kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pawang Nong pemimpin disegani dan cucu waris ilmu

PAWANG Nong bukan sahaja dikenali di seluruh Pahang sebagai seorang pahlawan dan pendekar yang handal dalam ilmu seni mempertahankan diri Melayu, tetapi juga mempunyai ketokohan sebagai pemimpin masyarakat yang amat disegani terutama di Kampung Ulu Cheka.

Menurut Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Ulu Cheka, Jamlus Mat Zium, 58, ketokohan Pawang Nong sebagai pemimpin di situ tiada tolok bandingnya kerana keikhlasan yang ditunjukkan sejak menerajui pembukaan kampung tersebut kira-kira 100 tahun yang lalu.



Jamlus Mat Zium

Katanya, idea pembangunan yang lahir dari pemikiran Pawang Nong sebenarnya sudah mengambil kira segala keperluan dan masa depan semua penduduk dan keturunannya yang mendiami Kampung Ulu Cheka.

“Pawang Nong adalah seorang yang berpandangan jauh. Ketokohannya bukan sahaja dalam aspek berjuang mempertahankan kampung daripada serangan dan taklukan pengganas komunis dan kemasukan tentera Jepun tetapi lebih dari itu, beliau adalah seorang pemimpin yang ke hadapan,” katanya.

Jamlus yang merupakan anak jati Kampung Ulu Cheka dan pesara guru berkata, Pawang Nong menabur jasa yang amat besar kepada penduduk di kampung itu termasuk membina sekolah dan masjid serta merintis seni mempertahankan diri Silat Cekak yang kini dikenali sebagai Silat Seni Melayu Pahang di kampung itu.

Katanya, kebijaksanaan beliau melindungi dan menjaga keselamatan serta keamanan penduduk kampung menyebabkan tiada siapa yang berani membuat onar di kampung itu sehingga kini.

“Sehingga kini, kejadian jenayah di kampung ini boleh dikatakan tiada langsung. Malah, penduduk kampung di sini diberi peluang seluas-luasnya untuk memajukan kampung tanpa diganggu atau diambil kesempatan oleh pihak luar,” katanya.


Jamlus Mat Zium menunjukkan kawasan pendaratan Pawang Nong di Lata Lang sebaik tiba untuk membuka Kampung Ulu Cheka, Jerantut.

Beliau berkata, demi memastikan anak kampung menerima pendidikan sempurna, Pawang Nong telah memohon kepada kerajaan agar dibina sebuah sekolah rendah pada 1936 yang kini masih berdiri teguh dengan nama Sekolah Kebangsaan Pawang Nong.

“Bukan sahaja sekolah, Pawang Nong sendiri telah mengusahakan dengan memohon terus kepada Allahyarham Tun Abdul Razak untuk membina sebuah masjid baharu yang selesa untuk kegunaan penduduk kampung di situ,” katanya.

Menceritakan sejarah kampung itu, Jamlus berkata, Pawang Nong merupakan orang yang bertanggungjawab membuka penempatan baharu dan pengasas Kampung Ulu Cheka bersama-sama tujuh lagi rakannya pada 1907 namun beliau hanya dilantik sebagai Ketua Kampung bermula 1926 sehingga 1976.

Tambahnya, Pawang Nong bersama-sama tujuh rakannya telah meneroka dan menyusuri sungai dari Kuala Lipis ke Lata Lang sebelum tiba ke Ulu Cheka untuk membuka penempatan baharu pada 1907.

“Atas perkenan Sultan Pahang ketika itu, Pawang Nong telah mengusahakan pembukaan Kampung Ulu Cheka yang dibawahnya mempunyai 11 kampung kecil,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, Kampung Ulu Cheka membangun menjadi sebuah desa yang sejahtera dilengkapi pelbagai kemudahan seperti klinik kesihatan, kedai, internet, masjid, sekolah, seni mempertahankan diri serta menjadi produk pelancongan Santai Desa yang diiktiraf kerajaan negeri dan Kementerian Pelancongan.

Katanya, kedudukan Kampung Ulu Cheka di kaki Gunung Benum juga menjadi tarikan yang unik kerana kawasan hutan belantara yang masih dara dan tidak terusik.

BANYAK ilmu yang dimiliki Pawang Nong termasuk ilmu kebatinan dan silat kini diwarisi oleh cucu-cucunya yang masih menetap di Kampung Ulu Cheka serta di bandar Jerantut.


Salleh Nawi waris yang pernah membesar di bawah peliharaan Pawang Nong

Salleh Nawi, 84, yang merupakan antara waris yang pernah membesar di bawah peliharaan Pawang Nong setelah kematian ibu bapanya ketika kecil tidak terkecuali mewarisi pelbagai ilmu daripada datuknya itu.

Katanya, selepas berhenti berkhidmat dalam Askar Melayu, beliau memohon kepada Pawang Nong untuk mendapatkan ilmu menjadi tok mudim di kampung itu.

Setelah diperturunkan ilmu tersebut, Salleh dilantik menjadi tok mudim di kampung itu bagi menggantikan Pawang Nong.

Salleh berkata, bagaimanapun, beliau sedikit ralat apabila tidak sempat mewarisi beberapa lagi ilmu kebatinan daripada datuknya itu.

Namun, katanya, ilmu kebatinan seperti kebolehan mengesan orang yang hilang di dalam hutan, ilmu ketika berada di dalam hutan, air dan berhadapan dengan binatang buas diamalkan beliau untuk tujuan membantu masyarakat.

Tambahnya, hasil ilmu yang diperturunkan Pawang Nong kepadanya, beliau dapat membantu masyarakat antaranya ketika peristiwa tiga beradik hilang di dalam hutan di Paloh Hinai pada 2005.

“Ketika itu saya kasihan dengan ibu bapa kanak-kanak itu lalu mengajak tiga lagi rakan saya pergi ke sana untuk membantu mencari mereka. Selepas beberapa hari, akhirnya saya dan rakan-rakan berjaya mengesan kanak-kanak itu dengan menggunakan ilmu yang diwarisi Pawang Nong,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi cucu Pawang Nong, Abdul Razak Arif, 52, pula mewarisi ilmu pawang khusus untuk mengubati pelbagai sakit termasuk penyakit mistik seperti orang yang dirasuk.

Ilmu yang diwarisi Abdul Razak diperturunkan melalui bapanya, Arif yang merupakan anak lelaki kepada Pawang Nong.

Katanya, beliau sememangnya berminat dengan ilmu-ilmu yang diperturunkan kepadanya dan apa yang diwarisi itu digunakan untuk membantu penduduk kampung di situ.

Tags: komunis, tokoh
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments