kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Salahkah wujud Malay Town di Kuala Terengganu?

DARI dulu lagi ramai dalam kalangan kita terta­nya-tanya dan mempersoalkan mengapa perlunya diisytihar atau dizonkan satu-satu kawasan di pusat-pusat bandar dengan nama China Town atau Little India di negeri dan negara majmuk yang berbilang kaum ini.

Dicurahkan pula dengan begitu banyak peruntuk­an bagi menjayakan segala pelan perancangan bagi mengekal, mempertahan dan menyuburkan segala bentuk warisan dan kegiatan.

Seolah-olah dijadikan kawasan khusus pula untuk satu kaum yang sebenarnya juga warga tempatan dan mereka sudah begitu lama mencorak wajah bandar dan menguasai segala bentuk perniagaan termasuk batu nisan.

Mungkin atas nama pelancongan dan perpaduan sebagai alasan paling kukuh tetapi ironinya yang kecil dan little di hampir semua bandar ialah orang Melayu termasuklah di Kota Bharu dan Kuala Terengganu, di negeri-negeri yang dikatakan tunjang Melayu.

Apa yang kelihatan besar hanyalah akiviti Melayu di pasar-pasar besar seperti Pasar Siti Khadijah dan pasar Kedai Payang yang entah apa bentuk wajahnya kini. Hanya tidak lebih daripada itu.

Namun tidak pula pernah kedengaran sebarang perancangan tersusun dan dite­ruskan dengan usaha yang konkrit untuk mengekalkan atau mencambahkan warisan Melayu di tapak yang pernah dan sedang mereka warisi.

Menjelang pilihan raya umum lalu, jalan di Kebun Sultan Kota Bharu diisytiharkan sebagai China Town manakala Kampung Cina di pusat bandar raya ini, kerajaan negeri mengumumkan pembangunan fasa kedua bagi menaik taraf persekitaran sepanjang satu kilo­meter.

Mengapa tidak turut diwujudkan Malay Town atau Little Malay kerana mereka sebenarnya juga bukan pendatang, yang masih berada di pinggir apatah lagi ketika bebeberapa perkampungan Melayu dalam keadaan masih tidak menentu, makin sukar dipertahankan dari arus pembangunan.

Justeru apabila Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman menyentuh sepintas lalu mengenai hasrat untuk menyusun dan membangunkan semula kawasan Tanjung di negeri ini bagi memancarkan keunikan wa­risan Melayu dalam Bajet Terengganu 2015, ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Mungkin ini permulaan baharu dalam usaha menterjemahkan imej Kuala Terengganu yang diberi pengenalan sebagai Bandar Raya Warisan Pesisir kerana selain Kampung Cina yang diwartakan tapak warisan dan muka kuala serta laut yang kekal di sini, Melayu juga warisan yang bertapak sekian lama di bandar raya ini.

Beberapa perkampungan sudah lenyap dihakis ombak dan selebihnya terpaksa diberi laluan atas nama penyusunan semula pusat bandar raya dengan rancangan pembangunan yang gah, sambil mengharapkan Melayu menumpang tuah dan kuah de­ngan pengambilan balik tanah atau sekadar melangut bangga.

Ahmad Razif menyentuh mengenai penyusunan semula kawasan sekitar Tanjung ketika membentangkan Bajet 2015 yang kelak akan dijadikan pusat sehenti bagi segala produk tradisional Terengganu.

“Bukan sahaja dalam bentuk makanan tetapi hasil seni, kraf muzik, tarian, permainan dan sebagainya. Kita perlu semarakkan identiti kita sebagai anak Terengganu yang bangga dengan jati dirinya,'' ujar Ahmad Razif.

Pengumuman oleh Menteri Besar itu disambut baik oleh kalangan pendukung dan pencinta budaya di negeri ini walaupun gambaran sebenar belum diperincikan. Mereka menyifatkannya sebagai usaha yang tepat pada masanya ketika segala aspek warisan semakin terhakis.

Malah sebilangan daripada mereka memberikan cadangan agar kawasan itu dikhususkan sebagai satu ‘Jalur Melayu’, bukan sahaja melibatkan kalangan peniaga Melayu tetapi juga reka bentuk premis yang memancarkan simbol tradisional dan bentuk-bentuk perniagaan khusus serta kegiatan di sekitarnya.

Ketua II Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita), Abdul Mubin Ismail berpendapat, bagi memastikan hasrat Abdul Razif itu tercapai adalah wajar kawasan itu diwartakan agar usaha ke arah itu dengan konsep yang jelas akan berlaku dan diperkukuhkan secara berterusan sebagai satu citra warisan.

“Kita mula nampak kesungguhan yang diperlihatkan (Ahmad Razif) ketika satu demi satu penempat­an Melayu di pusat bandar raya makin lenyap dan dilepaskan kerana tidak mampu bertahan dalam arus pembangunan.

“Kita mahukan kawasan ini juga bukan sekadar suatu lagi projek oleh kontraktor untuk dilihat dari sudut pelancongan tetapi menjadi satu simbol ke­giatan ekonomi orang Melayu kerana pada masa silam, mereka juga dalam kalangan pedagang,” kata­nya.

Bagi Abdul Mubin, tradisi keilmuan dan ketinggian warisan seni budaya sentiasa diberi penekanan oleh masyarakat yang tinggi tamadunnya sebagaimana yang diucapkan oleh Ahmad Razif yang mahukan agar turut menjadi lambang identiti orang Melayu Terengganu yang akhirnya berbangga, penuh yakin dan berani mendepani pentas dunia.

Beliau berharap satu jawatankuasa khas dibentuk di peringkat negeri dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu bagi memperincikan pelan tersebut agar apa yang dirancang benar-benar dapat diterjemahkan.


Wan Zulkifli Wan Yaacob Ketua Biro Utusan Malaysia Terengganu Utusan Malaysia Rencana  27 Jan 2015 1.25AM
Tags: budaya, ekonomi
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments