kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Sumpah perangi komunis

“Janganlah takut, selagi bapak ada sama-samalah kita minta pertolongan Allah. Tiada siapa dapat menceroboh, malah bulu roma anak-anak semua pun tak akan gugur”.


Nazri Che Husin

Demikian kata-kata yang terpacul dari mulut Pawang Nong kepada Koperal Adnan Ibrahim sebaik beliau dan anggotanya tiba ke Kampung Ulu Cheka ketika menjalankan satu misi pada September 1948.

Kata-kata itu sesungguhnya memberi semangat luar biasa kepada anggota Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) itu kerana mereka sebelum ini sering sahaja mendengar cerita tentang Pawang Nong dan kehebatannya.

Ketika itu, Kampung Ulu Cheka dan hutan berhampiran menjadi kawasan yang diancam oleh gerila komunis Melayu yang diketuai oleh Wan Ali.

Koperal Adnan pula pada masa itu telah menerima arahan oleh pegawai pemerintah RAMD di Jerantut untuk menjalankan tanggungjawab mengiringi seorang jurugambar untuk mengambil gambar penduduk Kampung Ulu Cheka bagi tujuan membuat kad pengenalan.


Nong Taib menerima pingat British Empire Medal (BEM) semasa pemerintahan Inggeris.

Maka dengan hati yang agak bimbang terserempak dengan Wan Ali yang diketahui mempunyai kebolehan luar biasa melawan musuh, Koperal Adnan bersama sembilan anggotanya menyelusuri denai sejauh tujuh batu menuju ke Kampung Ulu Cheka.

Setiba di kampung itu, mereka dipertemukan dengan Ketua Kampung Ulu Cheka iaitu Pawang Nong.

Pawang Nong yang cukup dikenali amat membenci komunis berjanji kepada Koperal Adnan dan anggotanya untuk membantu mereka menjalankan misi yang diamanahkan ketika itu.

Daripada situ tercetusnya Perang Perlok apabila pasukan Koperal Adnan bergabung tenaga dengan penduduk Kampung Ulu Cheka yang diketuai Pawang Nong menentang gerila komunis di Perlok setelah mendapat maklumat bahawa Wan Ali merancang menyerang kampung itu.

Kisah peperangan di Perlok yang membabitkan Pawang Nong itu adalah sebahagian daripada apa yang diceritakan di dalam buku bertajuk Askar Melayu 50 Tahun tulisan Tan Sri Abdul Samad Idris.

Kehebatan Pawang Nong memerangi komunis menjadi buah mulut bukan sahaja dalam kalangan penduduk Kampung Ulu Cheka tetapi juga seluruh Pahang.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang juga Ketua Kampung Ulu Cheka, Nazri Che Husin, Pawang Nong yang dilahirkan pada 1874 di Kampung Sempiat, Tanjung Besar di Benta, Kuala Lipis bukan sahaja terlibat dengan perang Perlok tetapi juga perang Terbol dan Bukit Batu dalam daerah Jerantut untuk menghapuskan komunis sekitar 1948 sehingga 1952

“Pawang Nong bukan sahaja seorang pejuang tetapi juga tokoh pemimpin yang begitu disegani dan dihormati malah menjadi satu legenda di kampung ini dan juga di Pahang. Jasanya menentang komunis dan membangunkan Kampung Ulu Cheka amat besar dan cerita-ceritanya menjadi sejarah yang sentiasa diingati sehingga kini,” katanya.

Menurut Nazri, kehebatan Pawang Nong menentang komunis telah menyebabkan pihak British menganugerahkan beliau dengan pingat British Empire Medal (BEM) yang amat jarang diterima orang Melayu ketika itu.

Katanya, Pawang Nong begitu membenci komunis sehinggakan beliau bersumpah tidak akan sesekali memberi muka kepada pengganas itu dan membiarkan mereka menguasai kampungnya mahupun tanah air.

Beliau berkata, beberapa peristiwa yang berlaku melibatkan Pawang Nong menyebabkan komunis ketika itu menjadi gerun dan tidak berani mengapa-apakan Pawang Nong ataupun penduduk kampung.



NAZRI CHE HUSIN menunjukkan makam Pawang Nong yang terletak di dalam kawasan Masjid Kampung Ulu Cheka, Jerantut, Pahang

“Dalam satu kejadian di Pekan Damak, Pawang Nong dan anaknya Sulaiman diajak beberapa orang komunis berjumpa. Tetapi ketika sampai di tempat perjumpaan, komunis-komunis itu mengacukan senapang ke arah Pawang Nong dan anaknya. Tetapi Pawang Nong begitu tenang sedangkan anaknya sudah naik berang dan mematahkan besi untuk melawan.

“Pawang Nong kemudian menepuk meja sehingga menyebabkan meja itu terpelanting sementara komunis yang ada cuba menembaknya namun tidak berjaya. Sejak dari itu, komunis itu tidak lagi berani mengganggu atau memasuki Kampung Ulu Cheka,” katanya.

Katanya, selain pernah menyelamatkan seorang pembesar negeri di Maran, Pawang Nong pernah menyekat kemaraan tentera Jepun dari masuk ke Kampung Ulu Cheka melalui kebolehan ilmu batinnya.

“Ketika itu, tentera Jepun mahu menceroboh kampung ini, tetapi hujan turun dengan lebat sehingga menyebabkan tentera Jepun itu berenang-renang di dalam air bah. Keesokkannya, penduduk kampung mendapat cerita tentera Jepun itu sebenarnya berenang di atas kebun sayur lalu tersesat sehingga ke kawasan lain,” katanya.

Tambah Nazri, bagi menjaga keamanan kampung, Pawang Nong telah menubuhkan pasukan Home Guard di kampung itu selain sentiasa menjadi pawang utama, ketua adat resam kampung dan tempat rujukan bagi pelbagai masalah penduduk.

Bagi menghargai jasa-jasa Pawang Nong, penduduk kampung telah mewujudkan sebuah galeri khas yang menyimpan koleksi barangan serta gambar pahlawan tersebut bagi tatapan generasi akan datang.

Tags: komunis
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments