kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Silat Melayu

Silat warisan orang Melayu

Pencak,
buah pukul dan seni tempur wujud dalam silat merupakan seni mempertahankan diri yang berasal daripada orang Melayu dan telah wujud ribuan tahun lamanya.


SILAT warisan bangsa Melayu yang perlu diajar kepada generasi muda supaya budaya tersebut tidak hilang begitu sahaja.

Begitulah sigifikannya ilmu mempertahankan diri ini pada suatu ketika dahulu, sebelum wujudnya pasukan polis, tentera dan undang-undang yang boleh menghukum penjenayah.

Walaupun pada zaman serba moden kini, silat masih lagi wujud dan relevan meskipun telah wujud sistem perundangan yang baik dan penguatkuasaannya namun belum cukup untuk melindungi diri, keluarga dan harta.

Terdapat lebih 8,000 jenis silat di seluruh kepulauan Melayu yang merangkumi Indonesia, Borneo dan Singapura namun tidak dapat dipastikan bagaimana silat itu wujud dan siapa orang yang menciptanya.

Berdasarkan pemerhatian dan kajian, tiada susur galur khusus dapat menjejak asal usul kewujudan silat, yang ada hanyalah warisan setiap jenis silat yang mempunyai sejarah tersendiri.

Apa yang pasti fungsi silat itu telah berubah mengikut peredaran zaman, namun semangatnya sebagai ilmu mempertahankan diri tidak pernah luntur malah terus kukuh.

Silat kini juga boleh dibanggakan apabila seni mempertahankan diri tersebut diiktiraf apabila dipertandingkan pada temasya sukan antarabangsa seperti Sukan SEA dan terbaharu Sukan Asia pada 2018 di Indonesia nanti.

Ikuti laporan wartawan S2, Mohamad Athir Ismail, menyingkap sejarah dan perkembangan warisan bangsa, selain melihat cabaran dan masa depan seni mempertahankan diri banga Melayu itu.

- Utusan Malaysia Rencana 7 Februari 2015

Silat angkat martabat Melayu

Silat, ilmu mempertahankan diri merupakan warisan zaman berzaman dan jumlah pertubuhan itu setiap hari semakin bertambah sementara penuntutnya pula meningkat saban tahun.

Hang Tuah, Jebat, Kasturi, Lekir dan Lekiu menjadi legenda dalam dunia persilatan sementara pejuang-pejuang tanah air seperti Mat Kilau, Dato Bahaman, Mat Salleh dan yang lain menjadi inspirasi kepada para pengamal silat untuk memartabatkan warisan bangsa.

Maka, tidak hairanlah kerajaan mengiktiraf ilmu persilatan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menggelarkannya sebagai benteng pertahanan negara ketiga selepas barisan tentera dan polis.

Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, silat telah berkembang dan kini terdapat sekurang-kurangnya sebuah pertubuhan silat di 57 buah negara.

“Saya boleh kata perkembangan seni mempertahankan diri orang Melayu ini begitu agresif dan ia sebenarnya merupakan hasil usaha pemimpin dan guru-guru silat di seluruh negara.

“Kerajaan turut membantu dengan memberi sokongan dalam pelbagai bentuk melalui agensi-agensi tertentu termasuklah Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Jelas beliau lagi, terdapat pelbagai usaha sedang giat dilakukan oleh Pesaka untuk meningkatkan lagi martabat silat serta menarik lebih ramai anak muda menyertainya.

Najib Tun Razak menganugerahakan darjah tertinggi persilatan, Pendekar Negara kepada Omardin Mauju di PWTC Kuala Lumpur.

“Presiden Pesaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam, jawatankuasa Pesaka dan pertubuhan-pertubuhan silat seluruh negara sedang giat mempromosi pertubuhan silat di seluruh negeri.

“Usaha tersebut dijalankan melalui Pesaka cawangan negeri dan mencari mana-mana perguruan silat yang masih belum berdaftar agar segera dirujuk kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negara (ROS) dengan KBS supaya dapat ditubuhkan sebuah persatuan dalam perguruan mereka.

“Selain itu, untuk menarik lebih ramai anak muda menyertai silat, kita juga menggalakkan setiap sekolah, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, politeknik dan institusi pendidikan lain supaya mewujudkan satu ekstra kurikulum khusus untuk silat di tempat mereka,” katanya.

Megat Zulkarnain menambah, perancangan terkini Pesaka adalah mensasarkan silat dapat dipertandingkan ke peringkat Sukan Olimpik.

“Selain mempertahankan diri, silat turut dijadikan sebahagian daripada sukan dan kini sudah pun dipertandingkan di peringkat Asia Tenggara dalam sukan SEA.


Megat Zulkarnain Omardin bergambar bersama anak-anak muda dari Eropah yang menyertai pertandingan seni mempertahankan diri di Amsterdam, Belanda baru-baru ini.

“Akan datang, silat bakal mencatat sejarah apabila pertama kali dipertandingkan di peringkat yang lebih jauh iaitu dalam Sukan Asia 2018 di Indonesia nanti. Ini boleh menjadi satu galakan kepada anak muda yang ingin menjadi atlet negara dalam sukan silat.

“Jadi, secara tidak langsung ia dapat menarik golongan muda untuk menyertai silat, tambahan pula Pesaka kini dalam perancangan untuk menyasarkan silat dipertandingkan di peringkat lebih jauh,” jelasnya.

Menyangkal dakwaan mengatakan silat semakin hilang pengaruh, Megat Zulkarnain berkata, silat sudah merantau ke merata dunia.

“Baru-baru ini telah berlangsung sebuah pertandingan seni mempertahankan diri di Amsterdam, Belanda, justeru saya bersama Mohd Ali telah hadir menyaksikan perlawanan tersebut.

“Apa yang mengejutkan kami ialah, begitu banyak penyertaan daripada pertubuhan silat dan rata-ratanya adalah anak muda dan seingat saya paling muda ialah peserta berusia enam tahun.

“Jadi, itu bukti penyebaran budaya dan warisan orang Melayu di peringkat antarabangsa, kalau dahulu orang barat datang jajah kita, hari ini kita datang sana dan sebar pengaruh dalam bentuk budaya iaitu silat.

“Justeru, kita akan terus berusaha menghidupkan silat sebab kalau orang Melayu sendiri yang melupakannya, tidak mustahil suatu hari nanti kita terpaksa belajar daripada orang Barat,” ujarnya.

- Utusan Malaysia Rencana 7 Februari 2015

Tags: melayu
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments