kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tiada peluang, ruang IS bertapak di Malaysia

Fenomena pejuang Negara Islam atau IS mengejutkan masyarakat antarabangsa pada tahun 2014 hingga kini, termasuk Malaysia kerana ada rakyat kita yang turut menyertai perjuangan IS. Dalam bahasa Arab, IS disebut Al-Dawla Al Islamiya fi al-Iraq wa al-Syamberjuang untuk membebaskan Syria dan Iraq daripada pemerintahan rejim Syiah di negara terbabit.

Mereka bercadang menubuhkan negara Islam berasaskan sistem Khalifah. Cuma kaedah perjuangan mereka yang ekstrem melalui pembunuhan kejam ke atas musuh menyebabkan IS dikecam di seluruh dunia sebagai pertubuhan pengganas. Misalnya video pemenggalan wartawan Amerika Syarikat, James Foley dan Steven Sotloff yang tersebar di internet mengejutkan banyak pihak.

Mengikut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Oktober 2014, aktiviti keganasan IS menyebabkan 9,347 orang awam terbunuh dan 17,386 tercedera dalam masa lapan bulan terawal tahun 2014. Kebimbangan masyarakat dunia adalah perjuangan IS mewajarkan perang jihad untuk melakukan kegiatan ketenteraan mereka. Mereka juga aktif merekrut anggota di seluruh dunia menerusi media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Tumblr, dan Youtube khususnya melalui penyebaran propaganda bagi menarik generasi muda.

Ancaman kepada Malaysia

Kerajaan Malaysia mengenal pasti sekurang-kurangnya 30 warganya berada di Iraq dan Syria menyertai perjuangan IS tahun lalu. Kebanyakan terpengaruh melalui media sosial dan teknik usrah militan IS bagi merekrut mereka. Jadi cabaran Malaysia adalah untuk menghalang lebih ramai Muslim Malaysia menyertai IS.

Malaysia pernah menghadapi keadaan sebegini dalam menghadapi pertubuhan pengganas antarabangsa. Misalnya, ada rakyat Malaysia tertarik dengan ideologi dan perjuangan al-Qaeda yang kemudian menubuhkan Jemaah Islamiah (JI), pertubuhan pengganas utama di Asia Tenggara beberapa dekad lalu.

Kini IS dilihat lebih radikal dan berkeupayaan menjejaskan keselamatan negara. Malah kumpulan pengganas di Mindanao, Abu Sayyaf yang aktif melalui aktiviti keganasan dan penculikan di Selatan Filipina dan Sabah mengisytiharkan mereka sekutu IS dan mentaati perjuangan Abu Bakar al-Baghdadi, pemimpin utama IS.

Malaysia juga dikejutkan dengan kewujudan empat kumpulan pengganas baharu dikenali sebagai BKAW, BAJ, DIMzia dan ADI. Mereka berjuang secara berasingan di Selangor dan Perak, namun bercadang mewujudkan sistem Daulah Islamiah Nusantara di Malaysia, Indonesia, Singapura, Selatan Thailand dan Selatan Filipina. Mereka agresif merekrut ahli baharu dan mengikuti fahaman salafi 'Jihadi', fahaman yang sama dengan IS yang menolak sistem demokrasi.

Polis jelas menyatakan IS menjadi ancaman kepada Malaysia. Menurut Penolong Pesuruhjaya Kanan Polis, Datuk Ayub Khan dari cawangan antipengganas, gerakan IS ada agenda menguasai Putrajaya. Malah tahun lalu, sebahagian anggota IS yang ditahan mengaku pernah bercadang menyerang pusat hiburan dan kilang arak di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

Kerajaan Malaysia dilihat bersungguh-sungguh untuk menentang ancaman IS ini. Kerajaan mengumumkan penubuhan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOMM) bagi membatasi sebarang aktiviti pengganas yang boleh menggugat penduduk di Timur Sabah.

Bagi mengelakkan warga Malaysia menyertai IS di Asia Barat, kerajaan bekerjasama dengan agensi perisikan antarabangsa dan INTERPOL untuk memerhatikan perjalanan warganya yang berhasrat ke Iraq dan Syria. Kawalan juga diperketatkan di sempadan membabitkan pemerhatian warga asing yang ingin menyertai IS.

Perkasa undang-undang

Kerjasama antara negara juga dilakukan pada peringkat ASEAN bagi memastikan penguatkuasaan imigrasi dilakukan secara efektif. Tindakan ini berkesan apabila baru-baru ini, seorang perekrut IS, Abu Hud memberi amaran melalui media sosial kepada anggota baharu IS dari Indonesia untuk tidak menggunakan Malaysia sebagai laluan transit kerana penguatkuasaan ketat sedang dilakukan di Malaysia. Setakat ini, pihak polis juga menahan 51 warga Malaysia dan 12 warga Indonesia yang ingin menyertai IS sejak Februari 2014. Media sosial milik IS juga dipantau.

Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan Kertas Putih di Parlimen pada 26 November 2014 kena pada masanya untuk membanteras kegiatan pengganas di Malaysia. Undang-undang pembanterasan jenayah diperketat dan undang-undang baharu juga bakal dibentuk khusus untuk membanteras aktiviti pengganas.

Malah Majlis Fatwa Kebangsaan juga menyenaraikan IS sebagai pengganas dan matinya seorang Muslim menerusi perjuangan IS tidak boleh dianggap mati syahid. Yang jelas, perjuangan IS harus ditolak semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan. Dr Mohd Azizudin Mohd Sani Profesor Madya di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia Berita Harian Kolumnis 25 Jan 2015

Tags: islam, pengganas
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments