kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Hudud vs pilihan raya PBT

Debat terbuka tentang hudud perjuangan Pas dan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) rekaan DAP semakin bercelaru. Belum ada titik terang antara dua parti yang mengaku satu bantal ini. Setuju untuk tidak setuju pun tidak. Tidak setuju untuk setuju pun tidak.

Pas berkeras mempertahankan hudud yang bakal dilak–sanakan di Kelantan. DAP pula bertegas soal pilihan raya PBT di Pulau Pinang dan juga dicadangkan di Selangor. DAP tolak hudud dan sebagai balasan, Pas membangkitkan soal pilihan raya tempatan ciptaan DAP.

Isu pilihan raya PBT ditimbulkan oleh Pas kerana dasar itu tidak pernah dibincangkan bersama tetapi mahu dilaksanakan di Pulau Pinang. Ini bagi menepis hujah DAP bahawa hudud bukan dasar bersama pakatan pembangkang dan sebab itu, tidak boleh dilaksanakan di negeri dikuasai Pas di Kelantan.

DAP tanpa persetujuan Pas telah melaksanakan proses pilihan raya tempatan itu. Pada 2010, kerajaan negeri meluluskan Rang Undang-Undang Pilihan Raya Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Prai). Bagaimanapun hasrat itu terbantut apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) enggan melaksanakan permintaan kerajaan negeri itu kerana melanggar Perlembagaan.

Pada Ogos 2014, Mahkamah Persekutuan menolak petisyen pemula Kerajaan DAP Pulau Pinang agar ahli-ahli majlis perbandaran dipilih menerusi proses undian dalam pilihan raya pihak berkuasa tempatan.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif ke–tika membacakan ringkasan penghakiman itu menyatakan, Seksyen 15 Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1976 yang menghentikan pilihan raya kerajaan tempatan yang pernah diadakan seawal 1951, masih merupakan undang-undang sah.

Pas mahu memberikan justifikasi bahawa DAP tidak layak membantah pindaan undang-undang di Kelantan bagi melaksanakan hudud sebagaimana Pas tidak bersuara untuk menolak pilihan raya PBT di Pulau Pinang.

Tetapi apabila DAP yang dibantu dengan PKR dan jentera NGO ciptaan mereka terus-terusan melancarkan gerakan me­no­lak hudud, Pas tampil menyerang balas DAP. Setiausaha Agung Pas, Mustafa Ali secara solo menjadi hulu balang cuba memulas telinga DAP dalam isu ini.

Tapi apakan daya, hajat Pas tidak kesampaian. Dalam perang men­cari pengaruh awam yang berlarutan ini, Pas nampak ter­tinggal. DAP dan jentera propaganda mereka terlihat sentiasa berada di depan.

Hilang kendali

Setiap hujah Pas dipatahkan dengan alasan hak asasi, demokrasi, nilai-nilai sejagat dan Perlembagaan. Lebih buruk, ada pimpinan Pas sanggup menggambarkan diri mereka tidak yakin dengan apa yang diperjuangkan oleh pemimpin tertinggi sendiri.

Hujah Datuk Seri Abdul Ha­di Awang, Presiden Pas yang digambar­kan semakin hilang kendali itu tidak dipedulikan sedangkan jarang-jarang beliau menyatakan pandangannya se­cara terbuka.

Hujah Hadi bahawa pilihan raya PBT adalah satu kesilapan dan bakal mencetuskan ketegangan kaum ti­dak menarik perhatian pemimpin Pas. Ingatan keras Hadi bahawa pi­li­han raya seperti itu berpotensi men­cetuskan satu lagi peristiwa hitam 13 Mei umpama mencurah ke daun keladi.

Gayung Presiden Pas ini baha­wa pilihan raya PBT hanya mengun­tungkan kaum Cina yang majoritinya tinggal di bandar tidak bersambut. Me­mang ada asasnya, sebuah bandar umpamanya Serem­ban adalah milik dan kebanggaan orang Negeri Sem­bilan bukan sekadar warga Seremban sa­haja.

Tetapi malangnya mungkin sudah begitu perjalanan Hadi dalam Pas dan perjalanan Pas dalam pakatan pembangkang. Hadi seperti terbiar ter­kontang-kanting, bersendirian mengh­adapi asakan lawan. Begitu juga Pas seperti berseorangan dalam memperjuangkan hudud tanpa simpa­ti pun daripada PKR.

Entah ke mana perginya pakar spin Pas yang mempunyai akses penuh ke atas media propembangkang. Entah ke mana hilangnya ayam sabung Pas yang mahir mengubah keadaan. Malah dalam edisi Harakah online, organ rasmi parti yang masih dibelenggu dengan kontroversi pengurusan tidak tergambar kesungguhan menyokong Hadi.

Pandangan Hadi tidak disambut dan disokong oleh jentera perang saraf Pas seperti lazim mereka lakukan. Ramai yang buat-buat tak tahu dan mengambil langkah selamat dengan menghindari daripada memberikan ulasan. Begitu sekalikah gentarnya mereka apabila berhadapan dengan DAP?

Pelik, apabila orang sekaliber Datuk Mohd. Salleh Man yang juga wakil rakyat tunggal Pas di Pulau Pinang yang diberikan jawatan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang mengambil jalan berbeza daripada Presiden partinya sendiri. Beliau sepatutnya menjadi orang utama yang mempertahankan kenyataan Hadi.

“Nanti saya kata lain dan pihak lain akan mengeluarkan kenyataan yang berlainan pula,” kata Salleh seperti dipetik oleh sebuah portal propembangkang yang jelas tergambar ke mana arah sokongannya.

Sedangkan belum pun sempat kenyataan Hadi yang membidas pilihan raya tempatan DAP tersebar lebih luas, para politikus parti sosialis itu dan jentera mereka sudah membedilnya bertubi-tubi.

“Tidak logik,” jelas Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke yang selama ini banyak berbalas hujah dengan Mustafa. Anthony yang terkejut dengan hujah Hadi menyatakan pilihan raya tempatan tiada kena mengena dengan isu kaum.

Pemimpin sekecil ADUN Balakong, Ng Tien Chee malah turut tumpang semangkuk. ADUN DAP dari Selangor ini mempertahankan pendirian partinya bahawa pilihan raya PBT merupakan satu-satunya langkah untuk meningkatkan prestasi serta mutu perkhidmatan PBT.

Hudud Pas melawan pilihan raya tempatan DAP akan berterusan. Di atas kertas DAP dan sekutunya nampak mendominasi. Jika dinilai daripada reaksi pemimpin Pas setakat ini, tergambar tiada lagi perpaduan dalam kalangan mereka.

Begitu sekali pengaruh DAP dan PKR dalam Pas. Presiden sendiri yang sepatutnya dipuji kerana mengambil langkah berani tidak pula mereka pertahankan.

- Zulkefli Hamzah Utusan Malaysia Rencana 25 Jan 2015
Tags: dap, islamic, pas, politik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments