kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kepincangan sukar diterima

Mereka terpelajar, mempunyai imej yang tinggi di mata masyarakat, namun malangnya masih gagal mengelak diri daripada memplagiat hasil orang lain.


JIKA percaya pada diri sendiri, tidak perlu plagiat.

Mungkin ada yang tidak percaya atau menganggap isu itu lucu, tetapi jika dibiarkan perkara itu berleluasa tanpa ada usaha untuk menyekat aktiviti kurang sihat itu, dunia pendidikan tinggi negara akan mengalami zaman gelap. Tampak cemerlang tetapi isinya kosong.

Jika dulu, plagiat hanya diistilahkan meniru atau menciplak hasil orang lain, kini definisinya mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka diperluaskan sebagai mencedok karya atau tulisan orang lain yang disiarkan kembali sebagai karya sendiri.

Lebih membimbangkan, kegiatan itu bukan saja dilakukan siswa peringkat sijil, diploma atau ijazah sarjana muda malah menular ke pasca siswazah termasuk membabitkan ahli akademik.



ANTARA faktor penyumbang aktiviti plagiat ialah kerana mengejar kenaikan pangkat atau mahu memperoleh peluang pekerjaan dalam industri. - Gambar Google

Biarpun di negara ini ia dianggap kes terpencil, ia tetap serius dan perlu diberi perhatian sewajarnya terutama pengurusan universiti dan ahli akademik kerana dikhuatiri kredibiliti golongan bijak pandai itu akan dipertikaikan di masa depan.

Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, jika plagiat berlaku dalam kalangan ahli akademik, keseluruhan imej institusi akan tercalar.

Beliau berkata, golongan itu seharusnya mencerminkan integriti dan profesionalisme tinggi kerana mereka adalah golongan cendekiawan.



BAGI memastikan plagiat tidak terus menjadi tradisi di kampus, perisian dicipta untuk mengesan aktiviti berkenaan. - Gambar Google -

"Istilah cendekiawan itu sendiri sangat tinggi maknanya jadi boleh bayangkan kalau mereka ini melakukan plagiat.

"Aspek profesionalisme, nilai moral, imej diri sebagai seorang ahli akademik akan tercemar dan boleh dipersoalkan.

"Mereka mendidik, mengajar tapi pada masa sama memplagiat hasil orang lain. Jadi di manakah taraf ilmu mereka perlu diletakkan?" katanya.

Katanya, walaupun plagiat selalu dikaitkan dengan siswa peringkat pengajian rendah (diploma atau ijazah sarjana muda) dan jarang sekali dilakukan siswa pasca siswazah (ijazah sarjana dan doktor falsafah), ia tetap berlaku.

"Plagiat bukanlah sesuatu yang aneh di universiti kerana masing-masing mahukan hasil terbaik.

"Bagaimanapun, jika ia dilakukan siswa peringkat pengajian tinggi, ia seolah-olah satu kepincangan yang sukar diterima.

"Anda sudah dewasa, sudah mampu berfikir dan berpengalaman menjadi siswa sebelum itu. Jadi mengapa masih perlu plagiat?", katanya.

Beliau menganggap mereka yang suka memplagiat hasil orang lain sebenarnya tidak yakin dengan diri sendiri.

"Jika yakin dan percaya pada kemampuan diri sendiri, tidak perlu plagiat.

"Anda belajar, menyelidik dan menulis tesis bagi membuktikan anda layak digelar orang cerdik pandai.

"Tidak perlu meniru hasil orang lain, tapi anda berusaha keras bagi mencapai kejayaan," katanya.


SEBAGAI golongan cendekiawan, ahli akademik perlu berusaha untuk menghasilkan ilmu baru setaraf dengan ketinggian pendidikan diterima. - Gambar Google

Bagi mengekang plagiatisme daripada terus mencalar kredibiliti institusi pengajian tinggi (IPT), pelbagai kaedah digunakan sama ada manual atau bantuan perisian khas.

Antara perisian yang sering digunakan bagi mengesan aktiviti plagiat ialah Turnitin yang memberi kemudahan kepada pelanggan untuk membuat padanan teks penulisan dengan teks yang terdapat dalam server Turnitin.

Padanan akan menunjukkan peratus kesamaan dengan teks yang disemak dan jika melebihi peratusan ditetapkan, ia dianggap plagiat.

Perisian yang diperkenalkan pada 1997 ini menetapkan kadar melebihi 24 peratus daripada hasil penulisan teks yang disemak sebagai plagiat manakala di negara ini melebihi 35 peratus sebagai kadar standard.

Sebelum pengenalan perisian berkenaan, semakan untuk plagiat hanya dilakukan secara rawak menjadikan ia mengambil masa lama untuk diketahui.

Beliau berkata, walaupun isu plagiat dalam kalangan pensyarah kurang diperkatakan, namun ia tetap menjadi isu yang kerap dibincangkan di peringkat global.

Menurutnya, plagiat dalam kalangan ahli akademik di negara ini masih boleh dianggap terpencil serta jarang berlaku, namun di beberapa negara membangun lain, peratusannya membimbangkan.

"Disebabkan pemantauan terhadap hasil tesis atau jurnal pensyarah sangat ketat, aktiviti plagiat dalam kalangan ahli akademik negara ini dianggap sangat terpencil.

"Namun di negara lain seperti India dan China, kebimbangan semakin memuncak kerana ada di sesetengah negara kadar peratusan plagiat meningkat setiap tahun melebihi dua peratus.

"Kita harus bersyukur kerana IPT negara ini sangat ketat menjaga kualiti dan benar-benar mengiktiraf hanya mereka yang layak saja sebagai ahli akademik sebenarnya," katanya.


Di manakah kedudukan dan integriti ahli akademik yang mengajar dan mendidik orang lain tapi melakukan plagiat?

Laporan Pertubuhan Sains dan Teknologi China (CAST) pada 2009 mendapati 43.4 peratus peratus daripada purata 30,000 penyelidik mereka terbabit dengan plagiat dan mengaitkannya sebagai sesuatu yang 'menakutkan'.

Manakala di India mendapati 80 kes plagiat berlaku dalam tesis atau jurnal yang dihantar sepanjang tempoh 2006 hingga 2008 dan di Amerika Latin 80 peratus daripada 33 tesis dihantar adalah plagiat.

Beliau berkata, antara faktor utama dikenal pasti berlakunya plagiat kerana mahukan keputusan cemerlang sebagai kredit bagi memperoleh peluang pekerjaan atau kenaikan pangkat.

"Malangnya, ia seolah-olah menipu diri sendiri kerana tidak menghasilkan karya atau ilmu tulen.

"Ini bukan sikap ahli akademik yang profesional mahupun sebagai golongan terpelajar.

"Jika mahu bergelar profesor atau doktor, anda perlu berusaha keras untuk menikmati hasilnya," katanya.

Tags: plagiarism
Subscribe

  • Plagiarisme politik

    Artikel “ Muda plagiat Muda” menjadi bahan bacaan hari ini, 18 September 2020. Ciplak atau plagiarisme bermaksud "perbuatan meniru…

  • Opting for the easy way out

    The writing on ‘Plagiarism and paper chase’ (Nov 7, 2017) is of course of interest to many readers especially the academics. It seemed…

  • Plagiarism and the paper chase

    A FEW days ago, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) announced that it would be using the QR (Quick Response) code on each of its…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments