kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Berilah DBP 'bisa dan sengat'

Perhatikan kehidupan kita pada setiap hari. Boleh kita katakan tiada hari berlalu tanpa bahasa Malaysia atau bahasa kebangsaan dipinggirkan. Berdasarkan Dasar Pendidikan Kebangsaan, semua pelajar lepasan sistem ini sepatutnya boleh bertutur atau berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu. Namun hingga ke hari ini, kita masih mengabaikannya, sebaliknya berbangga mengguna bahasa rojak – bahasa Melayu ‘digaul’ bersama bahasa Inggeris.

Masalah ini tidak akan ada penyelesaiannya sebab sudah wujud begitu lama. Masyarakat kita terdiri daripada golongan yang tahu berbahasa Melayu, dan golongan yang tidak ambil kisah sedikit pun terhadap memartabatkan bahasa rasmi ini.

Jangan kita salahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dikatakan memiliki kuasa untuk menguatkuasakan penggunaan bahasa yang betul pada nama hartanah, papan tanda dan iklan. Mereka juga manusia biasa yang punya kelemahan dan kurang bermaya apabila berdepan dengan kuasa pasaran yang dipegang oleh tauke, dan Melayu yang lupa pada bahasa ibundanya sendiri.

Jangan ditegur peranan ‘penguasa’ dan pengusaha syarikat besar atau kecil yang mungkin sudah tidak rasa apa-apa yang mereka rugi apabila tidak menghormati bahasa kebangsaannya sendiri. Jangan juga diletakkan beban seolah-olah bahasa Melayu ini diperlekehkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan pejuang bahasa. Mereka sudah banyak berusaha dan berjuang mendaulatkan bahasa Melayu hingga capai kedudukannya hari ini.

Pada saya, bahasa Melayu berada di kemuncak apabila banyak tokoh sastera dan tokoh bahasa berkhidmat di bawah bumbung DBP. Saya sendiri pernah berkhidmat di DBP selama 10 tahun. Saya diasuh tentang bahasa, penyuntingan dan penulisan oleh Hassan Ahmad, Asraf Wahab, Ismail Dahaman, Johan Jaaffar, Rahman Yusoff, Prof. Dr. Asmah Omar, Prof. Dr. Nik Safiah Karim, Awang Sariyan (Ketua Pengarah DBP sekarang) dan beberapa tokoh bahasa lain.

Tahun-tahun awal penubuhan DBP pada 1956 hingga 1980-an, perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini sungguh terasa bahangnya. Apabila tokoh bahasa keluar dan bersara daripada DBP tanpa pengganti yang berwibawa, bermulalah kejatuhan dan rasa tidak bermaya DBP. Apatah lagi ia dipimpin oleh bukan kalangan pejuang bahasa.

Beberapa tahun lalu, institusi ke­ramat ini kembali dipimpin oleh pejuang bahasa, maka besar harapan orang Melayu agar ke­­­du­dukan bahasa rasmi ini di­le­takkan kembali pada kedudu­kan­nya yang sepatutnya.

Pejuang bahasa dalam DBP harus mengurangkan kerja pentad­biran, sebaliknya turun padang mem­buat tinjauan dan me­negur pihak yang melakukan kesalahan bahasa. Banyak papan tanda dan iklan di seluruh negara masih tidak menggunakan bahasa Melayu yang betul dan tepat. Mungkin ada usaha pihak pengarah DBP Wilayah Utara, Timur, Selatan, Sabah dan Sarawak yang memantaunya tetapi selagi tiada perubahan ketara maka kita sendiri tahu apa kesimpulannya.

Sedih dan rasa terkilan jika kita terus mendengar hujah “DBP tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk bertindak tegas bagi memperbetulkan keadaan itu.” Semua pihak tahu bahawa DBP tiada peruntukan undang-undang untuk mengheret pesalah bahasa mahupun mengenakan denda.

Sebaliknya, sekadar bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam menjalankan pemantauan terhadap peng–gunaan bahasa. Meletakkan harapan tinggi kepada pega–wai bangsa Melayu di PBT supaya memainkan peranannya membetulkan penggunaan bahasa terutama ketika proses permohonan kelulusan papan tanda dan papan iklan, hingga ke hari ini nampaknya tinggal harapan sahaja. Pegawai PBT Melayu sungguh baik hati, lihatlah tolak ansur mereka yang boleh kita lihat pada papan tanda dan iklan yang sudah mendapat kebenaran PBT.

Penggunaan bahasa kaum Cina dan bahasa Inggeris pada papan tanda dan iklan semakin berleluasa bagaikan tidak ada sesiapa peduli. Sejak bila bahasa asing itu sudah diangkat sebagai bahasa rasmi menggantikan kedudukan dan fungsi bahasa kebangsaan?

Selagi tindakan sekadar menjalankan kempen kesedaran kepada orang ramai agar menggunakan bahasa Melayu dengan betul, maka usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan tidak akan ke mana-mana. Sebab, tiada apa-apa hukuman jika mereka melakukan kesalahan. Jadi pada fahaman mereka, kalau buat salah pun – tidak apa.

DBP dan Kerajaan Pusat kena cari jalan lebih tegas dan berani demi kedaulatan bahasa kebangsaan. Kita tidak boleh lagi membiarkan DBP dan PBT seolah-olah terus tidur terhadap anasir-anasir yang berterusan memperlekeh bahasa rasmi negara ini. DBP patut diberi kuasa ‘autoriti’ yang ada bisa dan sengat.

Bangunlah wahai ‘penguasa’ bahasa Melayu – membenarkan pencemaran penggunaan bahasa kebangsaan dalam iklan, papan tanda ataupun dialog, jelas satu tindakan kurang sopan dan membelakangkan peruntukan dalam Perlembagaan serta merendah-rendahkan kedudukan bahasa kebangsaan.

Oleh sebab tidak tahu kepada siapa lagi boleh kita letakkan harapan mendaulatkan bahasa Melayu, ada baiknya kita sendiri belajar membetulkan mana-mana yang kita kurang faham, dan membaiki kesalahan dari segi tatabahasa. - Azman Anuar Utusan Malaysia Rencana 25 Jan 2015

Tags: bahasa, dbp
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments