kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kartel, pencatutan punca harga barang mahal

Keengganan untuk mengurangkan harga produk dan perkhidmatan selepas pengurangan harga bahan api berkemungkinan menjadi penghalang kepada Malaysia untuk mencapai harga pasaran bagi sumber tenaga.

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah memantau perkembangan mengenai harga tenaga dan kesannya kepada ekonomi Malaysia secara berterusan. Pencatutan (profiteering) adalah penyakit kronik yang boleh diperhatikan dalam semakan harga bahan api yang terbaharu. Mari kita mengkaji isu ini dengan lebih lanjut. Apabila kerajaan mengurangkan subsidi untuk petrol dan diesel pada bulan Oktober 2014, banyak peniaga mengadu. Ada yang mengatakan mereka akan tutup kedai jika tidak menyalurkan kos tambahan kepada produk dan perkhidmatan manakala segelintir lagi mengatakan bahawa mereka akan 'mati' disebabkan oleh peningkatan harga yang mendadak.

PENGGUNA perlu bijak menilai dan membandingkan harga barang yang dijual. - Foto hiasan

Harga tertinggi RON95 (petrol) adalah RM2.30 seliter dan diesel adalah RM2.23 seliter antara bulan Oktober 2014 dan Disember 2014. Kini, selepas tiga kali harga bahan api disemak semula pada bulan Disember 2014, Januari 2015 dan Februari 2015, harga RON95 dan diesel adalah RM1.70 seliter. Ini bersamaan dengan pengurangan 26.09 peratus dalam harga RON95 dan 23.77 peratus dalam harga diesel.

Keluar kenyataan berbeza

Hairannya, golongan yang mengadu bahawa mereka tidak tahan dengan peningkatan dan akan 'mati' kini keluar dan mengatakan bahawa harga bahan api adalah komponen 'sangat kecil' dalam perbelanjaan operasi. Ada pihak menuding jari kepada yang lain dan yang lainnya adalah sejarah. Pokoknya, penurunan dalam perbelanjaan operasi bermakna kadar atau 'margin' keuntungan yang lebih tinggi, itulah matematik yang mudah. Wang mempunyai caranya sendiri untuk menggoda kebanyakan perniagaan supaya tidak menurunkan harga!

Jika kita mengambil komponen harga bahan api sekata dalam kos operasi perniagaan sebagai 5 peratus, 10 peratus, 15 peratus, 20 peratus, 25 peratus, 30 peratus, 35 peratus dan 40 peratus. Kemudiannya, kita proratakan pengurangan sebanyak 20 peratus dalam kesan kos bahan api secara keseluruhan, komponen kos bahan api akan menurun menjadi, 4 peratus, 8 peratus, 12 peratus danalam kos operasi mereka.

Sebagai contoh, persatuan pengusaha bas dan teksi menyebut bahawa komponen bahan api mereka adalah antara 30 peratus hingga 40 peratus apabila kerajaan menaikkan harga bahan api pada bulan Oktober 2014. Kini, ia sepatutnya antara 24 peratus hingga 32 peratus atau lebih rendah. Tetapi, mereka maklumkan bahawa kos lain telah meningkat, jadi mereka mengekalkan caj perkhidmatan seperti sedia kala. Bolehkah mereka senaraikan komponen kos yang meningkat dan apakah peratusan peningkatan bagi setiap komponen ini?

Harga jualan dikawal

AWER ingin berkongsi pengalaman kami dalam mengkaji produk elektrik dan elektronik yang cekap tenaga. Kami dapati ada unsur kartel dan pencatutan dalam barangan elektrik dan elektronik semasa proses perundingan dengan pihak berkepentingan. Peruncit (termasuk pasar raya besar) tidak dibenarkan untuk menjual produk di bawah harga tetap. Jika mana-mana peruncit mengurangkan harga jualan di bawah harga tetap, peruncit ini tidak akan dibekalkan model produk tersebut sebagai hukuman.

Peruncit hanya dibenarkan untuk menjual produk di atas harga yang ditetapkan sebanyak yang mereka suka. Malangnya, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang telah dibekalkan salinan laporan kami gagal mengambil tindakan sehingga kini. (MyCC adalah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan).

Sebagai pengguna, jika kita menyemak harga barang yang dijual di pasar raya besar dan peruncit, kita akan melihat bahawa harga diskaun sebenarnya tidak jatuh di bawah paras tertentu. Baru-baru ini, lapan pek mi segera dijual dengan harga RM4.88 sebagai harga terendah di beberapa pasar raya besar. Senarai ini berterusan untuk sabun pencuci, barangan rumah, makanan, minuman dan sebagainya. Jika kerajaan serius dalam menangani isu ini, mereka boleh dapatkan maklumat daripada peruncit yang dipaksa menjual pada harga tetap dan bergerak ke atas rantai bekalan untuk menangkap 'jerung-jerung' ini.

Terdapat banyak 'jerung' untuk ditangkap bagi pelbagai produk. Bolehkah MyCC melakukan ini? Dalam satu kajian yang berkaitan dengan Lampu Kalimantang Mampat (compact fluorescent lights - CFL), kami telah menjalankan kajian pasaran dan menggunakan kaedah 'menamakan dan memalukan' (name and shame). Ada kumpulan syarikat yang berjanji kepada agensi kerajaan (semasa mesyuarat) apabila mentol pijar (mentol filamen) yang tidak cekap tenaga dihentikan penggunaannya secara berperingkat, syarikat ini bersedia membekalkan CFL pada 'tag' harga lebih rendah.

Tetapi, selepas pengumuman mentol pijar akan dihentikan penggunaannya, harga CFL naik dan tidak pernah turun sehingga mereka pada dasarnya dinamakan dan dimalukan dalam laporan kami yang diterbit pada tahun 2012. Oleh itu, kami gesa pengguna menggunakan media sosial untuk menamakan dan memalukan barangan dan perkhidmatan yang tidak menawarkan harga berpatutan. Begitu juga, mengenali perniagaan yang baik dan menggalakkan kepada rakan anda.

Beri pengajaran sepatutnya

Jangan lupa restoran francais termasuk restoran makanan segera yang berada dalam kedudukan lebih baik untuk mengekalkan kos rendah berikutan pembelian pukal. Mereka telah meningkatkan harga dan mengurangkan saiz makanan ditawarkan dengan ketara sejak beberapa tahun ini. Sektor perniagaan ini memerlukan pengajaran yang lebih pedih daripada rakyat Malaysia juga. Pada masa sama, gerai makanan juga mesti diingati oleh pengguna!

Umumnya, rakyat Malaysia bersikap memaafkan dan tidak menuntut untuk barang dan perkhidmatan setanding kadar yang mereka bayar. Jika kita terus tidak menuntut dan menghukum peniaga yang menipu, peniaga terbabit akan mencari jalan untuk memerah lebih banyak daripada kita. Gunakan media sosial untuk mewujudkan gelombang menamakan dan memalukan. Jangan lupa, anda adalah bos. Jika anda (secara kolektif) tidak membeli, mereka terpaksa menutup kedai akhirnya. Pastikan momentum ini dikekalkan, sebagai pengajaran!

AWER juga kerap dengar alasan bahawa 'biar pasaran menentukan.' Apa yang akan berlaku apabila sumber tenaga yang digunakan untuk sektor pengangkutan, sektor tenaga dan perindustrian akhirnya mencapai harga pasaran? Adakah peniaga akan mengikut trend dengan harga pasaran atau mereka hanya akan meningkatkan harga dan enggan untuk kurangkan harga apabila harga pasaran sebenarnya adalah rendah?

Laksanakanlah penguatkuasaan di bawah undang-undang yang sedia ada. Pencatutan dan kartel tidak dibenarkan di bawah undang-undang Malaysia. Ia begitu jelas dan mudah. Saya ingin petik kata-kata Profesor Albert Einstein: "Hanya dua perkara yang tak terhingga (infinite), alam semesta dan kebodohan manusia." Cuma, beliau lupa bahawa ketamakan manusia juga tiada hadnya!

Penulis ialah Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER).
Tags: ekonomi
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments