kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mao Tse-tung, pengganas terbesar

KESANGSIAN Lin Biau tentang sikap Mao Tse-tung terhadap dirinya terbukti apabila parti komunis mengadakan perhimpunan pemimpin kanan parti bulan Ogos 1970 – hampir setahun setelah Lin Biau diisytiharkan sebagai pengganti Mao – yang diadakan di Lushan. Dalam beberapa ucapannya di perhimpunan itu, Mao langsung tidak menyebut nama Lin Biau. Memanglah tujuan Mao untuk menunjukkan dia masih berkuasa, jangan ada sebarang usaha untuk menggugatnya.

Pertelingkahan tercetus apabila Lin Biau mencadangkan supaya Mao mengisi jawatan Presiden China yang kosong setelah Liu Shao-chi disingkirkan. Mao bukan saja enggan mengisi jawatan itu, malah mahu ia dihapuskan. Lin Biau berhujah, jawatan itu wajar dikekalkan dan Mao perlu mengisinya. Lin sebetulnya merancang untuk menjadi Timbalan Presiden China apabila Mao dilantik Presiden. Dalam keadaan itu, Lin Biau menganggap kedudukannya cukup kuat, bukan saja dalam parti, malah menjadi orang No. 2 dalam kepimpinan negara.

Ketegangan semakin memuncak apabila empat daripada lima pemimpin tertinggi parti yang hadir (Mao, Lin, Chow En-Lai, Kang Sheng, Chen Bo-da) memberi pendapat bersetuju supaya Mao mengisi jawatan itu. Ini memberi kesan mengejut kepada Mao. Dia menghadapi keadaan di mana tiga pemimpin yang rapat dengannya itu telah menyebelahi Lin Biau daripada menurut kemahuannya.

Perhimpunan di Lushan itu berakhir pada 6 September tanpa sebarang keputusan mengenai pengisian jawatan Presiden China. Bagi Mao, dia perlu bertindak lanjut untuk menghakis kuasa-kuasa Lin Biau demi keselamatan dirinya. Dia tahu, ini bukan kerja yang mudah. Dia tidak boleh menyingkir Lin Biau dengan mudah seperti yang telah dilakukannya terhadap Peng De-huai, misalnya. Ini kerana, sepanjang tempoh sepuluh tahun menjadi Menteri Pertahanan, Lin Biau telah menempatkan “orang-orangnya” mengisi jawatan-jawatan penting dan strategik dalam angkatan tentera China.

Sebaliknya pula, Lin Biau tahu keadaan yang dihadapi Mao. Dikatakan bahawa, Lin Biau telah merangka sepucuk surat ditujukan kepada Mao Tse-tung, mengatakan bahawa, jika Mao menyingkirkannya (Lin), Mao akan terpaksa merombak keseluruhan struktur kepimpinan angkatan tentera China – dari pusat sampai ke wilayah-wilayah. Demikian juga menyentuh struktur jentera parti. Jika dia membuat rombakan secara drastik, Mao tiada pilihan mencari pengganti kecuali memanggil semula pemimpin-pemimpin parti yang telah disingkirkan sebelum itu atas kehendak Mao juga. Tetapi, surat itu tidak dihantar kepada Mao atas nasihat isterinya, Ye Qun, yang juga seorang ahli Politburo parti.

Pertelingkahan

Menurut Jung-Halliday, Mao Tse-tung mengambil sikap berhati-hati. “Mao wanted to neutralize him (Lin Biau) as much as possible without purging him”, sementara Lin Biau pula, menurut Jung-Halliday“….continued to refuse to perform the self-abasement that Mao demanded” (halaman 576 buku mereka). Self-abasement ialah cara perang komunis memaksa seseorang membuat pengakuan yang mengkritik dan menghina diri orang itu sendiri. Ini berlaku pada bulan Mac 1971 – tujuh bulan selepas bercetus pertelingkahan Mao dengan Lin di Lushan – apabila Mao mengadakan satu persidangan khusus untuk mendengar self-abasement oleh Lin Biau, isterinya dan beberapa orang pegawai tinggi tentera yang dianggap penyokong Lin. Lin dan isterinya enggan hadir walaupun Chow En-Lai telah datang sendiri ke rumah mereka menyuruh mereka hadir.

Beberapa hari selepas kejadian itu, Lin Biau, Ye Qun dan satu-satunya anak mereka, Lin Li-guo (lelaki) telah pergi ke Suzhou untuk berbincang apa yang mereka anggap “….If the Lin dynasty was to be saved, it was time to act. (halaman 191, buku Harrison Salisteny)”. Lin Li-guo berumur 27 tahun, kelulusan Universiti Beijing jurusan fizik, memasuki tentera udara China atas dorongan bapanya, menjadi juruterbang jet pejuang. Dalam masa yang singkat, kedudukannya meningkat sebagai timbalan komander bahagian operasi tentera udara China. Di Shuzhao, mereka bertiga berbincangkan rancangan untuk merampas kuasa.

Kemungkinan pertama, Lin Biao akan bertindak untuk “menyelamatkan” kedudukan Mao Tse-tung melalui kudeta menggunakan sebilangan tentera elit dari angkatan udara. Dalam gerakan itu, Chow En-lai, Jiang Qing, Kang Sheng dan beberapa orang pegawai tentera akan ditangkap atau dibunuh. Kemudian Lin Biao akan mengisytiharkan tujuan gerakan itu dilancarkan, dirinya akan dijulang sebagai wira penyelamat Mao. Gerakan ini diberi nama rahsia Projek 571, pilihan Lin Li-guo. Dalam bahasa Mandarin, sebutan ‘571’–wu qi yi– bunyinya menyamai sebutan ‘tentangan bersenjata’. Li-guo memainkan peranan utama dalam perbincangan tiga beranak itu.

Sebelum pergi lebih jauh, elok saya ceritakan sedikit latar belakang Lin Li-guo. Walaupun bapanya pengikut setia Mao, Li-guo sentiasa memandang serong terhadap dasar-dasar Mao Tse-tung. Pengajiannya di Universiti Beijing telah teruk terjejas semasa meletusnya Revolusi Kebudayaan. Dia hanya ikut serta Red Guards setelah kuat didesak oleh ibu bapanya. Pembabitannya pun sekejap saja, tidak sampai tiga bulan. Sikapnya membenci keganasan. Dia mengkritik keras dasar-dasar Mao yang dia tahu telah menyebabkan kesusahan kepada rakyat China. Li-guo berpeluang membaca banyak majalah sains dari Barat dan suka memuji kemajuan sains dan teknologi Barat. Dia juga sering membaca dokumen-dokumen rahsia yang di bawa pulang oleh bapanya. Ini menjadikan Li-guo cukup maklum apa yang berlaku di China.

Sejak berlakunya perbalahan Mao – Lin Biao bulan Ogos 1970 itu, Lin Li-guo sudah menentukan – tanpa memberitahu bapanya – bahawa sesuatu harus dibuat untuk menyelamatkan keluarganya. Dia bersendirian telah ‘merancang-rancang’ apa yang patut dibuat sebelum Mao melakukan sesuatu terhadap bapanya. Dan, apakah “jalan keluar” jika langkah menentang Mao tidak berjaya. Tanpa pengetahuan bapanya juga, Li-guo dan tiga orang rakan karibnya telah membuat beberapa kesimpulan mengenai Mao Tse-tung: Mao ialah pencetus (promoter) keganasan (violence) terbesar dalam sejarah China. Mao suka melaga-lagakan rakyat China supaya mereka saling bunuh-membunuh. Mao seorang paranoid dan sadis. Mao ialah diktator feudal yang paling kejam dalam sejarah China. Mao menjadikan jentera kerajaan sebagai alat untuk menyembelih dan menghancur rakyat China. Mao dianggap seperti pesawat pengembom B-52 Amerika dengan erti kata bahawa perut Mao yang besar itu penuh dengan pemikiran jahat untuk membunuh manusia.

Pendek kata, sikap Li-guo terhadap Mao Tse-tung sangat jauh berbeza dengan kritikan penentang-penentang Mao dari kumpulan orang lama. Li-guo melihat Mao sebagai syaitan (evil), dan Mao tidak sesuai memerintah China. Bagi Li-guo, tiada kompromi atau dialog jika berdepan dengan Mao. Bagi saya, Li-guo seperti gelagat Claus Von Stauffenberg, pegawai German yang telah cuba membunuh Hitler pada 1944. Kisah selanjutnya akan menyusul dalam coretan saya di minggu hadapan. - Rahim Noor Utusan Malaysia Rencana 25 Jan 2015

Tags: komunis, mao
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments