kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Seni Silat

Silat bentuk disiplin diri


Muzafar Shah bergambar bersama para pembantu jurulatih yang juga merupakan anak didiknya.

Dalam apa jua perkara hendak dilakukan, disiplin dan komitmen dua komponen penting bagi seseorang itu mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburinya.

Begitu juga penglibatan dalam seni mempertahankan diri, komitmen yang tinggi penting untuk menguasai setiap langkah dan ilmu dalam dunia persilatan sama ada kekuatan fizikal mahupun mental.

Manfaat dalam mempelajari silat, tidak meletakkan seseorang itu hanya memperoleh ilmu mempertahankan diri, tetapi kegiatan tersebut turut mendidik diri untuk lebih berdisiplin.

Jelas Pengasas Pertubuhan Seni Penchak Melati Puteh, Muzafar Shah Mustpha Kamil, dalam silat mempunyai tiga komponen iaitu tari, pencak dan seni.

“Terdapat banyak pergerakan dalam silat sementara setiap pergerakan itu mempunyai langkah-langkah tertentu seperti cara, menepis serangan, cara menumbuk dan sepak.

“Jadi, para pelatih perlu mempelajari setiap pergerakan untuk mempamerkan seni, 
pencak dan tari silat yang betul dan cantik. Bukan itu sahaja, setiap pergerakan mempunyai turutan yang perlu diikuti supaya silat tidak sumbang.

“Oleh demikian, apabila para pelatih mempelajari setiap pergerakan dan mengikut turutannya, secara tidak langsung membentuk disiplin dalam diri mereka,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan pelatih perlu 
berusaha dan mengambil 
inisiatif untuk mempelajari 
sesuatu khususnya dalam arena persilatan.

“Untuk mempelajari silat, pelatih perlu berusaha dan memerah keringat untuk mendapatkan ilmu, tambah pula silat memerlukan latihan berterusan supaya dapat menguasai langkah dan pergerakannya.

“Sama seperti seni mempertahankan diri lain, silat juga mempunyai peringkat-peringkat tertentu sebagai tanda penguasaan ilmu dalam sesuatu tahap. Jadi, pelatih perlu belajar dan berlatih untuk pergi ke tahap yang lebih baik.

“Lantaran itu, pelatih perlu memberi komitmen tinggi termasuk menghadiri setiap sesi latihan dan ujian yang dilakukan. Jadi secara tidak langsung juga mendidik mereka menjadi 
orang yang fokus dan beristiqamah,” katanya.

- Utusan Malaysia Rencana 07 Februari 2015 12:43 AM


Silat dalam peredaran zaman

Dahulu tiada undang-undang khusus yang boleh melindungi diri secara efektif sama ada perlindungan daripada perlakuan jenayah ataupun sebarang bahaya yang tidak dapat diduga.

Berbeza sekali dengan zaman moden hari ini apabila silat kini kurang diamalkan sebagai ilmu mempertahankan diri, tetapi lebih kepada mengangkat martabat dan warisan Melayu.


MEMBAWA silat ke Korea antara usaha Pesaka memartabatkan warisan Melayu.

Hal itu berikutan wujudnya sistem perundangan dan penguatkuasaannya oleh kerajaan seperti mahkamah, polis dan sebagainya yang dapat melindungi keselamatan diri dan harta.

Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, hakikatnya silat masih berfungsi sebagai seni mempertahankan diri sementara menunggu bantuan daripada pihak polis dan sebagainya.

“Silat masih penting sebagai persediaan diri sendiri untuk menghadapi ancaman jenayah, ia bukan hanya sebuah aktiviti sukan atau kokurikulum di sekolah.

“Betul sekarang adalah zaman orang menggunakan pistol, bom dan sebagainya untuk mempertahankan diri. Tetapi, bukan semua orang boleh menggunakan senjata api.


Datuk Megat Zulkarnain mempertontonkan kemahiran silatnya dalam Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia.

“Ragut, rogol dan rompak masih berlaku secara terbuka. Walaupun ada polis, namun mereka tidak boleh datang sewaktu jenayah itu sedang berlaku,” katanya.

Beliau menambah, silat pada zaman moden tidak boleh dipandang sebagai bahan persembahan sahaja walaupun banyak dilihat di majlis-majlis perkahwinan dan sebagainya.

“Justeru, saya menyeru kepada masyarakat agar membuang persepsi bahawa tidak perlu lagi silat sebagai medium untuk mempertahankan diri.

“Meskipun ada undang-undang, polis dan penguatkuasa lain, ia belum cukup untuk mempertahankan diri daripada ancaman apa jua jenayah, 
jadi kita perlu pertahankan diri sendiri sebelum mendapat bantuan daripada mereka,” ujarnya.

Sementara itu Pengerusi Pertubuhan Silat Seni Pusaka Gayong Johor, Johari Shuhadak mengakui fungsi silat zaman sekarang semakin berbeza, namun menegaskan seni tersebut masih signifikan untuk mempertahankan diri.

“Berbeza silat pada zaman sekarang berbanding waktu dahulu apabila dilihat daripada sudut keperluannya dalam melindungi diri, keluarga dan harta.

“Silat masih lagi penting sebagai seni mempertahankan diri, namun zaman sekarang ilmu tersebut dikembangkan dengan tujuan untuk memelihara kesinambungan warisan Melayu yang telah diamalkan sejak zaman berzaman.

“Kita dapat lihat perbezaan yang ketara dalam silat itu sendiri jika dibandingkan pada zaman dahulu seperti pergerakan dan jurus lebih kepada buah memukul selaras dengan fungsinya untuk melindungi diri,” katanya.

Tambah beliau, cabaran 
sebagai seorang pesilat juga berbeza berbanding zaman 
dahulu jika dipandang 
daripada sudut 
penggunaannya.

“Lumrah sebagai seorang 
yang menuntut ilmu kemudian ingin mengamalkannya 
dan disebarkan kepada 
orang lain, namun terdapat juga segelintir pesilat menyalahgunakannya untuk tujuan yang tidak baik.

“Zaman dahulu tiada polis, jadi pesilat dapat menggunakan ilmunya untuk melawan penjenayah dan melindungi diri. Sekarang, polis ada, jadi mereka tidak tahu ke mana hendak dibawa ilmu silatnya. Justeru, akhirnya mereka membawa ke jalan yang salah seperti merompak, menjadi gangster 
dan sebagainya.

“Sepanjang pengalaman menjadi jurulatih, memang pernah berhadapan dengan masalah tersebut, jadi saya gunakan pendekatan silat 
untuk mendidik anak murid, membina keyakinan dan jati diri,” katanya.

Johari menambah, terdapat pelbagai inisiatif dilakukan oleh ramai penggiat silat untuk memartabatkan warisan bangsa seperti mewujudkan persatuan yang berdaftar.

“Zaman sekarang, silat turut dijadikan sebagai platform untuk mengeratkan hubungan antara pengamal-pengamal dan juga pertubuhan silat seluruh negara,” katanya.

Utusan Malaysia Rencana 07 Februari 2015 12:43 AM


Seni diwarisi 
turun-temurun

Tiada tahun atau garisan masa khusus dalam menjejak sejarah kewujudan silat, waima guru yang mengajar pun akan menceritakan ilmu persilatannya diwarisi daripada seseorang kepada seseorang hinggalah dia mewarisinya kemudian diturunkan kepada generasi yang lain.


Mat Salleh

Terdapat pelbagai pendapat dan pandangan tentang kewujudan ilmu mempertahankan diri, termasuklah mitos mengenai sejarah kewujudannya seperti hikayat seorang wanita di Sumatera, Indonesia yang menjunjung bakul berisi makanan.

Wanita tersebut dipercayai sedang pulang ke rumah lalu diserang beberapa ekor burung yang ingin mengambil makanan dalam bakul tersebut, namun dia berusaha mengelak meskipun gagal.

Apabila tiba di rumah, suaminya bertanya di mana makanan dalam bakul tersebut, kemudian dia terus berang lalu memukul isterinya. Walau bagaimanapun, isterinya dapat mengelak mengikut gerakan untuk mengelak burung tadi.

Setelah gagal memukul, suaminya bertanya bagaimana dia dapat mengelak pukulan tersebut. Lalu, isterinya menceritakan peristiwa yang berlaku ketika pulang ke rumah.

Walau bagaimanapun, cerita tersebut hanyalah sebuah mitos dan tidak dapat dibuktikan kesahihannya kerana tiada susur galur tunggal tentang sejarah silat.

Menurut Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin, silat berasal daripada Nusantara Melayu.

“Tiada tempat khusus dinyatakan dalam sebarang kajian tentang sejarah kewujudan silat dalam mana-mana tempat di seluruh kepulauan Melayu. Apabila disebut kepulauan Melayu, masa itu tiada lagi Tanah Melayu atau Malaysia dan Indonesia.

“Kemudian seni silat terus berkembang. Pada zaman sebelum merdeka, silat telah pun diamalkan oleh wira negara seperti Mat Kilau, Dato Bahaman dan Mat Salleh, kemudian diturunkan kepada anak murid mereka.

“Namun mereka tidak meletakkan nama pada ilmu persilatan. Selain itu, mereka juga mengajar ilmu agama,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Tambah beliau, selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, perguruan silat masih diterus, dikembang dan diwarisi oleh generasi seterusnya sehinggalah kerajaan mengarahkan perguruan silat didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan.

“Kerajaan telah mewujudkan akta pertubuhan iaitu Akta Pertubuhan 1966 atau Akta 335, sejak itu bermulalah perguruan silat didaftarkan dan menjadi sebuah pertubuhan.

“Sementara Pesaka pula ditubuhkan pada September 1983 bertujuan menghimpunkan semua pertubuhan silat dari seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor, Mohamad Romazi Nordin berkata, terdapat beberapa andaian termasuk dakwaan mengatakan silat berasal dari India namun beliau menafikannya

“Saya pernah baca sebuah laporan lama yang ditulis oleh orang Barat tentang sejarah silat di kepulauan Melayu. Menurut laporan tersebut silat sememangnya berasal dari kepulauan ini.

“Dalam laporan itu turut menyatakan orang Melayu turut berasal dari kepulauan Melayu dan bukannya pendatang dari negara atau benua lain.

“Jika mengkaji dan meneliti sejarah silat, secara tidak langsung kita akan mengetahui asal usul Melayu sebagai bangsa tertua menurut orang Barat yang 
berasal dari Pentas Sunda iaitu gabungan daratan besar Indonesia, Malaysia, Borneo dan Singapura sebelum laut memisahnya,” katanya.

Tambah beliau, silat terus berkembang saban tahun dan menjadi pelbagai jenis. Terdapat banyak faktor yang menjadikan silat mempunyai pelbagai aliran.

“Bangsa Melayu sendiri terdapat pelbagai jenis etnik seperti Jawa, Minang, Rawa, 
Bugis dan sebagainya sementara setiap etnik tersebut 
mempunyai ilmu persilatan masing-masing.

“Jadi, tidak mustahil jika silat itu sebenarnya bukanlah ilmu yang tunggal dan ia mungkin berasal daripada etnik masing-masing.

“Selain itu, silat turut melalui proses inovasi apabila setiap penuntut mengembangkannya sehingga wujudnya beberapa pergerakan baharu. Contohnya silat gayong, kini terdapat 
pelbagai jenis silat gayong yang telah didaftarkan menjadi pertubuhan,” jelasnya.

Tambahnya lagi, akibat perkembangan silat dan inovasi pergerakan yang dilakukan oleh para pengamalnya, terdapat lebih 8,000 jenis silat di Nusantara Melayu dan lebih 3,000 darinya terdapat di Malaysia.

- Utusan Malaysia Rencana 07 Februari 2015 12:43 AM
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments