Tahun ini negara kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-58. Bagaimana kedudukan bahasa Melayu yang menjadi bahasa perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini? Bagus atau bagaimana? Adakah semua masyarakat berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu yang betul atau terus dengan bahasa Melayu rojak?
Awal tahun lalu (2014), Profesor Diraja Ungku Aziz menegur tentang bahasa Melayu ini. “Malang sekali bahasa Melayu ketika ini dikira bahasa rojak. Seolah-olah tidak punyai keperibadian sendiri sama seperti budaya kita.’’
Apabila memikirkan hal ini, saya rasa bangga dan menghormati sikap warganegara Rusia yang juga bekas kolumnis Utusan Malaysia, Svet Zakharov yang baru-baru ini melawat Kuala Lumpur. Beliau fasih berbahasa Melayu tetapi menggunakan loghat Indonesia. Beliau sekarang bertugas sebagai tenaga pengajar Bahasa Melayu/Indonesia di Institut Hubungan Antarabangsa, Rusia.
Zakharov berterus terang mengatakan beliau kasih dan cinta terhadap budaya dan bangsa Melayu. Pada beliau, budaya Melayu yang ada di Indonesia dan Malaysia merupakan budaya yang cukup unik dan tidak mampu ditemukan di mana-mana pelosok dunia. Budaya Melayu seharusnya dikekalkan dan dipelihara oleh orang Melayu itu sendiri dan juga bangsa-bangsa lain (maksudnya bukan Melayu) agar keunikan yang ada mampu dilihat dan dipelajari oleh generasi baharu.
Hebat Pak Zakharov yang mampu bertutur dengan lancar bahasa Melayu walaupun jarang-jarang berpeluang bersua muka dengan bangsa Melayu yang bertutur Melayu.
Saya lihat penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat antabangsa pun belum mencapai sasaran. Contohnya, pegawai kerajaan Taiwan yang saya bertemu baru-baru ini pun bertutur dalam loghat Indonesia. Saya diberitahu, sebelum dihantar bertugas di negara kita, mereka diberi kursus bahasa Melayu tetapi secara khusus bahasa Indonesia. Maknanya bahasa Melayu belum tersebar luas di pentas antarabangsa. Kalau rakyat asing hendak belajar bahasa Melayu, mereka terpaksa belajar melalui bahasa Indonesia dahulu.
Dalam siri Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri pun kita dapat lihat peserta lebih fasih menggunakan bahasa Indonesia. Apa sudah jadi terhadap perancangan untuk meletakkan bahasa Melayu di pentas antarabangsa kalau yang banyak digunakan ialah bahasa Indonesia?
Menyentuh isu bahasa Indonesia ini, timbul pertanyaan, bagaimana dengan sesetengah masyarakat bukan Melayu negara ini yang sudah menjadi warganegara sejak sekian lama terhadap bahasa kebangsaan. Bukan sahaja tidak berminat memahami budaya dan adat resam Melayu, malah tidak ambil peduli untuk menggunakan bahasa Melayu dalam semua urusan. Yang diutamakan bahasa Mandarin.
Bahasa Melayu saban hari ditinggalkan. Tidak ada lagi keutamaan termasuk dalam iklan. Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafli meluahkan perasaannya bahawa di hotel, bahasa pengantarnya bukan lagi bahasa Melayu. Bahkan di kedai kopi pun kena guna bahasa ikut nombor jika ingin membuat pesanan. Pelanggan kena menulis nombor menu pada borang pesanan. Sebab banyak sangat pekerja asing yang tidak tahu berbahasa Melayu. Kalau bercakap pun sudah jadi seperti itik bercakap dengan ayam.
Tidak ada salahnya kita mahir bahasa Inggeris tapi janganlah tinggalkan bahasa Melayu. Tak kira orang putih, orang ungu, orang hitam, bukankah kita orang Malaysia. Lihat bagaimana kaum Cina di Indonesia yang begitu menghormati dan menggunakan bahasa negara itu.
Ketidakpedulian terhadap bahasa kebangsaan ini pada pandangan pengirim e-mel, Mat Nasir, merupakan ‘penyakit’ yang menimpa bahasa Melayu. Tokoh bahasa memang ramai tetapi ‘pejuang bahasa’ tidak ada maka beginilah jadinya sekarang.
Bahasa Melayu pun terus menjadi sesuatu yang asing kepada warga bangsanya sendiri. Mat Nasir tidak dapat membayangkan akan nasib bahasa Melayu, apakah ia terus terbela ketika kita maju dengan acuan sendiri nanti? Apakah penguasa daripada bangsa Melayu sendiri begitu lemah dalam menangani hal penting sebegini. Entahlah, yang pasti ini memberi petanda bahawa kita ketandusan pemimpin yang berwibawa untuk mengangkat bahasa Melayu.
Pemimpin Melayu kena perhatikan penggunaan bahasa Melayu di kementerian dan jabatan kerajaan masih belum mencapai tahap memuaskan. Pada 2013, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melaksanakan Program Audit Bahasa Melayu dan berdasarkan penilaian ketika itu, tidak ada kementerian atau jabatan kerajaan yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam urusan rasmi termasuk dalam bentuk surat-menyurat. Bagaimana kedudukannya sekarang?
Jom betulkan bahasa Melayu kita
Sekarang banyak orang keliru tentang ejaan mana yang betul. Sebab kebanyakan kita kurang faham dan gagal memahami makna sesuatu perkataan. Bunyi sebutan hampir sama tetapi makna berbeza. Apa yang berlaku ini kerana kita sudah terlalu biasa menggunakannya dan banyak digunakan oleh masyarakat umum. Walhal perkataan yang kita gunakan itu salah. Jadi belajarlah guna perkataan yang betul.
BAHARU, BARU ATAU BARU-BARU
1. Kata “baru” dan “baharu” merupakan kata adjektif yang digunakan untuk merujuk sesuatu yang belum dipakai atau belum lama dipakai. Contohnya basikal baharu/baru atau kasut baharu/baru. Padanan bahasa Inggerisnya ialah new.
2. Kata “baru” sebagai kata bantu digunakan dalam konteks “tidak berapa lama dahulu” atau “tidak berapa lama sebelum ini”, contohnya baru-baru ini, baru tiba atau baru sedar. Padanan bahasa Inggeris bagi “baru” ialah just dan “baru-baru ini” ialah recently.
Contoh penggunaannya:
- Ayah membelikan adik basikal baharu/baru.
- Selepas saya jelaskan, baru dia sedar.
- Kita menyokong perbahasan itu dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.
DALAM KALANGAN ATAU DI KALANGAN
- Frasa yang paling tepat ialah “dalam kalangan” bukan “di kalangan” kerana sendi nama “di” merujuk tempat. Kata “kalangan” bermaksud lingkungan atau golongan. Sekiranya sendi nama “di” dibubuh pada kata “golongan” menjadi “di golongan”, maka “di” tidak sesuai dipadankan dengan “kalangan”. Penggunaan “dalam kalangan” betul kerana menunjukkan termasuk, bersama-sama atau terlibat sama.
Contoh penggunaan ayat:
“Dalam kalangan” negara Barat, hanya Perancis berusaha mencapai matlamat dasar luar negara.