kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kisah Pawang Nong

Peranan pawang disalah anggap

MENURUT
Kamus Dewan, pawang bermaksud orang yang berkebolehan untuk melakukan sesuatu, biasanya dengan menggunakan kuasa ghaib atau orang yang pandai mengubati orang sakit, biasanya dengan menggunakan jampi atau mantera.

Begitu juga dengan pemahaman masyarakat Melayu yang melihat seorang pawang berkebolehan menjampi serapah atau menggunakan kuasa alam lain untuk mengubati orang sakit mahupun menilik sesuatu perkara.

Namun, sebenarnya, Pawang Nong bukanlah seperti apa yang biasa masyarakat Melayu anggap kerana beliau merupakan seorang pemimpin masyarakat, pengamal perubatan dan pendekar yang amat dihormati bukan sahaja di Kampung Ulu Cheka tetapi juga di Pahang.


Maasjid Lama Kampung Tengah yang diasaskan oleh Pawang Nong.

Cucu Pawang Nong, Kamarudin Yusof, 53, berkata, arwah datuknya itu tidak mengamalkan ilmu yang bertentangan dengan ajaran Islam.

“Masyarakat masih beranggapan pawang itu hanya tahu melakukan kerja syirik, mengamalkan ilmu hitam dan melanggar batas-batas agama Islam tetapi Pawang Nong setahu saya, tidak pernah mengamalkan ilmu yang bertentangan dengan Islam. Arwah juga setahu saya tidak pernah meninggalkan sembahyang dan berpegang kepada agama Islam yang kuat.

“Mungkin kerana digelar pawang, maka masyarakat cenderung untuk menganggap begitu. Walaupun digelar pawang, tetapi arwah datuk saya mengamalkan ilmu yang selari dengan ajaran Islam. Cuma apabila kita tidak memahami atau mendalami tentang ilmu itu, maka ramai yang akan salah anggap,” katanya.

Perkataan jampi itu sendiripun, katanya, sudah membawa persepsi yang salah dalam kalangan masyarakat apabila mereka menyangka ia menggunakan ayat-ayat yang salah namun ramai yang tidak menyedari dalam perubatan Islam sendiri mempunyai amalan berjampi iaitu menggunakan ayat al-Quran.

Kamarudin yang sudah 30 tahun bertugas sebagai pembantu tadbir di Majlis Daerah Jerantut berkata, beliau sebenarnya kurang berminat dengan ilmu-ilmu pawang tetapi setelah melihat dan memahami bahawa ilmu yang diamalkan tidak menyalahi agama, maka beliau tidak teragak-agak untuk mewarisinya.

“Jampi diamalkan Pawang Nong adalah jampi yang menggunakan ayat-ayat al-Quran, paling asas adalah al-Fatihah,” katanya yang mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Agama Padang Tengku, Kuala Lipis.

Beliau berkata, gelaran pawang kepada arwah datuknya juga adalah panggilan yang diberi oleh masyarakat setempat dan bukannya datang daripada Pawang Nong sendiri.

“Kita sendiri boleh mengenal secara fizikal pawang yang mengamalkan ilmu yang salah. Mereka ini biasanya tidak gemar bercampur dengan masyarakat dan melakukan benda-benda yang pelik. Tetapi jika dilihat Pawang Nong adalah sebaliknya. Malah boleh dikatakan beliau sebenarnya merupakan ahli agama.

“Kalau bukan ahli agama, tidaklah arwah membina masjid, sekolah dan mengajar silat kepada penduduk Kampung Ulu Cheka. Masyarakat sayang kepada Pawang Nong. Beliau merupakan rujukan kepada penduduk kampung,” katanya.

Sahabat Baik Mat Kilau

APABILA ditanya kepada waris Pawang Nong dan penduduk Kampung Ulu Cheka mengenai kisah Pawang Nong dan Mat Kilau, rata-rata akan menceritakan bagaimana Pawang Nong berhubung dengan pahlawan Melayu itu ketika menyembunyikan diri daripada penjajah Inggeris yang menyangkakan dia sudah berjaya dibunuh di Siam sebelum itu.

Salah seorang cucu Pawang Nong, Baharuddin Arif, 70, menceritakan bahawa Pawang Nong sebenarnya bukanlah anak murid kepada Mat Kilau tetapi mereka berdua adalah sahabat seperguruan dengan seorang ahli agama bernama Haji Othman Senik atau Haji Montok.


Baharuddin Arif, salah seorang cucu Pawang Nong

Katanya, sepanjang tempoh persembunyian selama kira-kira 40 tahun, Mat Kilau pernah menyamar sebagai seorang penjual ubat di pekan Damak yang terletak berdekatan Kampung Ulu Cheka.

“Sebenarnya, ibu Pawang Nong, Tok Bun memang rapat dengan keluarga Mat Kilau kerana mereka dikatakan berasal dari Budu, Kuala Lipis dan kemudian berpindah ke Kampung Pulau Tawar, Jerantut.

“Jadi semasa menyembunyikan diri, Mat Kilau ada tiga empat kali datang ke Kampung Ulu Cheka tetapi tidak diketahui sama ada dia ada berjumpa Pawang Nong atau tidak. Menurut cerita, Mat Kilau ketika itu masuk ke Kampung Ulu Cheka dengan menyamar sebagai penjual ubat.

“Orang kampung tidak tahu itu adalah Mat Kilau. Pawang Nong yang memberitahu itu adalah Mat Kilau setelah lelaki yang menyamar itu keluar dari Kampung Ulu Cheka. Jadi orang kampung terkejut dengan apa yang diberitahu Pawang Nong,” katanya.

Baharuddin berkata, selepas seorang lelaki tampil mengisytiharkan dirinya sebagai Mat Kilau pada 1969, Pawang Nong pernah mengaku dan mengesahkan kepada penduduk kampung bahawa lelaki tersebut sememangnya Mat Kilau.

Namun cerita selanjutnya mengenai kisah Pawang Nong dan Mat Kilau terus menjadi rahsia setelah Mat Kilau meninggal dunia tidak beberapa lama selepas dia membuat pengisytiharan tersebut.


Pahlawan Mat Kilau (tengah) ditemani Cikgu Abu Bakar Hassan (dua dari kiri) sewaktu kemunculannya di Kampung Kedondong , Pulau Tawar , Jerantut , Pahang .

Sementara Pawang Nong juga meninggal dunia pada 10 Nov 1976 di rumah beliau di Ulu Cheka ketika berusia 94 tahun tidak beberapa lama selepas Mat Kilau meninggal dunia.

“Maka kami anak cucu Pawang Nong ini tidak mengetahui dengan lebih lanjut kisah mereka berdua ini,” katanya.


Susur Galur Hang Tuah

PERTEMUAN penulis dengan waris Pawang Nong, Kamarudin Yusof memberi petunjuk bahawa pahlawan tidak didendang itu sebenarnya berasal daripada susur galur keturunan Raja Muhammad atau lebih dikenali sebagai Tok Baginda Demu.

Menurut Kamarudin, Tok Baginda Demu sebenarnya berasal dari Perak kemudian datang ke Pahang untuk meneroka kampung baharu di kawasan Kuala Lipis.

Beliau yang memperolehi salasilah keturunan Tok Baginda Demu daripada Persatuan Warisan Perba Jelai berkata, susur galur Tok Baginda Demu pula dikatakan berkait dengan Laksamana Hang Tuah.

“Seri Dewi anak ketiga kepada Laksamana Hang Tuah bersama isteri pertama yang juga berdarah raja di Perak, Halimah telah berkahwin dengan Raja Mahmud yang merupakan Raja Perak dan kemudian melahirkan Raja Muhammad atau Tok Baginda Demu.

“Jadi dari situ, setelah Tok Baginda Demu datang ke Pahang dan membuka tanah di Kuala Lipis, jadi keturunannya berkembang sehingga ke beberapa lagi daerah. Ada keturunannya yang berhijrah sehingga Temerloh dan Pekan,” katanya.

Pawang Nong bersama tiga anaknya, dari kiri, Arif, Osman dan Sulaiman (kanan). – sumber akuanakpahang.blogspot.com -

NAMA Pawang Nong turut diabadikan pada salah sebuah sekolah kebangsaan di Kampung Ulu Cheka, Jerantut Pahang.














Menceritakan mengenai keturunan Pawang Nong, Kamarudin berkata arwah datuknya itu mempunyai dua isteri, yang pertama bernama Patam Mat Saman dengan dikurniakan lima anak sementara isteri kedua, Halimah telah dikurniakan tiga anak.

Katanya, hanya seorang sahaja anaknya yang kini masih hidup iaitu Seri Raakna dipercayai berusia lewat 90-an dan masih menetap di Kampung Ulu Cheka bersama-sama anak dan cucu-cucunya.

Tags: tokoh
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments