusi kebangkit­an rakyat di Arab atau Arab Spring yang bermula pada 2011 apabila menyaksikan Presiden Tunisia, Zine al-Abidine Ben Ali dijatuhkan oleh rakyatnya pada Januari. Ini di­ikuti Presiden Mesir, Hosni Mubarak dan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, yang terbunuh di tangan rakyatnya sendiri.

Antara punca utama berlakunya Arab Spring, selain sokongan Barat dan Amerika Syarikat adalah kerana penduduknya menghadapi tekanan ekonomi iaitu terpaksa me­lalui hidup yang sukar sementara pemerintahnya pula mengamalkan gaya hidup mewah.

Situasi ini bagaimanapun tidak berlaku di Arab Saudi. Majoriti penduduknya berpuas hati dengan taraf hidup yang dinikmati pada masa ini, ditambah dasar keterbukaan Raja Abdullah.

Kemudahan pendidikan dan perubatan berkualiti tinggi yang diberikan secara percuma serta kemajuan ekonomi turut menjadi faktor kestabilan politik di Arab Saudi. Almarhum semasa memegang jawatan Putera Mahkota telah me­lakukan transformasi besar-besaran terhadap negara itu.

Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia, Dr. Azmi Hassan percaya pemerintah Arab Saudi yang baharu, Raja Salman akan meneruskan polisi yang dilaksanakan oleh abangnya termasuk dasar luar negaranya yang akrab dengan Barat dan Amerika Syarikat (AS).

Katanya, proses pemindahan tampuk pemerintahan ini langsung tidak akan menggoyahkan Arab Saudi daripada tempias Arab Spring walaupun beberapa hari lalu berlaku krisis di negara jirannya, Yemen yang menyaksikan pembe­rontak menawan istana dan me­nyerang kediaman Presiden Yemen, Abd-Rabdu Mansour Hadi dalam percubaan untuk menggulingkan kerajaan itu.

“Situasi domestik Kerajaan Arab Saudi ini pada masa ini stabil dalam segenap segi, tambahan pula negara ini turut mempunyai hubungan akrab dengan kuasa-kuasa besar dunia terutamanya AS,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi.

Tambah Azmi, antara sedikit isu yang dijangka timbul ialah mengenai pengeluaran minyak semasa kerajaan itu apabila dijangkakan Raja Salman bakal mengurangkan sedikit pengeluaran bahan bakar itu berbanding abangnya yang tidak berganjak daripada keputusannya untuk mengekalkan pengeluaran.

“Sekiranya Raja Salman mengurangkannya, harga minyak dunia yang menjunam turun dengan drastik hingga menyebabkan kebanyakan mata wang dunia turut merosot dijangka akan sedikit stabil,” katanya.

Sementara itu, beliau menjangkakan pemerintah baharu Arab Saudi itu bukan sahaja akan meneruskan Dasar Pandang ke Timur dengan memilih Malaysia sebagai hab untuk mengembangkan pelaburan negara mereka di rantau Asia Tenggara, tetapi akan memantapkannya lagi.

Dasar itu mula diperkenalkan oleh Raja Abdullah selepas peristiwa 11 September 2001, hasilnya sejak itu banyak pelabur dari negara berkenaan menyahut seruan kerajaan mereka memilih Malaysia dan rantau ini untuk melabur.

Dalam pada itu, hubungan spi­ritual antara Malaysia-Arab Saudi yang terserlah melalui pengurniaan jumlah kuota jemaah haji yang besar saban tahun menjadikan jalinan kerjasama kedua-dua negara cukup istimewa, lebih daripada sekadar hubungan diplomatik.

Tags: tokoh
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments