kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kritis, kreatif lerai permasalahan kehidupan

Dalam kehidupan seharian, pernahkah kita terfikir bila masanya kita menjadi seorang yang kritis atau kreatif? Biasanya, seseorang itu akan menjadi kreatif apabila dia berada dalam situasi kritikal atau terdesak. Misalnya, ibu atau bapa yang miskin, boleh menjadi kreatif dengan hanya memetik sayur di hutan atau menangkap ikan di sungai untuk dijadikan makanan ahli keluarga. Kemiskinan yang membelenggu sesebuah keluarga, menyebabkan si ibu atau si bapa menjadi kritis terhadap nasib anak mereka.

Dalam situasi ini, mereka akan menjadi lebih kreatif untuk meneruskan kehidupan. Kreatif dikatakan berasal daripada perkataan Latin 'creare' yang bermaksud membuat (to make). Dalam bahasa Yunani pula, ia dikatakan berasal daripada perkataan'krainein' yang bermaksud memenuhi. Dalam bahasa Inggeris, ia bermaksud 'create', manakala dalam bahasa Melayu pula bermaksud cipta.


Lukisan adalah hasil kreativiti pelukis. - Gambar hiasan

Jika dikaitkan dengan sejarah Islam, ketika pemerintahan Saidina Umar al-Khattab, seorang ibu terpaksa merebus batu untuk melekakan anaknya yang sedang lapar. Ibu berkenaan sengaja merebus batu disebabkan ketiadaan makanan dan berharap anaknya akan terus tertidur disebabkan terlalu lama menunggu 'makanan' itu.

Begitu juga ketika zaman Rasulullah SAW, tentera Islam yang sedikit berdepan dengan tentera musuh yang jumlahnya lebih ramai. Keadaan itu menjadikan tentera Islam mula berasa goyah kerana tidak mungkin dapat mengalahkan tentera musuh. Bagaimanapun, dalam suasana yang kritikal itu, seorang pahlawan Islam telah mencadangkan supaya setiap tentera Islam mengasah gigi mereka dengan ranting kayu. Bila pihak musuh melihat keadaan ini, mereka berasa gementar kerana seolah-olah tentera Islam mengasah gigi untuk memakan mereka. Mereka lantas meninggalkan tempat itu dan akhirnya tentera Islam terselamat. Tindakan mengasah gigi itu dikatakan adalah asal-usul bersiwak ataupun membersihkan gigi sebelum bersolat.


Program Da'i melahirkan pendakwah yang kritis dan kreatif. - Gambar hiasan

Konsep kreatif, kreativiti luas

Konsep kreatif dan kreativiti ini sebenarnya amat luas dan tidak terhad kepada jawatan, ruang, tempat, dan masa. Malah, ia juga perlu dilihat dalam konteks lain, iaitu latar belakang seseorang seperti jurutera, peguam, ahli agama, ahli politik, dan pemandu bas. Seorang pendakwah misalnya, harus memikirkan cara terbaik untuk menarik lebih ramai orang menghadiri majlis mereka. Seorang ahli politik juga seharusnya memiliki pemikiran secara kreatif, khususnya dalam meyakinkan orang ramai terhadap kredibiliti mereka. Begitu juga seorang peguam yang perlu menjadi kreatif dalam usaha meyakinkan hakim ketika mematahkan hujah pihak lawan.

Menurut kajian, mereka yang berjawatan kritikal seperti doktor, saintis, jurutera, ahli matematik, dan pegawai perangkaan, dikatakan lebih kerap menggunakan bahagian otak kiri, sekali gus dianggap sebagai individu yang kritis. Mereka yang bertugas sebagai peguam, ahli politik, pelukis, dan yang banyak terbabit dalam bidang seni pula, dianggap sebagai individu yang kreatif kerana banyak menggunakan otak bahagian kanan.

Bagaimanapun, jika ingin lebih berjaya dalam hidup, seseorang itu perlu menggabungkan penggunaan bahagian otak kiri dan kanan. Sebagai contoh, pelukis Leonardo da Vinci yang terkenal dengan lukisan Mona Lisa, menggunakan matematik/sukatan untuk menghasilkan campuran warna yang dikehendaki. Begitu juga dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau adalah seorang doktor dan pada masa yang sama juga, seorang ahli politik yang berjaya.

Ketika era Kesultanan Melayu Melaka misalnya, tentera Melaka yang diketuai Bendahara Tun Perak bertindak bijak untuk mengalahkan tentera Siam ketika itu. Dengan jumlah tentera serta kelengkapan perang dimiliki musuh, agak sukar untuk tentera Melaka mengalahkan tentera Gajah Putih itu. Selepas berbincang dengan orang kanannya, Tun Perak memerintahkan tenteranya memasang jamung/andang api di sepanjang pantai pada waktu malam. Tujuannya adalah untuk menakutkan tentera Siam kononnya tentera Melaka mempunyai kapal perang yang banyak dan bersedia untuk berperang. Keadaan itu menyebabkan tentera Siam ketakutan dan seterusnya berundur dari pantai Melaka.


Pameran Reka Cipta, Penyelidikan dan Inovasi mengetengahkan kreativiti pelajar yang menghasilkan jeli haruman daun pandan antilipas. - Gambar hiasan

Pelengkap kepada pemikiran, pembelajaran

Dalam situasi semasa, pemikiran kritis dan kreatif adalah dua elemen penting untuk aktiviti berfikir secara luas dan mendalam dengan menggunakan kemahiran, tingkah laku dan pelupusan seperti sebab, logik, kepintaran, imaginasi dan inovasi dalam semua bidang ilmu. Sungguhpun pemikiran kritis dan kreatif tidak boleh ditukar ganti, kedua-duanya sering dikaitkan sebagai pelengkap kepada pemikiran dan pembelajaran.

Kedua-duanya begitu penting dan berkait rapat dengan inovasi, proses, serta reka bentuk kerana ciri-ciri seorang yang kritis ialah keupayaan berfikir secara intelek, mendalam dan terperinci. Seseorang yang kreatif pula mampu menjana dan mencetus idea baharu, sehingga dapat menghasilkan perkara-perkara baharu (inovasi) yang memberikan manfaat, nilai serta faedah kepada semua orang.

Pemikiran kreatif adalah pemikiran yang menerbitkan idea, manakala pemikiran kritis pula membuat penilaian terhadap sesuatu idea. Idea yang diterbitkan bersifat baharu dan kadang-kadang bertentangan dengan logik. Apa yang perlu difahami oleh semua pihak, pemikiran jenis ini mestilah berasaskan manipulasi terhadap segala pengalaman lalu dan pengadaptasian pengetahuan sedia ada.

Menurut Edward de Bono (1970), manusia perlu mengubah cara pemikiran mereka untuk meningkatkan kreativiti. Hanya pemikiran yang sedia berubah dapat menjana idea dan inovasi baharu. Malah beliau menegaskan, kreativiti itu memang berlaku tanpa disedari oleh individu itu sendiri. Untuk menjadi seorang yang kreatif, seseorang itu perlu memiliki ciri-ciri berikut:

• Melakukan sesuatu dengan cara yang unik;

• Keluar daripada pola yang sama atau 'the pattern of sameness';

• Berfikir di luar kotak minda;

• Melihat sesuatu daripada perspektif baharu;

• Menggabungkan idea sedia ada kepada pembentukan idea baharu;

• Membuka minda kepada penerimaan idea-idea baharu;

• Mencabar andaian;

• Mencipta sesuatu yang baharu

Bagaimanapun, kreativiti juga mempunyai pelbagai halangan atau cabaran yang perlu ditangani dengan bijak. Antara halangan atau cabaran itu adalah seperti berikut:

• Lambat bertindak;

• Pemikiran berbentuk stereotaip;

• Gemar membuat andaian;

• Takut menghadapi risiko;

• Takut ditertawakan


Sistem kawalan lampu rumah melalui panel sentuhan contoh inovasi untuk kegunaan awam.

Kreativiti, inovasi ditekankan dalam organisasi

Dalam sesebuah organisasi pula, pihak pengurusan atasan sentiasa menggalakkan pekerja mereka menjadi kreatif. Aspek kreativiti dan inovasi amat ditekankan bagi memastikan produk mereka terus dapat bersaing dengan produk lain. Telefon pintar keluaran Samsung, Nokia, dan sebagainya, sentiasa ditambah baik dalam tempoh beberapa bulan berada di pasaran. Masing-masing mendakwa produk mereka lebih baik berbanding saingan mereka. Hal ini memang terbukti kerana masing-masing akan berlumba menggunakan kecanggihan teknologi yang mereka miliki untuk menghasilkan produk yang boleh memberikan kepuasan yang lebih kepada pengguna.

Bagaimanapun, ingin ditegaskan di sini, kreativiti atau inovasi, bukanlah bermaksud perlu mencipta sesuatu yang bhaaru. Persepsi ini perlu diubah supaya tidak menjadi penghalang kepada orang lain untuk menjadi kreatif. Adakalanya, produk yang sedia ada di pasaran, boleh dibuat penambahbaikan dan itu juga boleh dianggap sebagai sebahagian daripada kreativiti.

Sebagai contoh, dengan kos RM800 misalnya, kita sudah boleh memiliki sebuah mesin basuh yang agak canggih. Bagaimanapun, kebiasaannya fungsi mesin basuh ini ialah setakat mencuci, membilas dan mengeringkan pakaian sahaja. Tidak ada penambahan baharu dalam fungsinya sebagai mesin basuh. Justeru, jika ingin menerapkan unsur kreativiti di sini, pihak pengeluar atau juruteranya, perlulah mempelbagaikan fungsi supaya lebih diminati, khususnya untuk membantu kalangan wanita yang bekerjaya dan sudah berkeluarga.

Apa yang boleh diperbaharui ialah kapasiti pakaian yang dicuci serta bentuk mesin basuh itu sendiri. Jika kapasiti maksimum pakaian yang boleh dicuci ialah sekitar lapan kilogram pada sesuatu masa, maka jumlah ini boleh ditingkatkan menjadi 15 atau 20 kilogram. Ini secara tidak langsung boleh menjimatkan masa kerana wanita yang bekerjaya dan berkeluarga, tidak perlu mencuci pakaian berulang-kali dalam seminggu. Dengan jumlah sebegini, mereka mungkin hanya perlu mencuci pakaian tiga hari sekali dan bukannya setiap hari.


Inovasi dan teknologi mesin pembentuk kelapa muda yang dihasilkan MARDI.

Mudahkan kehidupan

Selain itu, apa yang boleh difikirkan ialah menghasilkan mesin basuh secara kawalan jauh. Melalui teknik ini, mesin basuh itu boleh digerakkan dari satu tempat ke satu tempat, sekali gus memudahkan wanita atau ibu untuk mengumpul dan mengutip pakaian. Bagi menjadikan mesin basuh ini lebih menarik lagi, bahagian luar mesin basuh itu boleh dilengkapkan sistem audio, iaitu pemain cakera liut untuk mendengar muzik atau menonton video semasa mencuci pakaian. Dalam konteks ini, sudah tentu mesin basuh sebegini, boleh menghilangkan rasa jemu menunggu proses cucian tamat.

Kesimpulannya, keupayaan berfikir secara kritis dan bertindak secara kreatif, dapat membantu seseorang individu atau sesebuah organisasi untuk menangani segala halangan atau rintangan dengan berkesan. Setiap masalah tidak wajar dianggap sebagai penghalang, sebaliknya perlu dijadikan sebagai cabaran untuk terus maju.

Dr Rahman Hashim ialah Pensyarah Kanan Universiti Teknikal Malaysia Melaka

Tags: kreatif, kritis
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments