kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pas di ambang krisis, dilemahkan faktor dalaman ....

SEJAK ditubuhkan pada 1951 hingga sekarang, Pas dikatakan telah melalui empat tahap iaitu tahap kemunculan (1951-1959), tahap kebangkitan (1959-1973), tahap kemuncak (1973-1977), tahap kejatuhan (1977-1990) dan tahap kebangkitan semula (1990 hingga sekarang).

Bagaimanapun persoalan bermain di fikiran banyak pihak sekarang apakah tahap kebangkitan semula yang bermula pada tahun 1990 itu akan berakhir tahun ini? Pandangan itu dilontarkan kerana berbanding dengan dua lagi sekutunya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, Pas dilihat berada dalam kedudukan paling tidak selesa.



ABDUL HADI AWANG menandatangani buku Amanat Haji Hadi antara Fitnah dan Fatwa semasa pelancarannya di Masjid Rusila, Marang, Terengganu pada 2013. – UTUSAN

Pas berhadapan dengan isu besar iaitu perbalahan dengan DAP yang disokong oleh PKR dan kewujudan kumpulan dalam Pas yang cende­rung menyebelahi kedua-dua parti tersebut. Dalam masa yang sama, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat hanya disokong oleh kumpulan pro ulama bagi mempertahankan dasar perjuangan parti itu.

Keadaan kucar-kacir dalam Pas semakin ketara apabila secara tiba-tiba terbentuknya Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) yang bergerak atas nama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan alasan mahu mengukuhkan kerjasama antara Pas dengan PKR dan DAP.

Namun begitu ramai pemerhati politik melihat, kewujudan Pasma tidak menguntungkan Pas sebaliknya menambahkan lagi kekalutan dalam parti tersebut atau dalam bahasa mudah, Pas dilihat berpecah-belah.

Walaupun pelbagai hujah dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin Pasma bagi menegakkan perjuang­an mereka namun dalam kalangan pemimpin Pas mereka benar-benar tidak selesa dengan kewujudan Pasma.

Dan semalam, Abdul Hadi yang selama ini dilihat tidak begitu gemar bercakap soal Pasma memberi kiasan meminta mereka yang menyokong NGO tersebut meninggalkan Pas dengan menegaskan;

“Jika ada yang merasakan bahtera ini bergerak perlahan, ada kekurangan, jangan bocor dan rosakkan bahtera ini. Pasma ni ibarat mereka yang menebok kapal. Kalau rasa payah sangat pergilah ke bahtera lain yang kamu suka yang kamu rasakan lebih cepat sampai ke destinasi. Pergilah ke kapal DAP, kapal PKR, kalau nak cepat lagi ke Putrajaya pergilah ke bahtera UMNO.’’

Menuju Putrajaya adalah destinasi yang paling diharapkan oleh Pas sebelum ini. Atas semangat itulah Pas dilihat bersedia mengorbankan segala-galanya termasuk dasar menubuhkan negara Islam. Pas terpaksa bertindak demikian kerana tidak mahu ‘ditinggalkan’ oleh PKR dan DAP.

Malah demi kesetiaan kepada ke­dua-dua parti itu juga Pas sentiasa sahaja bersedia menggerakkan ribuan penyokong turun ke jalanan jika ada demonstrasi yang dianjurkan.

Tetapi kesudahannya Pas tidak dilayan sewajarnya. PKR dan DAP tetap menganggap mereka paling berkuasa dalam pakatan pembangkang. Kata Pas disanggah, rancang­an Pas ditegah.

Keadaan itu tidak menguntungkan politik Pas dan ia semakin rumit apabila di dalam parti itu sendiri terdapat beberapa pemimpin yang begitu taksub mempertahankan kerjasama dengan PKR dan DAP.

Sedikit demi sedikit dalaman Pas berpecah. Pertembungan antara dua kumpulan yang sebelum ini dibanggakan oleh kepimpinan Pas sebagai satu gabungan yang akan memperkukuhkan parti itu sebaliknya semakin meretakkan Pas.

Segalanya berlaku kerana Pas membuka laluan terlalu luas untuk ‘orang luar’ menyerap masuk mengucar-ngacirkan parti itu dari dalam. Sememangnya diakui Pas pernah berkawan dengan UMNO dan Parti Melayu Semangat 46 (S46) tetapi ia tidak pernah melemahkan parti tersebut.

Ini memandangkan kedua-dua parti itu tidak pernah mahu mengganggu apa juga dasar perjuangan dan perancangan Pas dalam mencapai cita-citanya. Tetapi kajilah apa yang berlaku sejak Pas berkawan de­ngan PKR dan DAP. Pas dilayan seolah-olah parti yang baru berusia setahun jagung sedangkan dari segi sejarah rekod pencapaian Pas jauh lebih hebat daripada kedua-dua parti berkenaan.

Setakat ini sukar dipastikan bagaimanakah Pas akan memperkukuhkan semula parti itu yang kini berada di ambang perpecahan. Suara ulama yang semakin tenggelam atau sengaja dipinggirkan menyukarkan lagi laluan untuk memperbaiki kerosakan yang berlaku.

Bagaimanapun ketegasan yang ditunjukkan oleh Abdul Hadi dalam berhadapan dengan isu Pasma dan keangkuhan DAP untuk melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan memberikan sedikit cahaya kepada ahli dan penyokong Pas bahawa parti itu bukan ‘pak turut’ dalam pakatan pembangkang.

Sememangnya ketegasan seum­pama itu diharapkan kerana bukan sahaja penyokong Pas malah orang Melayu yang tidak mempunyai fahaman politik pun berasa bosan melihat cara Pas dilayan sepanjang menjalin kerjasama dengan PKR dan DAP.

Namun begitu apa yang diharap­kan, Abdul Hadi dengan disokong oleh kumpulan ulama dalam Pas akan terus tegas mempertahankan pendirian dalam berhadapan de­ngan Pasma, PKR dan DAP.

Ketegasan DAP yang disokong penuh oleh PKR menentang hasrat Pas melaksanakan hukum hudud di Kelantan seharusnya memberikan pengajaran kepada Pas bahawa mereka tidak dilayan secara adil dalam pakatan pembangkang.

Sebenarnya, layanan seumpama itu bukanlah perkara baharu tetapi memandangkan Pas terlalu ingin bersama PKR dan DAP ke Putrajaya, mereka sanggup menerima apa sahaja waima `kepala diketuk’ sekalipun.

Tetapi Abdul Hadi sudah menyatakan dengan tegas kalau mana-mana ahli Pas mahu cepat ke Putrajaya sertailah ‘bahtera lain’ kerana Pas tetap akan meneruskan perjuang­an ke destinasi berkenaan dengan memperjuangkan Islam.

Sama ada ketegasan ini akan memartabatkan kembali Pas atau tidak, hanya masa akan menentukannya tetapi yang pasti benarkah Pas kini di ambang krisis?

Pas dilemahkan faktor dalamannya sendiri

KRISIS Menteri Besar Selangor tahun lepas berakhir dengan Pas menghadapi krisis dalaman yang parah.

Dalam kepimpinan tertinggi Pas sendiri lebih 80% ahlinya semacam berbeza pendirian dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Majlis Syura dan ulama Pas. Mereka ini sering dianggap sebagai kelompok Erdogan dalam Pas dan oleh setengah pengkritik sebagai parasit.

Mereka dikatakan lebih banyak mendengar cakap Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada mendukung Abdul Hadi dan kepimpinan ulama.

Tiba-tiba lahir Pasma yang dikatakan didukung oleh Datuk Husam Musa dan Datuk Dr. Daeng Sanusi Mariok. Baru-baru ini Pasma bertemu dengan Lim Guan Eng di Komtar, Pulau Pinang. Husam diketahui memang rapat dengan Anwar.

Orang Pasma umumnya ialah orang Pas. Mereka menjadi duri dalam daging kepada kepimpinan ulama. Majlis Syura membuat keputusan supaya orang Pas jangan menyertai Pasma, malangnya 15 pemimpin Pasma membuat janji untuk membantu Pakatan dalam PRU-14. Gambaran yang ada seolah-olah Pasma tidak bersama dengan kepimpinan Abdul Hadi. Keadaan ini mencerminkan wujud masalah etika dan disiplin dalam parti kerana terdapat orang dalam parti yang bertindak menyongsong arus.

Anwar berjanji bahawa Mesyuarat Tertinggi Kepimpinan Pakatan dapat berlangsung pada awal Januari. Sehingga kini mesyuarat itu tidak berlangsung. Ia cuba memujuk Abdul Hadi tetapi Abdul Hadi sibuk dengan strategi program Liqa’ Fikri Pas Pusat. Apakah Abdul Hadi sudah mengambil sikap tertentu sehingga mesyuarat tersebut gagal terjadi?

Pemecatan Datuk Tarmizi Md. Jam, Roslan Hamid dan Ahmad Lutfi Othman daripada sidang redaksi Harakah adalah suatu perubahan yang serius kerana mereka mengambil sikap anti-Abdul Hadi dan ulama selain membenarkan tulisan Dinsman (abang Lutfi) mempertikai kepimpinan Abdul Hadi dan ulama. Harakah adalah akhbar berpengaruh bagi ahli Pas. Adakah tindakan ini bertujuan menyekat usaha memperlecehkan Abdul Hadi dan ulama daripada terus berlaku?

Muktamar pemilihan kepimpinan Pas bakal berlangsung sekitar Jun 2015. Sudah tentu Pasma dan kelompok Anwariyyun mempunyai strategi sendiri untuk mengambil alih kuasa. Abdul Hadi dan kepimpinan ulamanya tidak akan berdiam diri dan sedang mengatur strategi juga.

Mengenali Pas, pengaruh akar umbinya sangat kuat menyokong kepimpinan Abdul Hadi dan ulama. Takdirnya Abdul Hadi dan kepimpinan ulama menang, Pasma bakal bertukar menjadi parti politik alternatif yang bernaung di bawah Pakatan. Ianya tidak mustahil terjadi.

Ternyata jika suatu ketika dulu Pas terlalu membenci UMNO dan menghalakan serangannya kepada UMNO dengan ceramah-ceramah yang panas kini Pas sedang berantakan sesama sendiri dan ikatan tahaluf siyasi kelihatan semakin longgar. Apakah hikmah di sebalik semua ini?

Adakah Pas akan berjuang sendiri tanpa Pakatan Rakyat? Kalau dahulu kemenangan Pas dibantu oleh DAP dan PKR. Kemenangan DAP dibantu oleh Pas dan PKR manakala kemenangan PKR dibantu oleh DAP dan Pas, adakah persefahaman yang sama boleh berlaku lagi menjelang PRU-14 nanti?

Sekiranya jodoh Pas dan dua lagi parti itu tidak ada lagi, mampukah Pakatan melakukan lonjakan untuk menawan Putrajaya?

Abdul Hadi pernah menyebut Pas tidak boleh bersendirian untuk memerintah Malaysia melainkan dengan kerjasama pihak lain. Takdirnya Pas meninggalkan Pakatan, politik Selangor akan bergolak lagi.

Politik Pas di Kelantan pascabanjir belum tahu. Sidang Khas Enakmen Hudud belum berlangsung lagi. Pas mempunyai pilihan yang tidak banyak untuk membangunkan kembali negeri kesan musibah banjir sehingga memerlukan Kerajaan Pusat.

Dan untuk membawa Enakmen Hudud di Parlimen juga, dukungan UMNO dalam Parlimen adalah perlu. Quo vadis Pas?

- Jendela Tok Ki Utusan Malaysia Rencana 27 Jan 2015
Tags: islam, politik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments