kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

10 sikap jelek pemandu

MINGGU lepas telah bermula kempen jualan besar-besaran syarikat kereta di negara ini. Banyak model baharu diperkenalkan, selain model dipertingkatkan atau facelifted. Januari adalah bulan yang sibuk dan menyeronokkan, terutama penggemar dunia automotif.

Menulis tentang industri automotif kena ada minat yang tinggi terhadap automotif, kena ada kasih sayang dan keprihatinan tentang serba-serbi yang berlaku dalam dunia automotif.

Bukan glamor atau seronok dapat pandu kereta baharu semata-mata. Saya beli buku teks kejuruteraan automotif terbitan Universiti Teknologi Malaysia. Ini terpaksa dilakukan kerana ketiadaan pendidikan asas kejuruteraan mekanikal seumpamanya.



Hanya Mr. Bean mampu memandu dari atas bumbung kereta. – Gambar Hiasan

Selain itu, kena kerap membelek Glosari Industri Pembuatan Kereta terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Berkenalanlah dengan istilah injak cekam (cluth pedal), sistem gantungan (suspension), kuasa kilas (torque) dan aci sesondol atas tunggal (single overhead camshaft). Itu belum pening berbanding menghafal apa itu kebuk pembakaran (combustion chamber) dan pemampat gelang omboh (piston ring compressor) atau pancarongga pengambilan (intake manifold).

Untuk menjadi pengulas dan pemandu uji kereta, seseorang itu hendaklah lebih daripada sekadar tahu menulis. Diri sendiri kena minat memandu. Ini kerana hanya dengan pengalaman memandu, baharulah dapat membezakan model terkini dengan sebelumnya atau dibandingkan dengan jenama lain.

Baru-baru ini, berbual bersama wartawan pemotoran, Izwaashura Sadali dan Gan Yong Li tentang topik yang menarik dan wajar dibicarakan dalam ruangan Merrepak hari ini iaitu sikap jelek pemandu di negara ini.

Tidak bermakna kami ini pemandu terbaik di dunia kerana diakui, ada tabiat buruk pemanduan yang memang sukar dibendung. Anda baca dan bersikap jujur pada diri sendiri. Manakah perkara yang biasa anda lakukan. Bolehkah anda hentikannya?

Sudah sedia? Berikut adalah 10 perkara jelek yang dilakukan oleh pemandu di Malaysia:

1 Menaip mesej pada telefon


Makin dilarang guna telefon semasa memandu, makin berleluasa pula. Sekarang orang galak menaip teks telefon sambil memandu. Larangan pihak berkuasa meliputi apa sahaja yang menyebabkan tangan anda memegang benda lain selain kemudi roda (steering wheel) dan yang mengalih perhatian anda daripada kereta di depan.

2 Memasang lampu kecemasan semasa hujan lebat

Sekolah memandu manakah yang mengajar mereka bahawa memasang lampu kecemasan (hazard light) adalah selamat semasa memandu dalam hujan lebat? Kononnya lampu hazard yang kelap-kelip seumpama lampu siren polis, akan membolehkan orang di depan dan belakang kereta nampak anda. Baca ayat ini: Lampu kecemasan hanya untuk kereta yang tidak bergerak.

3 Kedekut pasang lampu

Walaupun siang hari, bila hujan lebat tahap pemandangan kita akan jadi terhad. Pasanglah lampu supaya kereta di depan dan belakang nampak anda. Ia tidak akan membakar mentol kereta. Sebaliknya, akan menyelamatkan anda.

4 Perlahan di lorong kanan

Alasan yang diberi sama ada mereka hendak menyeberang ke kanan (walaupun ada 10 km lagi) atau jalan di lorong kiri berlubang maka lebih selamat kekal di lorong kanan. Semua tahu lorong kanan adalah lorong laju dan untuk memotong. Bukan lorong kereta pengantin.

5 Perlahan di lorong tengah

Di jalan tiga lorong terutamanya. Bila lorong kanan untuk laju, memotong maka lorong tengah pula untuk memandu mengikut had laju? Betul? Memang betul tapi bukan untuk perlahan mati. Gunalah lorong paling kiri kalau nak berborak. Oh, lorong kiri berlubang.

6 Enggan beri isyarat lampu

Kita tidak marah kereta Kelisa atau Kancil mengambil selekoh tanpa memberi isyarat. Kereta kecil dan usang ini ada masanya lampu tidak bernyala. Tetapi yang mendatangkan sumpah seranah ialah pemandu kereta besar dan mahal. Berlagak. Kaya raya tapi tak tahu fungsi batang di sebelah steering wheel. Petik batang itu, ia akan keluar lampu. Tau?

7 Memotong dekat lorong 
plaza tol

Pemandu bertamadun akan beratur mengambil giliran untuk melalui plaza tol. Orang kurang siuman sahaja yang selamba memotong giliran di situ tanpa peduli pemandu lain boleh berlanggar.

8 Memotong dalam kesesakan lalu lintas

Pemandu sebegini memang pentingkan diri sendiri. Dia seorang sahaja hendak cepat. Dia seorang sahaja penting di jalan raya. Bertenang dan senyumlah tetapi jangan bagi laluan langsung kepada mereka.

9 Tekan brek setiap lima saat

Kadang-kadang ini membabitkan pemandu veteran, yang tidak biasa memandu kereta gear automatik. Asyik rasa nak terbabas, terlajak. Maka kaki pun asyik memijak pedal brek. Kita di belakang jadi pesakit mental sebab kena sama-sama membrek. Tetapi rupa-rupanya mereka tengah menaip pada telefon!

10 Motosikal di lebuh raya

Kita pun ada kapcai dan tahu perasaan menjadi penunggang. Tetapi kita juga tahu membaca larangan menunggang di Lebuh Raya Persekutuan dan guna lorong yang dikhaskan untuk motosikal. Kenapa masih ramai gunakan jalan utama? Banyak bahaya. Jalan berlubang. Kena rompak. Tapi tahukah anda akan “mati katak” jika kemalangan di jalan yang tidak diwartakan untuk motosikal?

Subscribe

  • Semua akan hilang kerana politik dan berpolitik

    Politik dan bermain politik ( politicking) adalah merupakan definisi agak mudah sehingga sering digunakan secara longgar. Politik adalah cara…

  • Membaca Terlalu Banyak Berita Politik

    Mengamati dan taksub akan isu politik boleh membahayakan kesejahteraan, kebahagiaan dan hubungan anda Tak kira ketika musim pilihan raya atau…

  • Fitnah dan Memburukan

    Minta maaf atau sedia di saman , minta maaf atau jumpa di mahkamah sudah menjadi ‘bahasa pertuturan’ kegemaran masa kini baik kepada…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments