kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Susah sangatkah nak turun harga?

Malaysia dijangka akan berhadapan dengan cabaran ekonomi berikutan penurunan harga minyak global serta kejatuhan mata wang Ringgit Malaysia dalam tempoh kebelakangan ini. Secara hakikatnya isu turun naik harga minyak bukanlah sesuatu yang luar biasa dan perkara ini sememangnya dijangka berterusan berlaku berikutan ini dikawal oleh kartel-kartel tertentu.

Namun begitu walaupun kadar penurunan harga minyak mentah dunia berlaku agak drastik, sepatutnya ini akan memberi kesan kepada harga barangan namun malangnya perkara itu tidak berlaku.

Tetapi jika harga minyak naik sekecil 5 sen sekalipun, dengan tidak semena-mena harga barang juga akan berlipat kali ganda berbanding kenaikan harga minyak tadi.

Walhal sumbangan kenaikan harga minyak itu adalah amat kecil untuk kenaikan harga barang yang kebanyakannya tidak masuk akal dan terlalu bermotifkan keuntungan.

Apatah lagi pada masa sekarang, harga minyak dunia turun daripada AS$110 setong pada Jun 2014 kepada AS$60 setong pada bulan ini.

Penurunan harga minyak ini sudah tentu sangat signifikan jika hendak dibandingkan dengan tindakan pihak peniaga yang langsung tidak menyumbang kepada sebarang penurunan harga barang.

Oleh itu sudah sampai masanya kerajaan perlu melakukan penguatkuasaan lebih berkesan serta menyiasat keuntungan yang diraih pengeluar, pengedar dan peruncit bagi mengenal pasti barangan yang memperoleh keuntungan berlebihan.

Namun sudah tentu para peniaga ini akan memberi seribu satu alasan tidak mahu menurunkan harga barang kerana seolah-olah satu 'ketagihan' untuk mengaut keuntungan dan mengambil kesempatan sebanyak mungkin demi memenuhi 'poket' dan gaya hidup mereka sendiri.

Maka akhirnya sebarang tindakan yang dilakukan kerajaan jika ada sekalipun tidak akan mampu memberi kesan kepada para peniaga ini kerana bagi mereka konsep pasaran bebas adalah umpama ‘agama’ kepada mereka.

Oleh itu adalah tidak menghairankan jika semakin hari semakin ramai rakyat yang kecewa kerana tidak ada sesiapa boleh membantu untuk menangani masalah yang dianggap paling utama bagi mereka kerana ini melibatkan perkara asas dalam kehidupan seharian mereka.

Mereka akan tertanya-tanya kepada siapa lagi mereka mahu bergantung sedangkan semua pihak terutama golongan peniaga sudah tentu hanya akan bersikap sinis dan ketawa besar sambil mengaut keuntungan demi keuntungan walaupun harga minyak turun.

Melihat kepada keadaan ini sudah tentu sikap peniaga ini tidak akan berubah walaupun harga minyak masak, harga lembu, harga gula mahupun harga telur masin turun dan adalah mustahil mereka akan menurunkan harga barang.

Apatah lagi dengan sikap golongan peniaga ini yang mengutamakan keuntungan yang berlipat kali ganda, sudah pasti keluhan dan tangisan rakyat terutama golongan miskin tidak akan didengari.

Namun begitu masih belum terlewat kerana sekurang-kurangnya masih ada sinar di hujung terowong dalam menyelesaikan kemelut melibatkan golongan peniaga yang tamak haloba ini.

Sesungguhnya kita sendiri yang perlu berjuang demi hak kita kerana hakikatnya segalanya terpulang kepada kebijaksanaan kita sebagai pengguna.

Jika kita bijak sudah pasti kita yang boleh menentukan serta menjatuhkan golongan peniaga ini kerana kuasa membeli serta pengaruh di pasaran sebenarnya terletak di tangan kita.

Kita sebenarnya 'raja' yang berkuasa menentukan barangan mana yang mahu dibeli dan produk siapa yang perlu diboikot.

Namun malangnya kerana sikap tidak acuh serta mahu tak mahu, akhirnya kita tenggelam dalam pembohongan melalui pelbagai strategi perniagaan selain pelbagai medium yang meralitkan kita.

Lupakan soal penguatkuasaan oleh pihak berkuasa kerana kita tahu akhirnya kesukaran pemantauan selain putar belit oleh golongan peniaga tamak ini yang akan memberi pelbagai alasan yang akhirnya hanya akan memenangkan mereka.

Apatah lagi hasil dari cukai yang dikaut kerajaan untuk pelbagai perbelanjaan menyebabkan adakalanya akan membuatkan mereka berada di pihak yang menang kerana kebergantungan terhadap keuntungan yang dikaut mereka.

Namun malangnya dalam memperkatakan tahap kebijaksanaan kita sebagai pengguna adakalanya umpama satu episod sedih yang tidak pernah padam.

Saya mengambil satu contoh ketika wilayah Gaza di Palestin diserang dan dimusnahkan secara sesuka hati oleh Israel, kebanyakan kita begitu bersemangat menentang dan memboikot produk-produk berkaitan negara Yahudi itu sehingga adakalanya bertindak di luar batasan.

Namun apabila keadaan sedikit pulih, maka ramai antara kita terlupa dan berbondong-bondong kembali memenuhi sebuah restoran makanan segera yang sebelum ini merayu agar tidak diboikot.

Keadaan dan mentaliti sebeginilah yang membuatkan tahap kesedaran sebagai pengguna bijak kembali menjadi satu episod sedih yang tidak akan selesai.

Kesedaran yang hanya hangat-hangat tahi ayam sebegini perlu dikikis jika kita benar-benar serius mahu bersatu dalam memboikot pihak peniaga tamak ini yang enggan menurunkan harga barang walaupun semua kita tahu harga minyak sudah turun.

Kebijaksanaan kita sebagai pengguna perlu menjadi agenda utama dalam kita melancarkan 'jihad' terhadap golongan peniaga yang sentiasa mahu menang dan tidak mempedulikan kebajikan dan keperluan rakyat yang kini semakin terdesak.

Kita tahu bukan semua peniaga mempunyai sikap sebegini dan kita juga faham bahawa pihak peniaga perlu membuat keuntungan demi survival mereka.

Namun kini isu pokoknya adalah harga minyak sudah turun takkan air suam di kedai mamak masih lagi sekitar lima puluh sen sedangkan kosnya hampir tiada.

Kini sudah sampai masanya kita menentukan siapa sebenarnya raja serta lebih pandai dan bijaksana kerana kuasa sebenarnya di tangan kita. Cumanya adakah kita sendiri masih tidur, lesu atau sengaja bersikap tidak peduli. Hafizahril Hamid Utusan Malaysia Rencana 25 Jan 2015

Tags: ekonomi, harga
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments