kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Rancangan Lin Biao larikan diri

Rancangan asal Lin Biao ialah untuk lari ke Ghuangchou.Dari situ, terus ke Hong Kong dengan niat menubuhkan kerajaan dalam buangan. Tetapi nasib tidak menyebelahi mereka – gara-gara perbuatan anak Lin Biao, Lin Li-heng. Li-heng ialah kakak kepada Li-guo. Berumur 29 tahun, dia anak dari isteri pertama Lin Biao. Seperti adiknya, Li-heng juga pegawai tentera udara, tetapi dia memegang jawatan turus saja. Li-heng tidak seperti adiknya dari segi ketaatan kepada parti komunis dan kesetiaan Mao Tse-tung. Setelah keluarga Lin Biao pada malam 12 September itu membuat keputusan untuk lari ke Ghuangchou, Li-guo membuat kesilapan besar bila dia menelefon kakaknya, mengajak Li-heng ikut bersama keluarganya melarikan diri. Perbuatan Li-guo tidak diketahui Lin Biao dan Ye Qun. Sebelum itu pun, mereka bertiga telah membincangkan soal mengajak Li-heng lari, tetapi Lin Biao tidak setuju. Dia yakin Li-heng tidak akan bersetuju, malah akan menggagalkan rancangan mereka.



GAMBAR anak perempuan Lin Biao, Lin Li-heng, waktu berumur 55 tahun (kiri) dan ketika berumur 29 tahun (kanan).

Apabila menerima panggilan Li-guo pada malam itu, Li-heng jatuh panik, cemas bercampur takut. Lin Biao tahu anaknya mengetahui perbuatan cuba lari keluar negara (defection) adalah kesalahan pengkhianatan. Pengkhianatan di bawah pemerintahan Mao Tse-tung sangat berat hukumannya iaitu dipenjara seumur hidup. Tetapi, Li-heng lebih sayangkan bapanya daripada Ye Qun, ibu tirinya, dan adiknya Li-guo walaupun dia tahu perbuatan Li-guo mengajak dia ikut lari adalah semata-mata untuk menyelamatkannya daripada menghadapi penyiksaan dan masa depan yang gelap selepas mereka meninggalkan China.

Pendek kata, sikap Li-heng – pada saat-saat menghadapi keadaan itu – lebih untuk menyelamatkan kedudukan bapanya. Oleh itu, bila dia menghubungi pihak keselamatan wilayah Beijing, dia mengatakan, Ye Qun dan adiknya Li-guo telah menculik bapanya untuk memaksa Lin Biao lari bersama mereka ke luar negeri. Seperti saya katakan dalam coretan minggu lalu, pihak keselamatan telah menelefon Chow En-lai di pejabatnya pada pukul 10.20 malam memaklumkan perkara itu.

Apakah tindakan Chow En-lai yang menyebabkan Lin Biao mengubah keputusan untuk melarikan diri pada malam itu juga? Tidak pada keesokan harinya seperti rancangan awal? Chow serta-merta telah menyemak lokasi terkini Trident – yang memang sering digunakan Lin Biao sebagai Menteri Pertahanan. Dia juga menyemak lokasi dan pergerakan semua pesawat tentera udara China di sekitar Beijing. Ini menyebabkan pihak-pihak dalam tentera udara yang menyokong Lin Biao mengesyaki sesuatu akan berlaku. Mereka segera memberitahu Li-guo, Chow En-lai sibuk membuat ‘penyiasatan’pada malam itu. Chow juga telah menelefon Lin Biao di Beidaihe hanya untuk menanyakan perkhabaran tentang kesihatannya. Isteri Lin Biao yang bercakap dengan Chow.

Tukar rancangan

Ye Qun memberitahu suaminya, dia pelik kenapa Chow, tidak semena-mena membuat panggilan sedemikian waktu hampir tengah malam. Apa muslihatnya, tanya Ye Qun kepada suaminya dan Li-guo. Li-guo pula memberitahu, Chow En-lai telah membuat beberapa panggilan telefon ke pangkalan tentera udara untuk mengetahui kedudukan semua pesawat tentera udara. Tetapi, bila Li-guo mengakui dia telah mengajak kakaknya ikut sama lari, Lin Biao sepantas kilat membuat keputusan bahwa mereka perlu melarikan diri pada malam itu juga. Rancangan asal untuk terbang ke Ghuangchou dibatalkan. Ini ialah kerana penerbangan ke Ghuangchou akan menggunakan ruang angkasa China yang lebih jauh, berisiko tinggi mudah dipintas. Mereka memilih opsyen kedua, iaitu terbang ke Mongolia yang lebih dekat. Untuk sampai ke sempadan China-Mongolia memakan masa hanya satu jam penerbangan.

Apakah lagi langkah Chow En-lai selepas diberitahu rancangan Lin Biao itu? Halaman 536 dan 537 buku karangan Dr. Li Zhi-sui, The Private Life of Chairman Mao memberi kita cerita yang sangat jelas. Menurut Dr. Li Zhi-sui, dia masih berada bersama Mao Tse-tung bila Chow tiba di kediaman Mao di Zhongnanhai (mereka baru sampai dari Shanghai lewat petang hari itu selepas hampir satu bulan menjelajah selatan China). Menurut Dr. Li, “Mao’s face collapsed when Chow En-lai told him that Lin Biao had fled. But he quickly regained his composure and listened silently, his face now impassive as Chow continued to talk. If Mao feared for his own safety, he never let it show.”

Atas cadangan Chow, Mao bersetuju pindah ke Dewan Besar Rakyat pada malam itu juga untuk menjamin keselamatan Mao. Satu lagi batalion tentera ditambah pada malam itu untuk mengawal bangunan tersebut di bahagian luar dan dalam. Kata Dr. Li, sepuluh minit sebelum pukul 1.00 pagi 13 September – iaitu setengah jam setelah Mao dan semua kakitangan yang bertugas dengannya siap dipindahkan ke Dewan Besar Rakyat – Chow En-lai menerima telefon daripada Zhang Hong, timbalan komander regimen tentera yang mengawal keselamatan wilayah Beijing, memberitahu Chow, dia sendiri telah mengetuai pasukan tentera mengejar limousin rasmi Lin Biao – dengan Bendera Merah terpasang – tetapi gagal memintasnya kerana limousin itu dipandu cukup laju, menuju ke lapangan terbang Shanhaiguan. Pasukannya menembak limousin beberapa kali, tetapi kereta itu kalis peluru. Dia dan pasukannya tertinggal jauh ke belakang. Bila Zhang Hong sampai di lapangan terbang, pesawat Trident yang membawa Lin Biao, isteri dan anaknya sedang bergerak di atas landasan untuk terbang. Dia tidak dapat berbuat apa-apa lagi, ujar Zhang kepada Chow.

Chow En-lai segera mencadangkan kepada Mao Tse-tung supaya pesawat Trident itu ditembak dengan peluru berpandu. Tetapi, menurut Dr. Li, Mao pantas tidak setuju. Mao berkata, “Rain will fall from the skies. Widows will remarry. What can we do? Lin Biao wants to flee. Let him. Don’t shoot.” Kata Dr. Li lagi, mereka kemudian mendapat tahu bahawa pesawat itu telah berangkat secara tergesa-gesa, dengan minyak sekadar satu tan, dan tidak boleh terbang jauh. Lagipun, semasa bergerak di landasan, pesawat telah merempuh sebuah trak, menyebabkan landing gear sebelah kanannya tercabut. Ini boleh menyukarkan pesawat untuk mendarat dengan selamat. Kata Dr. Li lagi, dalam keadaan tergesa-gesa itu juga, mereka tidak sempat membawa bersama pembantu juruterbang, navigator dan operator radio. Radar China segera digerakkan untuk mengesan arah penerbangan Trident. Mao dan Chow turut mengikuti perkembangannya setiap saat. Radar mengesan Trident menuju ke timur laut China, ke arah negara Soviet.

Coretan saya di minggu hadapan akan mengisahkan bagaimana berakhirnya usaha Lin Biao melarikan diri ke luar negeri. Juga, apakah kesannya kepada Mao Tse-tung setelah mengetahui orang yang paling dipercayainya rupa-rupanya telah menyimpan hasrat untuk merampas kuasa. Memang, perbuatan Lin Biao telah menyentak Mao Tse-tung, membuat dia ‘sedar diri’.

Tags: komunis, mao
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments