kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Ancaman sistemik ke atas ekonomi

Minta izin Kunta Kinte nak sambung cerita hal ekonomi. Kali ini Kunta Kinte nak cakap berkenaan satu keadaan dalam ekonomi yang kerajaan, ahli ekonomi, pelabur, usahawan dan pengurus sangat takut. Kalau boleh mereka tak mahu sebut atau diingatkan. Keadaan itu disebut kesan atau kegagalan sistemik. Dalam bahasa Inggeris dipanggil systemic effect atau systemic failure.

Ia lebih kurang macam wabak penyakit. Seorang dijangkit semua kena. Inilah yang timpa negara-negara Asia Timur dan Asia Tenggara pada tahun 1997/98. Kejadian ini bermula dengan serangan spekulasi ke atas rupiah dan baht. Dua mata wang itu diserang sebab ekonomi Indonesia dan Thai lemah dan hutang luar negara mereka besar.

Mata wang Asia jatuh


Kejatuhan teruk dan mendadak nilai rupiah dan baht berubah jadi sistemik. Boleh kata semua mata wang Asia Tenggara dan Asia Timur kena jangkit. Walaupun ekonomi kita masa itu kukuh - keluaran dalam negara kasar (KDNK/GDP) berkembang 7.7 peratus pada tahun 1997. Rizab mata wang asing boleh kata kukuh.

Cukup untuk import dekat empat bulan. Hutang kerajaan tak berapa besar - 35.2 peratus daripada KDNK banding dengan 55 peratus sekarang. Itu pun kena juga. Kadar tukaran ringgit jatuh daripada purata RM2.50 satu dolar Amerika kepada RM4.20 sedolar pada satu peringkat. Bila nilai duit kita jatuh, banyak urusan dan kegiatan terjejas. Nilai hutang luar negara kita serta-merta naik, harga saham jatuh, kos pinjaman naik, kos import naik dan kadar faedah pun naik. Dalam sekelip mata ekonomi kita merudum.

Harga saham jatuh pelabur rugi. Yang berhutang untuk beli saham atau gadai saham untuk cari modal terpaksa tampung kejatuhan nilai. Yang tak mampu, bank jual saham mereka untuk dapat balik apa yang mereka hutang. Usahawan hilang saham dan dengan itu hilang kawalan ke atas syarikat mereka. Bank pula rugi kerana tak dapat balik semua duit yang dipinjamkan. Banyak usahawan dan pelabur muflis dan syarikat tak cukup modal nak berniaga. Jadi bila Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, pada 27 Januari lepas sebut pasal kesan sistemik, Kunta Kinte naik seram dan cukup faham apa yang terlintas di fikiran orang nombor satu perbankan negara itu. Kunta Kinte yakin kalau boleh dia tak mahu sebut atau bangkitkan hal itu, tapi terpaksa sebab pemberita tanya.

Mereka tanya kemungkinan masalah hutang syarikat tabungan berdaulat (sovereign fund) 1Malaysia Development Berhad. Kunta Kinte yakin ramai dah dengar cerita 1MDB dan macam ia tak dapat bayar balik hutang sebanyak RM5.5 bilion kepada beberapa buah bank terbesar negara kita pada waktu yang dijanjikan.

Ia sepatutnya bayar balik pinjaman itu pada hujung Disember lalu tapi tak cukup duit. Jumlah RM5.5 bilion itu adalah sebahagian daripada hutang dan tanggungan 1MDB sebanyak RM41.9 bilion pada akhir Mac 2014 berbanding harta bernilai RM50 bilion. Pemberita tanya Zeti sama ada masalah hutang 1MDB itu boleh cetus kesan sistemik ke atas sistem perbankan dan seterusnya ke atas ekonomi dan penarafan negara. Zeti kata, Bank Negara tak akan benarkan mana-mana syarikat cetuskan kesan sistemik ke atas negara.

Akui kewibawaan Zeti

Kata Zeti: "Kita tidak akan mengulas mengenai namamana entiti tetapi kita mempunyai peraturan bagi menanganinya supaya tidak berlaku keadaan di mana entiti tertentu mencetuskan kesan sistemik terhadap keseluruhan sistem kewangan negara." Kunta Kinte tak selalu setuju dengan tindakan Zeti tapi Kunta Kinte akui kewibawaan dia dan pengalaman dia urus sistem perbankan negara dan tangani krisis mata wang. Tapi dalam hal bahawa kesan sistemik ini, Kunta Kinte 100 peratus di belakang dia.

Masa krisis kewangan Asia 1997/98 dialah yang bantu Perdana Menteri masa itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, patahkan serangan ke atas ringgit dengan melaksanakan kawalan terhad tukaran mata wang. Masa itu Gabenor dan Timbalan Gabenor letak jawatan sebab tak setuju dengan kawalan terhad mata wang.

Mereka sokong cara Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) yang cuba dilaksanakan oleh Menteri Kewangan masa itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jadi Kunta Kinte berasa lega sikit bila Zeti kata dia tak akan benarkan namamana syarikat cetuskan wabak ekonomi melalui kegiatan urus niaga mereka.

Kita tak mahu malapetaka ekonomi 1997/98 berulang sekali lagi apatah lagi kalau puncanya syarikat milik kerajaan sendiri. Wallahuaklam.

Tags: ekonomi
Subscribe

  • Manfaat disediakan sektor kerajaan, swasta makin teruk

    RAMAI bercita-cita hendak bekerja dengan kerajaan dan ada juga yang mahu bekerja dengan syarikat swasta atau bekerja sendiri. Sebenarnya,…

  • Kerajaan Atau Swasta

    Apabila kita berfikir tentang pemerintahan kerajaan , apa yang muncul di kepala kita? Bagi kebanyak orang, gambar Agong, PM, bangunan parlimen ,…

  • Persediaan kerja masa depan

    Pekerjaan untuk masa hadapan dikatakan berkemungkinan akan menimbulkan banyak pekerjaan baru. Bilangan yang tidak dapat dipastikan namun turut…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments