kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Dalam politik bukan belot tetapi kompromi

Salah satu watak yang tercatat dalam semua sejarah tamadun manusia selain daripada pejuang ialah pembelot. Oleh kerana itu tamadun yang hebat sekalipun akan hancur apabila gagal mengenali pembelot yang berada di gelanggang sama. Orang Melayu menggambarkan pembelot, tidak kira dalam konteks negara, masyarakat atau organisasi sebagai musang berbulu ayam. Belot ialah sikap tidak setia dan berubah-ubah mengikut tinggi atau rendah nilai habuan yang diberikan kepadanya.

Saya mencatatkan tentang pembelot kerana dalam kalangan kita selalu lupa kepada watak ini. Kita hanya mengangkat watak pejuang atau wira tetapi terlupa pembelot juga menjadi faktor yang menguatkan seseorang pejuang. Sebabnya pejuang yang hebat bukan sahaja di medan pertempuran tetapi kenal dan dapat membaca langkah sumbang pembelot yang kononnya setia pada perjuangan.

Nama seperti Si Kitul dan Raja Mendaliar pada era Empayar Melaka, Brutus semasa Empayar Rom tahun 42 Sebelum Masihi, Aldrich Ames pada era Perang Dingin Amerika Syarikat (AS) dengan Kesatuan Soviet, Augusto Pinochet seorang jeneral yang akhirnya merampas kuasa daripada Presiden Chile, Salvador Allende atau Alexander Butterfield pada era Presiden AS, Richard Nixon sentiasa menjelma dan silih berganti dalam wajah dan bentuk yang lain.

Malah semua sejarah manusia juga mencatatkan bahawa pembelot bukanlah dalam kalangan orang luar. Sebaliknya dalam kalangan masyarakat sendiri. Inilah yang menyukarkan untuk dikenal pasti musang atau musang berbulu ayam. Wajah dan peranannya akan berubah mengikut keadaan bagi memastikan kedudukan yang selamat dan terus mendapat keuntungan peribadi.

Selepas lebih lima abad, jangan kita leka kononnya Si Kitul dan Raja Mendaliar sudah tiada. Sebenarnya kedua-dua watak ini terus wujud dengan nama dan wajah berbeza tetapi matlamatnya sama untuk mengaut kepentingan diri dengan condong kepada pihak yang boleh memberikan hasil kebendaan. Kejatuhan Melaka pada 1511 bukanlah kerana kehebatan bala tentera Portugis yang diketuai oleh Alfonso de Albuquerque. Malah bukan juga kelemahan bala tentera Sultan Melaka. Kejatuhan Melaka oleh penjajah yang datang dengan tujuh buah kapal disebabkan pengkhianatan Si Kitul dan Raja Mendaliar.

Dalam sejarah juga ada tercatat tali barut Portugis di Melaka ialah Raja Mendaliar yang menjadi Datuk Shahbandar Melaka. Si Kitul dan Raja Mendaliar membuat konspirasi menjatuhkan Bendahara Tun Mutahir berikutan konflik Bendahara dengan Sultan Melaka. Kejatuhan Melaka pada serangan kedua Portugis disebabkan ketiadaan Bendahara seorang strategis yang berjaya menangkis pada serangan pertama. Si Kitul dan Raja Mendaliar mengadu domba supaya Bendahara Tun Mutahir kelihatan buruk.

Kedua-dua watak pembelot ini adalah cermin terdekat kepada orang Melayu supaya pantas membaca yang tersurat dan tersirat pada peristiwa yang berlaku di sekeliling. Sekiranya ada musuh tetapi tiba-tiba diberi ruang menjadi pencetus untuk menjatuhkan dalam kalangan sendiri, bacalah dengan mata fikir. Sebab itu penting bagi orang Melayu menelaah semula Sejarah Melayu dan memetik maksud daripadanya.

Perihal pembelot juga boleh kita kutip daripada tragedi Empayar Rom sekitar tahun 45 Sebelum Masihi apabila Julius Caeser dikhianati oleh orang kepercayaannya, Brutus. Sasterawan tersohor William Shakespeare menulis semula tragedi Rom ini dalam naskhah agungnya, Julius Caeser (1599). Siapa Brutus? Bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad pernah mengingatkan kembali watak Brutus dalam satu ucapannya tahun 1996.

Semasa perang saudara tahun 49 Sebelum Masihi oleh Pompey dengan Julius Caeser, Brutus telah belot dan menyebelahi Pompey. Tetapi apabila Julius Caeser menang dan menangkapnya, Brutus menangis kononnya insaf dan meminta maaf kepada Julius Caeser. Padahal dia menjadi pembelot kerana menyokong Pompey. Julius Caeser tidak memikir panjang dan memaafkan Brutus. Bagaimanapun ketika banyak ahli senat cuba menjatuhkan Julius Caeser, Brutus merancang satu konspirasi dan membunuhnya.

Semasa sejarah moden AS, siapakah yang menjatuhkan Presiden AS yang paling licik, Richard Nixon kalau bukan pembelot? Nixon ialah Presiden AS yang paling hebat dasar luarnya tetapi terlibat dalam Skandal Watergate. Nixon jatuh kerana Skandal Watergate yang didedahkan oleh dua wartawan The Washington Post. Pembelot yang memberi maklumat ialah Alexander Butterfield, pembantu Nixon sendiri. Alexander Butterfield hidup kaya raya dengan ganjaran berjuta-juta dolar.

Pada era Perang Dingin AS dengan Kesatuan Soviet, ada tertulis dalam sejarah bahawa seorang anggota Agensi Perisikan Pusat (CIA), Aldrich Ames menjual maklumat kepada agensi perisikan KGB. Aldrich Ames mengaut ganjaran berjuta-juta dolar hasil pembelotan menjual maklumat sulit CIA kepada KGB selama 15 tahun “berkhidmat” dengan musuhnya.

Tetapi istilah pembelot tidak dirujukkan dalam dunia politik. Walaupun beberapa perbuatan yang pada mata kasar seolah-olah belot kepada ketua, perjuangan, parti malah bangsanya, tetapi itu ialah satu kompromi.

Ada pandangan yang ekstrem mengungkapkan bahawa tidak ada kesetiaan dalam politik melainkan kompromi yang menyumbang kepada kepentingan masing-masing.

Oleh kerana itu sangat menggelikan hati apabila di sana sini muncul “pendekar muda” yang belum cukup umur menghunus keris mencabar guru lamanya berlawan di gelanggang. Tetapi ini bukan belot. Ini cara pendekar muda tunjuk setia dan "sanggup mati" mempertahankan guru baharunya. Oleh sebab itu politikus yang hebat pasti tidak akan berasa sedih apabila dibuang oleh juak-juak yang pernah menjulang. Ini bukan belot tetapi berkompromi untuk kepentingan bersama.

Begitu juga dengan rasuah, semua ini tidak ada dalam politik. Yang ada ialah politik wang. Politik wang tidak disiasat oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM). -Ku Seman Ku Hussain Utusan Malaysia Rencana 25 Jan 2015

Tags: politik, rasuah, sprm
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments