kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bisik-Bisik Awang Selamat

Hadi, DAP, 13 Mei

Awang pernah beberapa kali nyatakan dalam ruangan ini, janganlah DAP, PKR mahupun puak pro-Anwarinas dalam Pas, ambil mudah Presiden Pas, Hadi Awang.  Kenyataan tegas Hadi yang membidas DAP berhubung isu pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pulau Pinang yang hanya untungkan penduduk bandar yang majoritinya Cina, satu lagi tamparan hebat kepada DAP. Bukan itu sahaja, Hadi berani mengaitkan pilihan raya PBT dengan kebimbangan terhadap berulangnya peristiwa berdarah 13 Mei, yang kita tahu apa dan siapa puncanya. Peringatan tersebut bagai menusuk ke jantung DAP. Ternyata kenyataan Hadi menyebabkan ramai pemimpin DAP melompat tak keruan. Setakat ini, reaksi balas daripada pemimpin DAP termasuk Setiausaha Pengelola DAP, Anthony Loke tidak meyakinkan dalam menyanggah Hadi. Alasan pilihan raya itu bagi mengembalikan hak kepada pembayar cukai dan rakyat kononnya atas nama demokrasi, hanyalah muslihat. Seperti dijangka, realiti penguasaan kaum Cina di bandar cuba dinafikan oleh DAP. Awang hairan mengapa DAP melenting. Kalau mereka boleh hina Pas  yang mahu laksanakan hukuman hudud di Kelantan, mengapa pendirian parti itu mahu mengadakan pilihan raya PBT tidak boleh dipersoalkan Pas. Mahkamah Persekutuan pada Ogos tahun lalu memutuskan kerajaan Pulau Pinang tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengadakan pilihan raya PBT. Ia tidak boleh secara sebelah pihak mengecualikan pemakaian Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 kepada seluruh Pulau Pinang. Seksyen 15 memansuhkan hak badan perundangan negeri untuk mengadakan pemilihan  kerajaan tempatan di negeri-negeri. Ekoran kenyataan Hadi, banyak pihak menyatakan sokongan meskipun pemimpin Pas tertentu yang condong kepada DAP, berdiam. Reaksi di akar umbi pula teruja dengan keberanian presiden mereka. Maruah Pas sedikit sebanyak terbela. Apa pun, Awang ucapkan tahniah dan angkat topi kepada Hadi. Tanggapan bahawa Pas di bawah kepimpinan beliau mudah dibuli oleh parti sekutu pakatan, sekali lagi dibuktikan, tidak benar. Ini baru permulaan bagi tahun 2015. Tolong jangan main-main sama Hadi.

DAP dan Melayu

Menerusi tulisan bertajuk 'DAP kuat tetapi tidak bermaya' dalam akhbar China Press 15 Januari, penulisnya Lim Fang mengingatkan DAP supaya tidak terlalu selesa terutama dalam konteks politik Pulau Pinang. Penulis itu berpendapat dengan jumlah penduduk Melayu makin bertambah berbanding penduduk Cina, ia akan membawa mudarat besar kepada masa depan politik DAP. Menurut Lim Fang, DAP sepatutnya bimbang dengan keadaan itu apatah lagi masih belum dapat mempengaruhi orang Melayu. "Jika UMNO dapat raih kemenangan di semua kawasan Melayu, DAP akan hadapi masalah dan untuk apa mereka berbangga sekarang.'' Inilah sebenarnya realiti yang mendepani DAP di sebalik keangkuhan pemimpinnya. Ia diburukkan dengan tindakan Pas menjauhi parti itu ekoran banyak perbalahan terutama dalam isu pelaksanaan hukum hudud. Akar umbi Pas tidak boleh menerima penghinaan demi penghinaan DAP. Tanpa sokongan Pas dan dengan kedudukan PKR yang lemah, DAP sedar impian untuk memerintah Kerajaan Pusat dan untuk makin dominan di Pulau Pinang pada pilihan raya akan datang, rumit untuk dicapai. Awang melihat, pendirian pemimpin DAP menyokong kalimah Allah untuk digunakan oleh semua agama, imej rasis yang tebal dan terlalu kecinaan, adalah satu lagi cabaran besar untuk menarik sokongan Melayu. Tetapi DAP tidak putus asa. Terbaharu, khabarnya, parti itu bertekad untuk bermati-matian mempengaruhi golongan muda Melayu terutama yang agak liberal, dengan apa sahaja cara. Ingatan Awang kepada semua orang Melayu - berwaspadalah. Sudah berulang kali terbukti dalam mendapatkan sokongan Melayu, DAP bermain wayang. Apabila sokongan diperoleh dan kemenangan dicapai pada pilihan raya, kepentingan Melayu bukan sahaja tidak dibela malah dilemahkan dan dibiar terpinggir seperti berlaku di Pulau Pinang. Lalu pemimpin DAP tersenyum puas – muslihat mereka berjaya. Seperti kata bekas Naib Pengerusi DAP, Zulkifli Mohd. Noor, harga orang Melayu kepada DAP hanya 50 sen. Alahai Melayu ...

Audit penuh klia2

Rumah siap pahat berbunyi. Itulah yang boleh dirumuskan daripada projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2). Walaupun terminal tambang murah itu telah beroperasi pada 2 Mei tahun lalu, ia masih dibelenggu beberapa isu yang dilihat belum selesai. klia2 yang dibina pada asalnya disasarkan untuk menampung 25 juta penumpang, kemudian ditambah kepada 45 juta  penumpang bagi setiap tahun,mengalami peningkatan kos tidak dijangka daripada RM1.7 bilion kepada RM4 bilion. Selain itu, beberapa isu lain turut mencetuskan persoalan antaranya tidak mengikut konsep asal, tidak mesra pelanggan, tidak jelas statusnya sama ada terminal hibrid atau tambang murah dan tidak pernah diaudit oleh Jabatan Audit Negara. Itu belum menyentuh kelemahan tertentu seperti pemendapan di apron, yang sedang ditangani melalui penubuhan jawatankuasa audit bebas tentang aspek keselamatan. Awang setuju dengan saranan daripada Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) yang dipengerusikan Nur Jazlan Mohamed baru-baru ini bahawa klia2 yang di bawah kendalian dan tanggungjawab Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) perlu diaudit secara menyeluruh. Walaupun projek pembinaan klia2 tidak menggunakan dana awam tetapi MAHB adalah anak syarikat kerajaan dan projek itu secara langsung melibatkan kepentingan umum. Atas nama integriti apa salahnya klia2 diaudit sepenuhnya supaya segala persoalan dan jika ada misteri, boleh terjawab. Itu juga cara terhormat bagi MAHB mempertahankan diri daripada sebarang tohmahan dan salah erti. Dengan harapan, klia2 akan kelihatan lebih 'bersih' selepas itu dan tiada lagi pahat berbunyi.

Caliph Buskers

Ramai orang muda kini bercerita tentang kumpulan penyanyi buta jalanan, Caliph Buskers yang persembahan mereka pada Anugerah Juara Lagu (AJL) TV3, mengagumkan ramai. Awang sempat menonton aksi kumpulan itu ketika menjamu selera di sebuah restoran mamak. Memang hebat terutama suara vokalis, Azmi, 28. Persembahan tersebut mendapat tepukan bergemuruh sambil berdiri daripada para penonton dan videonya viral sampai hari ini sehingga menenggelamkan para penyanyi utama yang bersaing pada AJL. Siapa menduga kumpulan enam orang muda yang selalu membuat penampilan di depan pusat beli-belah Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di ibu negara kini menjadi perhatian kerana kebolehan dan bakat seni mereka. Pekerjaan asal kumpulan itu ialah tukang urut sebelum aktif bermain muzik jalanan, membuatkan kita mudah untuk mengagumi mereka. Lalu Awang teringatkan penyanyi cacat penglihatan Allahyarham S. Jibeng dan juga Stevie Wonder. Tahniah kepada komposer Edry KRU kerana meyakini bakat Caliph Buskers lalu membawa kumpulan itu ke pentas AJL TV3. Sebenarnya banyak lagi insan berbakat termasuk kurang upaya di luar sana, yang tidak berpeluang diketengahkan. Persoalannya, ke mana mereka selepas ini? Walaupun khabarnya Caliph Buskers mahu terus beraksi di jalanan, Awang berharap bakat semula jadi mereka tidak sekadar terbatas di situ. Percayalah, mereka boleh pergi lebih jauh untuk menyinari industri muzik tanah air.

Kisah Zamani

Biarpun dimalukan kerana diarah menyanyi sambil tangan bergari di dalam lokap polis – peristiwa yang mencetuskan kegemparan minggu ini – penyanyi Zamani (Kumpulan Slam) menyerlahkan kejernihan hatinya. Beliau dengan mudah memaafkan anggota polis yang telah merakamkan video nyanyiannya dalam keadaan sebegitu, yang kemudian disebarkan oleh pihak ketiga. Orang ramai membantah perbuatan tersebut kerana mengaibkan dan mencabuli hak asasi manusia. Awang setuju. Ditahan polis atas dakwaan berkaitan dadah satu hal tetapi penyebaran video itu lebih memudaratkan Zamani. Anggota polis atas apa sahaja alasan tidak boleh meminta tahanan menyanyi untuk dirakam menerusi kamera telefon apatah lagi dengan tangan bergari. Namun ia adalah kes terpencil melibatkan seorang anggota, yang tidak mencerminkan keseluruhan organisasi polis. Pihak polis sendiri tidak berkompromi dengan perbuatan sedemikian. Awang turut terharu dengan permintaan Zamani agar isu itu tidak dipanjangkan. Ternyata beliau berjiwa besar. Semoga kejadian tersebut menjadi pengajaran yang sangat bernilai kepada kita semua. -Awang Selamat Utusan Malaysia Rencana 25 Jan 2015

Tags: dap, politik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments