kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kawal harga makanan bermasak cara mengajar peniaga tamak

MUKADIMAH : “Wujudkan mekanisme mengawal harga makanan dan minuman di restoran”. Itu merupakan kesimpulan daripada wawancara Mingguan Malaysia dengan Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), PROF. DATUK SERI DR. SAHARUDDIN AWANG YAHYA tentang isu harga barang yang masih tidak turun walaupun harga minyak sudah turun sebanyak tiga kali sejak November lalu. Menurut Saharuddin, harga barang makanan dan minuman yang dijual di restoran dan kedai kopi merupakan isu paling banyak mendapat rungutan daripada masyarakat kerana menyumbang kepada faktor peningkatan kos sara hidup. Ini kerana majoriti penduduk bandar tidak memasak di rumah, sebaliknya membeli makanan di luar kerana kesibukan kerja.

Bercakap kepada wartawan Mingguan Malaysia, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI, beliau menegaskan: “Masalah utama pengguna melibatkan makanan bermasak. Ini yang saya nampak serius sangat. Ini antara faktor yang menyebabkan orang ramai marah kepada kerajaan,” kata Saharuddin.

MINGGUAN: Bercakap tentang isu yang hangat sekarang, harga minyak yang sering dijadikan alasan oleh peniaga untuk menaikkan harga barang sudah turun sebanyak tiga kali sejak November lalu tetapi harga barang tidak pula turun, bahkan ada yang naik. Apa rungutan paling besar masyarakat?

SAHARUDDIN: Apabila harga minyak turun, harga barang tetap naik dan tidak banyak berubah. Dalam hal ini, aduan yang paling banyak kita terima tentang kenaikan harga melibatkan barang yang telah diproses atau dimasak.

Kita menerima banyak aduan tentang kedai makan. Orang ramai mempersoalkan kenapa harga makanan dan minuman tidak diturunkan, sedangkan harga kos sudah turun. Malah, harga segelas air Milo pun sudah naik 20 sen.

Kita mesti ingat 80 peratus penduduk di bandar ialah mereka yang membeli makanan di luar. Macam mana mereka hendak masak dengan kerja dan masa yang terhad, memang tidak ada masa. Sebab itu, peniaga angkuh kerana mereka tahu orang ramai akan beli makanan dengan mereka.

Macam kita bekerja, pukul 6 pagi keluar dari rumah, belum tentu sampai pukul 8 pagi. Lepas itu hendak balik kerja pukul 5 petang belum tentu sampai ke rumah pukul 6 atau 7 petang. Jadi, terpaksa beli makanan di kedai. Sebab itu, peniaga ambil kesempatan kerana mereka tahu masalah orang ramai di bandar.

Saya minta sangat kepada kerajaan supaya menjaga pengguna dari segi makanan bermasak. Kita sekarang tidak ada peraturan mengawal makanan bermasak tetapi kalau barang mentah, kita ada akta kawalan untuk barangan tertentu.

Kita tengok harga bahan mentah nampak standard. Kalau naik pun, tidak banyak tetapi barang bermasak ini tidak ada kawalan. Jadi, peniaga menaikkan harga dengan sesuka hati. Kerajaan tidak ada satu dasar, polisi atau akta untuk mengawal harga makanan bermasak. Kalau barang kawalan seperti gula, kerajaan boleh ambil tindakan sekiranya harga dinaikkan. Namun, barang bermasak tidak ada kawalan. Kalau peniaga menaikkan harga sekali atau dua kali ganda sekalipun, itu hak mereka kerana tidak ada kawalan.

Baru-baru ini, kita ada terima beberapa aduan tentang sebuah restoran. Makan beberapa orang sahaja tetapi harga beratus-ratus ringgit. Begitu juga kalau kita tanya harga makanan dan minuman di kedai mamak. Harganya berbeza setiap kali ditanya kerana tidak ada harga kawalan. Sebab itu, masa inilah kalau boleh kerajaan merangka atau mencari jalan untuk mengawal harga di kedai-kedai makan ini.

Bagi saya, masalah utama pengguna melibatkan makanan bermasak. Ini yang saya nampak sangat serius.

Walaupun persatuan pengguna lain tidak menimbulkan perkara ini tetapi saya bangkitkan kerana saya tahu ini masalah utama. Banyak aduan yang kami terima tentang harga makanan dan minuman di restoran dan kedai makan. Ini antara faktor yang menyebabkan orang ramai marah kepada kerajaan.

Apakah alasan peniaga untuk tidak menurunkan harga barang sedangkan harga minyak sudah turun? Bukankah alasan kenaikan harga minyak sebelum ini digunakan untuk menaikkan harga barang?

SAHARUDDIN: Apabila kita tanya pekedai: “Harga minyak sudah turun, kenapa kamu tidak turunkan harga?” Mereka beri alasan pembekal tidak turunkan harga. Dia boleh cakap macam itu tetapi keuntungan yang mereka perolehi jauh lebih tinggi daripada harga barangan. Contoh roti canai sekarang harga RM1 sekeping. Kalau RM1, kos tepung berapa sen sahaja. Minyak masak pun pakai sedikit sahaja, bukan sekilo. Jadi, di sini, kalau dia jual RM1, kos mereka cuma dalam 40 sen sahaja, selebihnya ialah untung. Takkan mereka tidak boleh turunkan harga. Tidak perlulah tunggu kerajaan ambil tindakan dan buat operasi. Mereka sendiri sepatutnya tunjuk keprihatinan kepada masyarakat dengan menurunkan sendiri harga. Tidak perlu tunggu pembekal turunkan harga sebab keuntungan jualan mereka tinggi.

Kita minta mereka bertimbang rasa sebab mereka untung banyak. Baru-baru ini, kita terima satu aduan tentang sebuah kafe dalam medan selera sebuah pasar raya. Pengguna memang seronok kerana kafe ini menjual nasi dengan dua ketul ayam dan segelas air pada harga RM5. Tetapi baru-baru ini, dengan tidak semena-mena dan tidak ada sebab ketika harga minyak turun, harga makanan yang sama naik kepada RM6.69 sen. Maknanya, naik RM1.69 sen iaitu kira-kira 30 peratus. Tetapi apa sebabnya? Hendak kata harga ayam naik, harga ayam tidak naik dan mereka ambil ayam sendiri. Hendak kata kos pengangkutan, ambil di situ sahaja. Saya nampak di sinilah, tamaknya peniaga.

Apakah pengguna perlu memboikot peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab ini dan sejauh mana keberkesanan tindakan boikot ini mampu memberikan tekanan kepada peniaga untuk menurunkan harga barang?

SAHARUDDIN: Pengguna berhak memboikot peniaga yang tidak bertimbang rasa ini tetapi kita nampak itu bukan langkah terbaik kerana tidak sampai kepada maksud sebenar untuk memaksa pekedai menurunkan harga barang. Kalau pengguna sahaja boikot, peniaga ini ada cara mereka sendiri. Contoh, kalau orang ramai hendak boikot makanan seperti ikan, mereka hendak makan juga, dan hendak atau tidak mereka kena beli juga. Macam mana hendak boikot kerana benda itu keperluan.

Kalau kita benar-benar hendak mengajar peniaga ini, kerajaan boleh mewujudkan tempat penjualan sendiri bagi memberikan tekanan kepada peniaga untuk menurunkan harga barang. Contoh, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) boleh menjual terus barang kepada pengguna di semua pasar tani. Kalau hendak boikot, kita boleh boikot tetapi kerajaan perlu memainkan peranan sama.

Kerajaan perlu menyediakan alternatif kepada pengguna. Sebagai pengguna, kita perlukan benda itu, kalau tidak ada, hendak makan susah. Kerajaan boleh membantu dengan mewujudkan skim seperti semasa harga ayam naik dahulu. Ketika itu, persatuan-persatuan penjual dan pemborong ayam memberikan pelbagai alasan tidak mahu menurunkan harga ayam. Sekali kerajaan import ayam dan jual terus melalui FAMA di pasar tani, peniaga menurunkan harga ayam juga. Jadi, kerajaan dan pengguna perlu sama-sama memainkan peranan.

Ini cuma satu cara. Bukannya kerajaan perlu buka kedai menjual barang secara tetap. Memanglah kita sebagai pengguna, kita akan boikot tetapi mesti ada sokongan tambahan daripada kerajaan, macam mana hendak mengajar peniaga. Bukan kerajaan hendak buka kedai jualan sendiri selama-lamanya tetapi cuma buat dalam tempoh tertentu ketika harga barang naik supaya peniaga turunkan harga barang.

Apakah ini menunjukkan pengguna di Malaysia tidak kuat sehingga terpaksa tunduk dan membiarkan peniaga menentukan harga dengan sewenang-wenangnya?

SAHARUDDIN: Pengguna bukan tidak kuat. Kuasa ada pada mereka tetapi kerajaan kadang-kadang macam bertolak ansur. Kadang-kadang kerajaan terpaksa akur dengan tindakan peniaga menaikkan harga barang. Kita sebagai pengguna walaupun kadang-kadang tidak berapa gembira, tetapi terpaksa akur juga kerana kerajaan pun bertolak ansur dengan mereka. Bagi saya, kerajaan dan pengguna perlu duduk berbincang apa langkah yang boleh dibuat.

Macam benda bermasak, perlu ada satu peraturan daripada sekarang. Memang kita tahu harga di kedai berhawa dingin lain dan di kedai mamak lain tetapi biarlah harga itu berpada-pada dengan kos mereka.

Kenapa rakyat di Malaysia seperti tidak tahu menggunakan kuasa pengguna. Pagi kutuk harga barang mahal tetapi petang pergi beli juga. SAHARUDDIN: Memang kita boikot tetapi berapa lama kita boleh bertahan. Kalau semua boikot ikan, berapa lama kita tidak boleh makan ikan, kerana semua orang makan ikan. Selain itu, kita perlu fikirkan kesan kepada nelayan juga.

Jadi, kalau kerajaan adakan jualan langsung, ini akan menambah tekanan kepada peniaga. Bukan kita minta kerajaan kawal semua harga barang tetapi memberikan sedikit tekanan kepada peniaga.

Namun, saya akui masyarakat kita memang kurang sedikit kesedaran dan sehati dalam melaksanakan sesuatu program seperti kempen boikot, kita tengok tidak semua orang akan boikot. Sesetengah orang yang berkemampuan seperti orang kaya, mereka tidak pedulikan pun dengan kenaikan harga barang.

Kalau semua masyarakat tidak bersama dalam membantu kempen boikot ini, kita susah untuk sekata bagi memberikan tekanan kepada pekedai. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk persatuan pengguna perlu selalu buat program kesedaran dan pemantauan harga barang. Mereka boleh buat pemantauan harga dan pemberitahuan kepada masyarakat bagi memberi tekanan kepada peniaga.

Contoh, LPKPM ada laman web. Kita boleh dapatkan kedai dan pasar raya yang jual barang murah. Kita uar-uarkan kepada pengguna. Dengan adanya maklumat ini, pengguna boleh pergi ke kedai yang menjual barang murah. Dengan itu, kedai yang menjual barang mahal, tidak ada pelanggan dan sudah tentu mereka akan turunkan harga barang untuk mengelak mengalami kerugian.

Daripada pemerhatian pihak Datuk Seri, bagaimana tahap kesedaran rakyat Malaysia tentang kuasa pengguna yang ada pada mereka?

SAHARUDDIN: Saya nampak NGO seperti Persatuan Pengguna Islam (PPIM) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) banyak memainkan peranan dalam menyedarkan pengguna dan menyalurkan maklumat kepada kerajaan. Kita tidak boleh nafikan ini satu cara yang bagus tetapi kadang-kadang masyarakat pengguna ambil mudah.

Badan NGO buat kerja tetapi pengguna ambil endah tidak endah. Apabila diri mereka sudah tertekan, baru pengguna hendak bergabung dengan NGO atau ambil berat tentang kesedaran pengguna. Kita dapat tengok apabila tidak ada isu, cukup susah untuk panggil orang menyertai seminar.

Walhal, kita hendak beri maklumat dan kesedaran kepada pengguna tentang apa yang boleh mereka buat. Tetapi kalau tidak ada apa-apa masalah, mereka tidak ambil kisah.

Namun, sejak kebelakangan ini, kita nampak pengguna pun sedar mereka perlu bersama dengan NGO untuk bersama membantu, tetapi mereka akan ‘tembak’ kerajaan juga. Itu tidak boleh elak.

Ketika harga barang naik, pengguna menyalahkan kerajaan kerana menaikkan harga minyak sebagai punca kenaikan ini. Tetapi apabila kerajaan menurunkan harga minyak, pengguna masih menyalahkan kerajaan kerana tidak dapat mengawal kenaikan harga barang.

SAHARUDDIN: Bagi saya, pengguna ini dalam apa jua isu, mereka akan pergi kepada kerajaan. Ini kerana pengguna tidak ada kuasa untuk meminta peniaga menurunkan harga barang sebab kuasa itu ada pada kerajaan. Macam NGO juga, kita cuma badan pengguna. Kita tidak boleh saman atau marah peniaga sebab itu kuasa kerajaan.

Bagaimanapun, sebagai badan NGO, kita akan menyedarkan orang ramai tentang peripentingnya mereka menggunakan kuasa pengguna. Kalau kita tahu di taman perumahan kita ada kedai jual barang mahal, kita boleh sebarkan maklumat itu kerana sekarang ada banyak saluran terutamanya media sosial. Macam saya kata tadi, kita boleh boikot tetapi berapa lama kita boleh bertahan kerana peniaga pun ada harga kawalan dan kumpulan mereka sendiri.

Baru-baru ini, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri menjadi sasaran kemarahan pihak tertentu apabila meminta pengguna memboikot peniaga yang menaikkan harga barang. Pihak berkenaan nampaknya lebih berminat melihat kenyataan itu dari sudut perkauman daripada membela pengguna.

SAHARUDDIN: Saya secara peribadi nampak apa yang dikatakan oleh Ismail Sabri itu satu kebenaran dan itulah realiti yang berlaku. Apabila kita bercakap pasal pengguna, kita tidak boleh jadikan isu politik. Sebab itu, kadang-kadang isu pengguna dipolitikkan, akan timbul pelbagai masalah. Kepenggunaan ini melibatkan semua orang, tak kira Melayu, Cina, India, atau apa bangsa pun. Mereka adalah pengguna.

Dalam pengguna, kita tidak ada politik. Kalau kita mempolitikkan, itu yang kadang-kadang ada isu sedikit apabila Ismail Sabri sebut tentang majoriti pengguna ialah orang Melayu dan peniaga orang Cina, sudah melompat pihak tertentu. Mereka ini lebih berminat hendak mempolitikkan isu itu daripada membela kepentingan pengguna yang tertekan dengan kenaikan harga barang. Bagi mereka, isu itu lebih besar daripada kepentingan pengguna.

Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan mulai 1 April ini. Tetapi ada pihak sudah memainkan persepsi bahawa harga barangan akan melambung naik apabila sistem cukai kepenggunaan ini dilaksanakan walhal kadar GST lebih rendah berbanding cukai sedia ada. Apakah strategi sebenar pihak berkenaan?

SAHARUDDIN: Saya nampak sebelum pelaksanaan GST, semua harga barang sudah naik. Kenapa perlu naik? Apabila ada penguatkuasaan GST pada 1 April, mereka tidak akan naikkan harga barang sebab mereka sudah kaut untung dahulu. Sebab itu kita tengok harga semua barang naik kecuali barangan kawalan. Mereka lebih cepat daripada kerajaan hendak laksanakan GST.

Jadi, selepas GST dilaksanakan, mereka mungkin akan naikkan sedikit sahaja harga barang kerana mereka sudah naikkan terlebih dahulu untuk meraih keuntungan sebelum GST. Jadi, apabila GST dilaksanakan, mereka akan beri alasan tidak menaikkan atau sekadar menaikkan sedikit harga barang.

Kita minta peniaga supaya prihatin dan simpati kepada orang ramai sebab mereka pun pengguna.   - Utusan Malaysia Rencana 8 Februari 2015

Tags: gst
Subscribe

  • Online education must continue

    Learning sessions and approaches through educational television will be taken to provide students without access to the internet but access to…

  • There are more things than PPSMI 2.0

    The PPSMI issue is back in the news. The BM Linguistic group is again against the proposal. It is seen as a one-man show by an obsessed man and…

  • What students need to know

    Unwrapping standard is a simple strategy for teachers to identify the skills and content knowledge needed in a lesson to ensure students are…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments