kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Fahami ekonomi melalui kepala ikan

Semua negara di dunia hari ini perlu kepemimpinan yang mantap banding dengan 30 atau 40 tahun lalu. Macam Kunta Kinte dah banyak kali kata, pentadbiran negara dan pengurusan ekonomi tambah kompleks dan masalah yang timbul makin rumit, saling kait-mengait dan berbentuk global.

Kita dah tengok apa yang jadi kepada negara-negara yang gagal dalam aspek politik akibat kepemimpinan yang lemah. Mula-mula mereka gagal dalam politik. Lepas itu ekonomi, keamanan dan keselamatan mereka pula jahanam. Akhirnya jadilah mereka negara gagal (failed state).

Serentak itu, kitar ekonomi (economic cycle), iaitu masa antara ekonomi berkembang dan menguncup semakin singkat. Kalau 30 atau 40 tahun lalu kitar ekonomi kira-kira 10 tahun sekarang kalau lima tahun pun dah dikira cukup lama. Silap-silap tiga tahun dah bertukar.

Kitar ekonomi yang ada hari ini baru berusia lima tahun. Kalau kita ingat lagi, ekonomi dunia merosot pada tahun 2008/09 akibat krisis perbankan di Amerika Syarikat yang kemudiannya merebak ke Eropah.

Sekarang satu dunia di ambang kemerosotan ekonomi akibat kejatuhan harga minyak mentah. Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) baru saja rendahkan ramalan pertumbuhan ekonomi dunia tahun ini daripada 3.8 peratus kepada 3.5 peratus.

Kena cekap hal ehwal fiskal

Kunta Kinte mengaku iaitu dalam suasana ekonomi sekarang susah bagi mana-mana kerajaan pun merangka dasar dan rancangan secara tepat dan sahih. Kerajaan bukan saja kena cekap urus pentadbiran tapi ia juga kena cekap dalam hal ehwal fiskal (percukaian) dan mata wang.

Bagi kita di Malaysia, anggaran asal cukai dan pendapatan kerajaan macam dalam Bajet 2015 dah terkeluar sasar akibat kejatuhan harga minyak mentah.

Apa pun dasar dan langkah kerajaan di penghujungnya yang akan rasa kesan dan tanggung beban adalah rakyat jelata dan pengguna. Pengguna pula makin terdedah kepada naik turun harga dan inflasi disebabkan ekonomi kita kian hari kian terikat dengan mata wang. Dalam bahasa ekonomi dipanggil monetary economy (ekonomi mata wang) di mana semua jenis barang dan perkhidmatan dinilai ikut mata wang.

Yang buat keadaan jadi lebih rumit dan kacau-bilau ialah mata wang itu sendiri dah jadi bahan perdagangan yang dijual beli dan dijadikan bahan spekulasi. Maka harga barang bukan lagi ditentukan oleh imbangan antara bekalan dan permintaan tapi juga oleh naik turun nilai mata wang. Lagi teruklah bila dalam urusan jual-beli itu ada penipuan dan manipulasi.

Kunta Kinte nak bagi satu contoh. Salah sebuah kedai kopi yang Kunta Kinte selalu pergi terkenal dengan kari kepada ikan. Rangkaian restoran itu guna 1,400 kilogram (1.4 tan) kepala ikan merah setiap bulan di tiga cawangannya. Taukenya bagi tahu Kunta Kinte, sehingga empat tahun lalu dia dapat bekalan dari Kuantan dengan harga antara RM12 dan RM13 satu kilogram. Tiba-tiba bekalan kering. Cari di Pasar Borong Selayang harganya RM21 tapi tak selalu ada.

Macam banyak benda yang dok tak dok lesap dari pasaran Malaysia, termasuklah duit, kepala ikan merah tiba-tiba muncul di Singapura. Harganya pun lebih murah. Setelah dikira tukaran mata wang dan pengangkutan hanya RM17.50 satu kilogram.

Apa erti semua ini? Pertama nelayan kita jual ikan mutu tinggi kepada peraih di Singapura. Ada yang jual secara sah dan ada yang curi-curi jual di tengah laut. Nelayan Indonesia pun boleh jadi buat kerja yang sama.

Kedua, hanya ikan biasa yang murah dibawa balik ke pangkalan nelayan tempatan. Kunta Kinte dah lama tak nampak ikan merah di pasar tani dan pekan sehari.

Ketiga, kerana kadar tukaran dolar Singapura lebih tinggi daripada ringgit, kos mengimport ikan dan sayur-sayuran dari Malaysia lebih murah. Itulah antara punca Cameron Highlands botak, runtuh dan banjir.

Nikmati faedah ekonomi skala

Keempat, apabila Singapura beli ikan dan bahan-bahan makanan lain dengan banyak dari negara-negara jiran, ia nikmati apa yang kita sebut sebagai ekonomi skala (economies of scale) iaitu lagi banyak barang atau perkhidmatan kita dibeli lagi murah harganya.

Jadi, walaupun nilai duit Singapura lebih tinggi daripada mata wang ringgit kita, pengeksport republik itu boleh jual dengan harga yang lebih rendah kerana mereka nikmati faedah ekonomi skala.

Pengguna Singapura pula banjiri Johor Bahru kerana harga barang di ibu negeri Johor itu murah kepada mereka berikutan kadar tukaran dolar Singapura yang meningkat berbanding ringgit. Jadi walaupun harga barang di Johor Bahru mungkin lebih mahal daripada di tempat lain, bagi pengguna Singapura ia murah kerana nilai mata wang mereka lebih tinggi daripada nilai ringgit. Wallahuaklam.

Tags: ekonomi
Subscribe

  • Online education must continue

    Learning sessions and approaches through educational television will be taken to provide students without access to the internet but access to…

  • There are more things than PPSMI 2.0

    The PPSMI issue is back in the news. The BM Linguistic group is again against the proposal. It is seen as a one-man show by an obsessed man and…

  • What students need to know

    Unwrapping standard is a simple strategy for teachers to identify the skills and content knowledge needed in a lesson to ensure students are…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments