kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Berani tampil jika bukan pengkhianat

SECARA tiba-tiba nama Datuk Tong Kooi Ong menjadi sebutan dan perbualan harian oleh kebanyakan orang.

Beliau bukanlah seorang ahli politik tetapi seorang ahli perniagaan dan pakar kewangan yang mencipta kekayaan melalui pengetahuannya yang mendalam dalam bidang tersebut.

Bagaimanapun namanya terpalit kontroversi apabila sering dikaitkan dengan pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kerajaan dahulu.

Kini Kooi Ong berhadapan dengan tuduhan berat mensabotaj ekonomi negara dengan terlibat dalam spekulasi sehingga menjatuhkan nilai mata wang negara ini.

Beliau disamakan dengan George Soros, spekulator mata wang yang bertanggungjawab menyebabkan Krisis Ekonomi Asia pada 1997 dan 1998. Bagaimanapun setakat ini beliau masih belum menjawab tuduhan itu secara bersemuka dengan pihak media.

Hanya kenyataan akhbar sahaja dibekalkan bagi menjawab pertuduhan tersebut sekali gus menunjukkan keengganan beliau dalam berhadapan dengan tuduhan itu.

Kooi Ong pernah mencipta nama sebagai tokoh kewangan terutama sebagai broker saham, penganalisis kewangan selain individu yang bertanggungjawab menubuhkan Bank Phileo Allied Berhad. Bank ini pernah menjadi antara kumpulan perbankan dan kewangan disegani sekitar tahun 1990-an. Namun bank tersebut bergabung dengan Maybank pada tahun 2000.

Beliau kemudian terlibat dalam perniagaan pembinaan apabila membeli syarikat Sunrise Berhad pada tahun 2003 dan sebuah syarikat pembuatan bahan binaan yang beribu pejabat di Toronto, Kanada, Taiga Building Products Ltd.

Bagaimanapun pemilikannya dalam syarikat Sunrise berakhir berikutan penjualan saham syarikat itu kepada UEM Land pada 2010 yang kemudian bergabung menjadi UEM Sunrise.

Selain itu Kooi Ong juga boleh dianggap sebagai “media mogul” kerana memiliki rangkaian syarikat media yang khusus dalam bidang perniagaan dan pelaburan.

Beliau merupakan Pengerusi Eksekutif The Edge Media Group yang menerbitkan akhbar Edge Malaysia dan The Edge Singapore selain The Edge Financial Daily, Personal Money dan beberapa lagi.

Malah Kooi Ong juga pemilik akhbar dalam talian yang sering mencetuskan kontroversi, Malaysian Insider yang dibelinya pada Jun 2014. Beliau juga merupakan pemilik BFM business radio selain pemilik laman berita FZ.com.

Bekas pelajar Universiti Simon Frasier, Kanada dalam jurusan pengurusan perniagaan ini turut terlibat dalam beberapa syarikat di Singapura antaranya 3Cnergy yang terlibat dalam pelaburan hartanah sebagai pengerusi serta Pengerusi Eksekutif UPP Holdings Ltd, sebuah syarikat pelaburan yang mengintai peluang perniagaan di negara-negara baru membangun seperti Myanmar.

Tuduhan beliau terlibat dalam urus niaga mata wang Ringgit Malaysia sehingga jatuh ke tahap yang agak teruk sekarang dikatakan bermula pada bulan Ogos tahun lepas dan berlarutan sehingga Januari lepas.

Akibatnya, Bank Negara Malaysia (BNM) kini dikatakan sedang memantau Kooi Ong kerana kegiatan memanipulasikan Ringgit Malaysia sehingga jatuh teruk.

Berdasarkan pendedahan yang dibuat beberapa laman web, Kooi Ong dikatakan terlibat dalam apa yang dikenali dalam dunia pelaburan sebagai short position atau penjualan kepada pinjaman sesuatu komoditi dan mata wang dengan jangkaan nilainya akan jatuh.

Menurut beberapa laman web tersebut, Kooi Ong dalam kegiatan manipulasi mata wang negara ini dikatakan telah melakukan pinjaman sebanyak RM4.48 bilion dan kemudiannya membeli mata wang Amerika Syarikat atau USD di Malaysia menggunakan pinjaman tersebut melalui proksi beliau di Hong Kong dan New York.

Melalui pengaruh media yang dikuasainya Kooi Ong dikatakan mula memasukkan jarum dengan memberitahu nilai Ringgit Malaysia semakin hari semakin teruk. Apabila nilai USD meningkat naik, dengan itu beliau akan menukar kembali wang USD itu dalam bentuk Ringgit Malaysia untuk membayar semula pinjaman berjumlah RM4.48 bilion itu.

Dengan akses media yang dikuasainya meliputi siaran radio, akhbar serta portal-portal berita, Kooi Ong dilihat berupaya mempengaruhi sentimen awam melalui sebaran massa yang boleh mencipta keraguan jika melibatkan perkara seperti kedudukan ekonomi atau saham apatah lagi jika menyentuh tentang mata wang Ringgit Malaysia.

Berikutan tindakan yang dilihat spekulatif sebegini, perdagangan mata wang Ringgit Malaysia akan terganggu dan akhirnya mengalami penurunan nilai mengakibatkan BNM terpaksa mengeluarkan rizab untuk mengimbangi mata wang Ringgit Malaysia berbanding nilai mata wang yang paling aktif diurusniagakan ketika itu.

Dalam erti kata lain, apabila nilai Ringgit Malaysia jatuh berbanding USD, BNM akan membeli lebih banyak Ringgit Malaysia dengan menggunakan rizab USD yang dimiliki bank pusat tersebut.

Oleh itu pihak spekulator akan mengambil pinjaman di Malaysia ataupun menukarkan simpanan RM mereka dengan USD untuk mengeksploitasi situasi ini.

Ini untuk memastikan BNM akan kehabisan USD kerana lambakan Ringgit Malaysia di pasaran seterusnya mengakibatkan BNM tidak mampu lagi mengimbangi pasaran mata wang. Ini akhirnya mengakibatkan Ringgit Malaysia jatuh teruk sekaligus mendedahkan kepada pelbagai masalah lain di dalam negara.

Pihak ini akan mengaut keuntungan atas nilai USD yang lebih tinggi berbanding Ringgit Malaysia dan kerana pinjaman tersebut dilakukan dalam mata wang Ringgit Malaysia seharusnya pembayaran semula pinjaman itu juga dalam mata wang kita.

Bagaimanapun semua perkara yang dinyatakan di atas masih bersifat spekulasi. Belum terdapat sebarang jawapan atau penafian khusus secara bersemuka dengan pihak media daripada Kooi Ong sendiri bahawa beliau dalang yang dikatakan terlibat dalam kegiatan itu.

Kooi Ong juga setakat ini hanya mengeluarkan kenyataan bahawa dalang di sebalik tuduhan berat yang diterimanya itu melibatkan jutawan muda, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low. Nampaknya tidak ada jalan lain yang lebih baik melainkan Koi Ong tampil membuat kenyataan supaya beliau benar-benar dilihat bersih dan bukan bermain di belakang tabir media sosial.

- Utusan Malaysia Rencana 8 Februari 2015
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments