KELMARIN merupakan hari paling menyedihkan bagi seluruh ahli keluarga dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 apabila kapal terbang yang hilang itu diisytiharkan sebagai kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal dianggap telah terkorban.
Sudah pastilah, pengumuman itu adalah sesuatu yang amat perit untuk diterima oleh ahli keluarga yang sejak 327 hari lalu terus berdoa agar ada suatu jawapan yang pasti melalui operasi mencari dan menyelamat yang giat dijalankan di Lautan Hindi –lokasi terakhir pesawat itu dikesan. Seperti diduga majoriti ahli keluarga tidak dapat menerima pengumuman itu, ada yang marah, kecewa dan sedih. Di Beijing, ahli keluarga penumpang menjadikan Kedutaan Malaysia sebagai sasaran. Apapun dalam menangani isu kehilangan pesawat ini, kerajaan sudah melakukan terdaya mungkin. Pelbagai negara dan aset digunakan untuk merungkai kehilangan MH370, malah biarpun pengisytiharan sudah dibuat namun operasi mencari tetap menjadi keutamaan.
Biarlah ahli keluarga menenangkan diri mereka dan berusaha sebaik mungkin dengan bantuan kerajaan Malaysia meneruskan kehidupan. Janganlah ada antara kita yang menjadi batu api dengan membuat kenyataan yang bukan-bukan. Apa yang berlaku adalah satu tragedi yang tidak diingini oleh mana-mana pihak tetapi suratan takdir menentukan segala-galanya. Ahli keluarga mangsa mengharapkan sokongan di samping terus berdoa agar ada kepastian mengenai nasib orang kesayangan.
Penulis yakin pasti ada pihak tertentu yang akan cuba muncul untuk menjadi ‘wira’ kononnya bagi membela nasib ahli keluarga terbabit dengan mengkritik keputusan kerajaan mengisytiharkan kehilangan MH370 sebagai satu kemalangan. Tetapi mereka juga perlu bertanya, apa lagi yang harus kerajaan lakukan ketika usaha pencarian masih menemui jalan buntu. Perlu diingat pencarian bukannya melibatkan Malaysia sahaja tetapi dengan penglibatan puluhan negara dan pelbagai jenis aset. Jangan terpedaya dengan teori-teori songsang kononnya MH370 ditembak atau disembunyikan. Dakwaan seumpama itu hanya dilakukan oleh mereka yang ‘tak ada kerja’ dan tidak waras sahaja.
Begitu juga dengan dakwaan kerajaan Malaysia menyembunyikan sesuatu. Soalnya apa yang hendak sembunyikan? Takkan satu perkara melibatkan 239 nyawa yang terdiri daripada pelbagai negara khususnya kuasa besar China, kerajaan Malaysia mahu berbuat demikian? Cukuplah dengan pelbagai teori tidak masuk akal yang dimunculkan apabila pesawat itu mula-mula hilang dahulu.
Kepada pihak yang cuba menjadikan isu pengisytiharan itu sebagai modal politik atau mahu memburuk-burukkan kerajaan, lakukanlah kalau mereka merasakan ia boleh membahagiakan mereka. Tetapi ingatlah manusia yang mengambil kesempatan atas kesedihan insan lain termasuklah mereka-reka cerita adalah golongan yang tidak berhati perut, pendek akal dan mempunyai masalah ‘krisis identiti’.
Bagaimanapun penulis yakin majoriti rakyat negara ini masih waras dan menaruh simpati amat mendalam kepada ahli keluarga penumpang dan anak kapal MH370. Justeru marilah kita bersama-sama berdoa agar usaha mencari pesawat itu akan menemui kejayaan. Tiada yang mustahil dengan kuasa Allah SWT.