kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Susahnya jadi artis di Malaysia

Walaupun banyak yang menyimpan cita-cita nak jadi artis, tapi kalau boleh simpahlah baik-baik cita-cita itu. Bukan mudah menjadi artis di Malaysia ini. Tengok saja mudah tapi sebenarnya sangat payah. Kalau diletakkan artis Hollywood pun mereka akan cabut lari kerana tak tertanggung cabaran yang menanti.

Semua kepayahan ini Siti tengok daripada pembacaan Siti di media cetak yang menulis tentang artis kita. Maka selepas banyak membaca Siti pun membuat kesimpulan tentang susahnya untuk menjadi artis di negara kita. Dahlah bayaran kecil, persaingan besar nak jaga orang media pula bukannya mudah.

Antara kriteria untuk menjadi artis di negara ini ialah mesti mesra media. Kalau mesra media dan selalu tunjuk muka senyum kepada wartawan, anda akan digelar “mesra media”. Apabila mendapat gelaran ini mudahlah untuk mendapat tempat dalam media walaupun kebolehan anda tak seberapa.

Kriteria lain ialah jangan berlagak diva. Siti sendiri pun tak faham istilah diva tetapi hentam sajalah sebab semua surat khabar dan majalah selalu tulis istilah ini. Kalau anda berlagak diva (jangan tangan Siti cara-cara berlagak diva sebab Siti pun tak tau diva itu apa bendanya) maknanya wartawan akan menjauhkan diri daripada anda.

Sebenarnya kriteria yang sama juga ditetapkan oleh sesetengah wartawan kepada Ketua Pengarah Finas. Sebabnya ada wartawan menulis memuji Ketua Pengarah Finas kerana tidak lokek senyuman dan mesra media. Boleh buat kerja atau tidak, tak menjadi masalah asalkan murah senyuman dan mesra media.

Tapi Siti tak pernah tengok pula tulisan hiburan di luar negara yang mempertikaikan artis Hollywood yang tak mesra media. Siti agak-agaklah kalau nak cari artis Hollywood yang mesra media, alamat tak jumpalah. Nak mesra macam mana nak dekat pun tak boleh. Tapi wartawan sana tak tulis pula artis mereka tak mesra media.

Begitu juga dengan isu berlagak diva, Siti belum pernah baca lagi cerita tentang artis Hollywood yang berlagak diva. Kalau nak dikira mereka memang berlagak pun tapi tidak menjadi isu. Di sini kalau buat begitu alamat kena hentamlah. Balik-balik timbul isu berlagak diva.

Rasa-rasanya kenapa wartawan di sana tak ambil kisah sangat dengan hal-hal remeh-temeh tentang artis mereka? Atau mereka faham bahawa menjadi artis itu adalah satu hak eksklusif yang tidak ada kepada orang lain, tak boleh orang senang-senang nak bergambar, bersalam atau berpeluk dengan artis macam di sini?

Barangkali kalau wartawan kita berkerja di Hollywood, sudah tentu tak menang tangan nak tulis pasal artis yang tak mesra media dan berlagak diva. Mungkin setiap hari tulis benda yang sama kerana artis di sana memang berlagak diva. Tapi mereka tidak boleh tulis pula kisah artis itu yang dengki dengan artis ini seperti di negara ini.

Siti fikir untuk membuat anjakan kepada artis-artis kita, pihak wartawan terutama wartawan muda yang urban kenalah membuat anjakan dulu. Rasanya banyak juga isu lain selain berlagak diva yang boleh diajukan kepada artis kita. Cubalah bawa artis kita keluar dari dunia mereka yang sempit itu. Walaupun banyak artis kita hanya menjaja kontroversi yang basi tapi ada juga yang ada pemikiran besar tentang dunia kerjaya mereka.

Kalau nak diikutkan orang yang berlagak diva, bukan artis sahaja, orang lain pun ada yang terlebih diva yang menyusahkan wartawan mendapat kerjasama mereka. Jadi, marilah kita sama-sama membuat anjakan. Siapa lagi yang akan mengubah dunia hiburan kalau bukan wartawan hiburan yang muda dan bertenaga. Tapi kenalah banyak membaca, jangan baca tulisan sendiri saja.

SITI JARUM: Syukur kerana masih diberi peluang menulis di Mingguan Malaysia, ingatkan kontrak sudah tak disambung.  Siti Jarum Utusan Malaysia Rencana 25 Januari 2015 12:44 AM
Tags: artis
Subscribe

  • Tentang gitar dan pemain gitar

    Gitar adalah alat muzik yang paling popular di negara kita ini. salah satu sebab kerana harganya yang murah dan mampu dimiliki oleh warga marhaen…

  • P.Ramlee khazanah negara

    Mungkin masih ramai yang tidak mengetahui bahawa, Yusnor merupakan salah seorang anak didik Allahyarham P. Ramlee dalam dunia penulisan skrip satu…

  • Pergi ....

    Pergi tak kembali ... TIADA yang lama, tiada yang baru... Begitulah boleh diumpamakan dengan kehadiran dan kehilangan pejuang-pejuang dalam…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments