kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Jangan mudah panik

MUKADIMAH : BARU-BARU ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan tindakan dan langkah proaktif kerajaan dalam menangani perubahan landskap ekonomi tempatan dan global.

Dalam ucapan pada majlis Perutusan Khas Tentang Perkembangan Ekonomi Semasa dan Kedudukan Kewangan Negara yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, beliau turut menegaskan ekonomi Malaysia pada masa ini bukan dalam keadaan gawat seperti yang pernah berlaku pada tahun 1997 dan 1998.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa Malaysia kini berhadapan dengan pelbagai cabaran dan oleh itu strategi-strategi yang diumumkan kerajaan merupakan langkah proaktif bagi tujuan penyesuaian ekoran berlaku faktor-faktor di luar kawalan termasuklah perubahan harga minyak mentah dunia serta kejatuhan mata wang negara.

Untuk mendapatkan pandangan lebih jelas tentang kedudukan ekonomi negara, wartawan MINGGUAN MALAYSIA, HAFIZAHRIL HAMID dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI telah mewawancara Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof . Datuk Dr. Noor Azl an Ghazali.

Beliau yang juga pakar ekonomi menyatakan kekuatan kepada Malaysia – walaupun itu strategi tetapi manfaatnya apabila barangan kita menjadi lebih murah, maka ia akan meningkatkan eksport.

"Kalau kita tengok nilai mata wang kita berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pernah sampai 3.66 tetapi kali ini nampak kelam-kabut seolah-olah kita tidak pernah mengalami situasi begini. Saya tidak merasakan kita patut panik dan bertindak cara luar biasa sebegitu. Cuma perlu buat sedikit pelarasan," ujar beliau ketika ditemui di Bangi, pada Jumaat lepas.

MINGGUAN: DUNIA terutamanya China dan Eropah dijangka mengalami kesuraman ekonomi pada tahun ini. Bagaimana pula dengan keadaan negara kita?

NOOR AZLAN: Saya fikir Perdana Menteri menjelaskan keadaan ekonomi negara kerana perbincangan di luar sana seolah-olah kita berhadapan dengan kegawatan dan mungkin ada pula yang menambah bahawa krisis yang digambarkan itu berpunca daripada faktor dalaman. Perdana Menteri cuba letak dalam dua konteks. Pertama, suasana yang kita hadapi sekarang bukan krisis. Saya sebagai ahli ekonomi mengaku kita tidak hadapi krisis seperti kegawatan pada tahun 1997-1998. Jadi, apa yang kita alami sekarang ialah, pertamanya bukan kegawatan kerana ekonomi global pun bukan dalam krisis seperti tahun 2009. Sebab itu, beberapa rantau di dunia, ada yang nampak peningkatan (ekonomi) manakala beberapa tempat lain nampak kesuraman.

Sebab itu, kita tidak boleh tafsir ini sebagai krisis. Cuma berlaku beberapa perkara yang kita anggap sebagai kejutan dan kejutan ini berpunca daripada kejutan luaran. Contohnya, sesuatu yang berlaku dalam pasaran tenaga terutamanya minyak. Apabila sesuatu berlaku di luar kawalan kita menyebabkan harga minyak jatuh, ia memerlukan kita membuat semakan semula dan sedikit pelarasan. Kalau tengok betul-betul, tak banyak pakej rangsangan. Ia bukan rangsangan kerana ekonomi bukan negatif tetapi berkembang pada kadar perlahan. Jadi, mengambil kira faktor-faktor ini, Malaysia mengambil keputusan buat semakan semula atau pemeriksaan realiti. Contoh, kalau saya hendak pergi ke Pulau Pinang, saya boleh sampai pukul 3 petang tetapi semasa tiba di Ipoh, hujan lebat sangat dan jalan sesak. Oleh itu, saya perlu buat pemeriksaan realiti. Jadi, saya beritahu mungkin saya sampai dalam pukul 5 petang atau 6 petang. Itulah keadaan sebenar yang berlaku di Malaysia.

Kalau kita tengok, semakan itu dibuat kerana jangkaan yang kita buat semasa Bajet 2015 itu sudah berubah. Konteks yang saya letakkan ialah kita bukan dalam situasi krisis tetapi kita ambil perhatian, buat semakan dan ambil langkah berjaga-jaga supaya keadaan itu tidak merebak. Kalau kita tidak kekang, keadaan itu mungkin merebak. Dalam masa sama, kita bercakap tentang kemungkinan sejauh mana ia boleh merebak.

Untuk mengelakkan kesuraman ekonomi ini merebak lebih teruk, adakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan ini bersesuaian dengan keadaan semasa?

NOOR AZLAN: Sejauh mana ia boleh merebak, sebenarnya bergantung kepada fundamental (asas) dalam negara. Kita rasakan fundamental kita kukuh. Pertama, kita tidak ada suasana tekanan inflasi. Kalau kita lihat pada tahun 2008-2009 apabila kenaikan harga minyak berlaku, ia menekan inflasi dan kuasa beli, tetapi suasana sekarang tidak sebegitu. Macam kata Perdana Menteri apabila harga minyak turun, ia mewujudkan pendapatan boleh digunakan itu meningkatkan. Kalau dahulu, saya belanja untuk minyak, sekarang saya ada banyak ruang untuk belanja bagi benda lain. Itu membolehkan saya meningkatkan perbelanjaan saya.

Kedua, dalam kedudukan rizab antarabangsa, dan ketiga dalam kedudukan sistem kewangan. Bagi saya, dalam keadaan ini, yang paling kita risau ialah kedudukan sistem kewangan negara. Mengikut laporan Bank Negara Malaysia (BNM), kedudukan sistem kewangan kita kukuh. Jadi, saya tidak jangka ia boleh merebak sampai macam itu. Tetapi oleh sebab minyak antara sumber yang besar kepada pendapatan negara, adalah bijak bagi kerajaan membuat semakan semula.

Contoh, kalau kita tengok defisit fiskal asalnya ialah 3.5 peratus dan kita hendak jadikan 3.0 peratus tetapi kita sedar ia tidak realistik dalam situasi ini. Jadi, kita letak sasaran 3.2 peratus. Sebenarnya, kadar itu masih pembaikan terhadap defisit fiskal, cuma tidak sebanyak jangkaan sebelum ini. Kadang-kadang, saya risau negara kita macam mengikat kita kepada dua nombor sahaja iaitu pertama, pertumbuhan ekonomi enam peratus dan kedua, defisit fiskal tiga peratus. Saya tidak fikir itu betul.

Dari segi ekonomi, itu tidak betul kerana kita tidak boleh memaksa ekonomi tumbuh dengan kadar sedemikian terutamanya Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi yang sangat terbuka, tidak seperti negara-negara lain. Jadi, sebarang kejutan dalam ekonomi global, akan beri kesan kepada negara kita.

Berdasarkan situasi ekonomi semasa, apakah Datuk merasakan sasaran pertumbuhan ekonomi atau Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.5 hingga 5.5 peratus boleh dicapai pada tahun ini?

NOOR AZLAN: Saya tidak fikir ia akan sampai ke kadar 5.5 peratus. Itu satu julat yang agak besar. Saya nampak mungkin sekitar 4.8 peratus atau 5.1 peratus. Kalau kita boleh capai kadar itu dalam persekitaran ekonomi sekarang, ia boleh diterima. Kita tidak sepatutnya terlalu panik.

Ada laporan mengatakan harga minyak yang sudah jatuh sekarang tidak mungkin melepasi paras AS$100 setong apabila naik kembali. Apa pandangan Datuk?

NOOR AZLAN: Sebenarnya episod kejatuhan harga minyak ke tahap ini pernah berlaku pada tahun 2009 dahulu. Harga minyak naik mendadak pada Julai 2008 dan selepas itu harga minyak turun sehingga AS$30 setong atau lebih. Kemudian, ia naik balik secara stabil. Apa yang kita lihat sekarang, harga minyak turun. Faktor (kejatuhan harga minyak) yang selalu kita dengar sekarang ialah pengeluaran bekalan itu lebih daripada permintaan. Tetapi sebenarnya, ia lebih daripada itu. Dalam penentuan harga minyak, ada faktor politik dalam kalangan pembekal minyak atau Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC). Secara ringkasnya, semasa harga minyak naik, ia menyebabkan negara-negara bukan pengeluar minyak utama untuk melabur dalam teknologi mencari sumber tenaga minyak. Sekarang ini, teknologi itu menjadi sangat bagus.

Dalam masa sama, isu geopolitik negara seperti Iran dan Iraq sudah semakin kurang dan sesetengah negara seperti Venezuela ada keperluan dalaman yang banyak. Negara-negara itu keluarkan banyak minyak, dan negara dengan teknologi baharu pun keluarkan banyak minyak. Jadi, ada lambakan yang menyebabkan harga minyak jatuh. Ada sedikit permainan politik. Negara kuasa besar minyak seperti Arab Saudi dan sebagainya, lazimnya tindakan OPEC secara kartel, akan cuba mengurangkan penawaran supaya harga naik balik. Tetapi pada masa ini, kalau dibiarkan jatuh, ia akan menyebabkan sumber baharu menjadi mahal balik. Ia sebenarnya lebih kepada strategi politik.

Sebenarnya, harga minyak pernah jatuh sehingga AS$30 lebih setong hanya sekitar lima atau enam tahun lalu. Itu perlu diberikan perhatian kerana banyak orang tidak sedar perkara ini. Mereka ingat harga minyak jatuh satu fenomena baharu. Jadi, sama ada harga minyak boleh naik balik atau tidak, satu faktornya bergantung kepada pertumbuhan ekonomi. Kalau negara-negara ekonomi dunia semakin rancak, ia akan naik balik. Tetapi pada masa sama, kita hendak lihat adakah berlaku perubahan struktur daripada segi penggunaan bahan api. Katakan ada penemuan teknologi baharu seperti solar, tenaga baharu dan pemuliharaan yang tinggi, kemungkinan kenaikan itu perlahan tetapi saya tidak fikir itu perkara pokok. Ekonomi ini akan berbalik kepada keadaan asal dengan sendiri. Ia akan naik balik kerana pelarasan ekonomi sebenarnya agak automatik. Jarang berlaku apabila ekonomi jatuh, ambil masa lama hendak naik balik. Apabila ekonomi jatuh, ia akan naik mendadak kembali.

Satu lagi kekuatan kepada Malaysia, walaupun kita tidak mahu kata itu strategi tetapi manfaatnya adalah apabila barangan kita menjadi lebih murah, sepatutnya ia akan meningkatkan eksport. Dalam ekonomi, ia ada mekanisme pelarasan sendiri.Selalu yang menjadi indikator bagi saya ialah kedudukan sistem kewangan. Kalau kita tengok nilai mata wang kita berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pernah sampai 3.66 tetapi kali ini nampak kelam-kabut seolah-olah kita tidak pernah mengalami situasi begini. Saya tidak merasakan kita patut panik dan bertindak cara luar biasa sebegitu. Cuma orang perlu buat sedikit pelarasan.

Kalau kita lihat sejak kebelakangan ini, Eropah mengalami krisis ekonomi beberapa kali sejak 2009. Apakah keadaan sebegini tidak akan berlaku di Malaysia?

NOOR AZLAN: Krisis kewangan akan menyebabkan krisis berpanjangan. Ekonomi di Eropah berbeza kerana bergantung kepada bank. Apabila bank mula goyah, ekonomi tidak boleh bergerak. Kita tengok kesan rantaiannya. Apabila bank tidak boleh bergerak, mereka akan mengecilkan operasi dan pekerja akan menerima kesan. Pekerja itu juga sebenarnya orang yang meminjam daripada bank. Perniagaan bank juga ada pendeposit. Cara perniagaan bank ialah meminjamkan wang yang dideposit oleh orang lain. Dalam kes Eropah, ia tidak boleh keluar (daripada krisis) kerana sistem kewangan yang meluas.

Jadi, sebab itu saya kata sistem kewangan itu sangat penting. Saya merasakan Bank Negara Malaysia (BNM) sudah belajar daripada kegawatan tahun 1997-1998. BNM boleh dikatakan agak konservatif dalam konteks memastikan ekonomi tidak terjebak dalam krisis. Saya tidak fikir itu akan berlaku kerana indikator perbankan tidak menunjukkan keadaan sebegitu.

Adakah langkah BNM mengetatkan syarat pinjaman serta mengehadkan kad kredit dan pinjaman peribadi sebelum ini berjaya mengurangkan risiko krisis kewangan?

NOOR AZLAN: Polisi BNM ini mudah kalau hendak diterangkan. Kita sebut dalam bahasa Inggeris lean against the wind. Maksudnya bersandar ke arah bertentangan. Kalau ekonomi terlalu laju, ia kena perlahankan. Kalau ekonomi terlalu perlahan, ia kena rancakkan. Saya nampak tindakan BNM bersifat begitu. Jadi, alhamdulillah. Kalau berdasaran indikator perbankan, tidak nampak akan timbul masalah. Kita percaya sistem pelaporan dan tadbir urus sudah jauh lebih baik daripada dahulu.

Dalam konteks ASEAN, bagaimana keadaannya dan negara mana yang menerima kesan daripada kegawatan ekonomi global ini?

NOOR AZLAN: Singapura juga akan kena. Kalau tengok, pertumbuhan Singapura dijangka turun sehingga 3.0 %. Kalau tengok pertumbuhan ekonomi purata Singapura 2010-2014 ialah 6.1 peratus dan ini adalah arah yang sepatutnya dituju Singapura. Negara-negara yang bersandar kepada ekonomi antarabangsa akan kena. Sebab itu, pada tahun 2001, Singapura kena teruk.

Singapura macam Malaysia juga banyak bergantung kepada ekonomi antarabangsa tetapi kebergantungannya lebih besar. Indonesia berbeza sedikit sebab ekonomi domestiknya besar dengan hampir 300 juta penduduk dan ekonomi domestik mampu bertahan. Semasa krisis ekonomi, kita pergi ke Indonesia tengok rakyat negara itu membeli-belah seperti tidak ada krisis ekonomi tetapi semasa krisis ekonomi tahun 1997-1998, keadaan berbeza kerana ia disebabkan sistem kewangan.

Kedua, sumber pendapatan. Kita menjadi kelam-kabut sedikit kerana antara sumber utama kita ialah minyak tetapi kita jangan memperbesar-besarkan perkara ini. Minyak hanya peratusan kecil daripada sumber pendapatan negara. Sebenarnya, banyak lagi benda lain yang kita eksport. Ini satu peristiwa yang baik untuk masyarakat menilai balik apa peranan minyak dalam ekonomi Malaysia. Banyak orang mengatakan satu-satunya cara untuk menurunkan harga barangan adalah dengan menurunkan harga minyak. Ramai orang membuat andaian mudah. Turunkan sahaja harga minyak, harga barang turun. Ini contoh yang baik, harga minyak naik, kita tengok harga barang naik tetapi apabila harga minyak turun, harga barang tidak turun. Apabila berlaku macam ini, petandanya mudah sahaja. Isu utama ialah struktur seperti sikap dan persaingan. Itu isu sebenanrya, bukan minyak. Kadang-kadang, kita membuat kesimpulan yang terlalu mudah.

Kalau ingat beberapa tahun lalu, kita dengar – turunkan harga minyak seolah-olah itulah keputusan yang terbaik dan akan dianggap kerajaan yang baik. Dalam artikel saya di Mingguan Malaysia pada tahun 2008, saya kata waktu malam yang gelap, kamu nampak seorang pakcik tercari-cari sesuatu di bawah lampu yang terang. Tanya dia, pakcik itu buat apa. Dia kata, pakcik cari dompet yang hilang. Kita tanya dia, kenapa pakcik cari di sini. Dia kata sebab ada lampu. Jadi, lampu itu yang menjadi penentu di mana dia hendak cari tetapi mungkin dompet dia tertinggal di rumah.

Jadi, kita punya lampu sorot (tumpuan utama) ialah minyak kerana orang suluh ke situ. Sama juga macam ekonomi, kadang-kadang segala-galanya masalah bumiputera dan segala-galanya punca Dasar Ekonomi Baru (DEB) sedangkan DEB sudah ada berpuluh-puluh tahun. Kalau betul DEB itu tidak bagus, ekonomi tidak boleh jadi macam ini. Tolonglah jadi realistik. Ahli ekonomi dan masyarakat terutamanya, sangat mudah terjebak dengan cerita lampu sorot tadi. Di mana lampu disuluh, di situlah ceritanya.

Tahun ini Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN dan antara tanggungjawab negara ialah merealisasikan penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) menjelang hujung tahun ini. Mampukah ASEAN menjadi blok ekonomi yang kuat agar negara-negara rantau ini tidak terjejas apabila berlaku krisis ekonomi?

NOOR AZLAN: Negara-negara ASEAN berbeza dengan Eropah kerana banyak intra negara-negara Eropah. Kita di ASEAN, masih kurang intra negara-negara ASEAN. Peluang untuk rantau ini berkembang maju dan mampu bertahan daripada kejutan dunia, aspek itu perlu dipertingkat dan saya percaya itu antara hasrat dalam AEC. Kepimpinan Malaysia amat penting kerana dianggap negara peneraju.

Walaupun saiz ekonomi Indonesia lebih besar kerana bilangan penduduknya besar tetapi daripada segi kemajuan teknologi dan kesederhanaan, Malaysia jauh lebih bagus. Singapura memang hebat tetapi penduduknya kecil. Satu lagi kekuatan dalaman ASEAN seperti produktiviti dan teknologi ASEAN perlu dipertingkat. Sebab itu, modelnya kita panggil strategi 'coopetition’ iaitu bekerjasama tetapi bersaing. Itu model terbaik yang perlu menjadi hala tuju AEC.

Tags: ekonomi
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments