kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Medium sokongan utama

Dalam transisi perubahan sistem pendidikan negara, selalunya kesalahan diletakkan di bahu pelajar atau sekolah jika mereka gagal memperoleh keputusan sewajarnya.

Mengambil kira isu keputusan mengecewakan dalam Penilaian Tingkatan Tiga (PT3), baru-baru ini, kesalahan seperti diletakkan pada satu pihak semata-mata tanpa mengambil kira punca sebenar.

Silap menunding jari bukan saja menjatuhkan reputasi, malah menimbulkan persoalan, benarkah kesalahan akibat perubahan itu hanya perlu ditanggung segelintir pihak saja?

Atau semua perlu akur dan menyedari bahawa perubahan dilaksanakan itu tanggungjawab semua.


KERJASAMA penting bagi menjadikan ibu bapa lebih prihatin terhadap sebarang perubahan dalam sistem pendidikan negara,
sekali gus menjadikan pelajar lebih yakin untuk mengikuti perubahan itu. - Gambar hiasan

Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Profesor Emeritus Dr Othman Lebar berkata, apabila berlaku perubahan sistem pendidikan negara, semua pihak perlu memikul tanggungjawab terutama ibu bapa.

Beliau berkata, sebagai medium sokongan paling utama, ibu bapa perlu memulakan langkah pertama melakukan anjakan minda, sekali gus memudahkan proses pemahaman pelajar.


APA jua perubahan yang dilakukan adalah bertujuan memberi pembaharuan kepada sistem pendidikan
sedia ada sebagai persiapan memenuhi keperluan semasa juga global. - Gambar hiasan

“Apabila ibu bapa faham, pelajar akan faham kerana mereka bersandarkan pada sokongan ibu bapa.

“Selalunya, konflik akan timbul apabila ibu bapa tidak mendapat cukup maklumat untuk disalurkan kepada anak-anak menyebabkan mereka (pelajar) tidak tentu arah mencari jawapan.

“Jika ibu bapa tidak bertindak dulu, sebarang perubahan ingin dilakukan demi kebaikan pelajar sukar dilaksanakan,” katanya.

Katanya, dalam konteks budaya, peranan ibu bapa mencorakkan masa depan pelajar sangat besar.


FORMAT PT3 yang berubah mengakibatkan ramai ibu bapa tersentak dan bertindak menyalahkan
pihak lain akibat keputusan tidak memberangsangkan diterima pelajar. - Gambar hiasan

“Ini kerana kepercayaan pelajar bahawa ibu bapa mereka lebih berpengetahuan adalah tinggi.

“Setiap apa dicorakkan ibu bapa selalunya lebih dipatuhi termasuk urusan pembentukan masa depan pelajar.

“Jika ibu bapa tiada usaha melengkapkan diri dengan sebarang maklumat atau berubah mengikut arus semasa, sukar bagi pelajar menerima perubahan kerana bimbingan diterima tidak mencukupi,” katanya.

Keberkesanan sesuatu perubahan dalam sistem pendidikan negara, katanya, lebih banyak bergantung kepada kesediaan ibu bapa menerima perubahan itu.


KEBERGANTUNGAN anak kepada sokongan ibu bapa sangat perlu bagi membantu mereka berdepan perubahan. - Gambar hiasan

Menurutnya, ibu bapa perlu dididik menerima perubahan selari dengan keperluan dunia pendidikan hari ini.

“Misalnya, sudah banyak perubahan dilakukan untuk mengalih fokus pelajar daripada berorentasikan peperiksaan atau akademik semata-mata.

“Sistem ini bagus dan diperakui di kebanyakan negara namun di negara ini, ia kurang mendapat sambutan.

“Ia berlaku kerana minda ibu bapa dan masyarakat masih jumud dan menganggap sistem peperiksaan serta akademik adalah yang terbaik,” katanya.


PELBAGAI fasa sudah dilakukan sejak era pramerdeka untuk menjadikan sistem pendidikan negara
setanding negara maju dan tidak bergantung pada akademik atau peperiksaan semata-mata. - Gambar hiasan

Sejak 1957, pelbagai transformasi sistem pendidikan dilakukan selari dengan perubahan semasa dan global.

Namun, perubahan itu menyebabkan ada ibu bapa ‘terkejut’ dan menyalahkan pihak tertentu dengan pelbagai andaian.

Antara perubahan yang menggegarkan dunia pendidikan negara ialah pemansuhan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan digantikan dengan PT3.

Dengan format peperiksaan bentuk baru, ramai ibu bapa tersentak, malah keputusan pelajar merudum.

Beliau berkata, melihat transisi yang dilaksanakan, ia satu isyarat kepada ibu bapa supaya membantu pelajar keluar dari zon selesa akademik semata-mata.

“Saya tidak nafikan akademik penting, tapi bukan semua ada keupayaan itu.

“Kita mahu menjadi negara maju, justeru, sistem pendidikan perlu perubahan.

“Ia bukan untuk kepentingan mereka, tapi demi masa depan pelajar,” katanya.

Tags: media, pendidikan
Subscribe

  • Masalah ekonomi: Beri alasan wajar

    SELASA lalu, masa makan tengah hari di sebuah restoran makanan Cina ala-Pulau Pinang di sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, taukenya sembang…

  • Muflis: Dasar pelik bank?

    WAKTU ini dianggarkan nilai hartanah di negara ini yang hendak dilelong berjumlah RM28 juta. Kebanyakannya milik orang Melayu. Dalam satu insiden…

  • Akta baharu lindungi hak penjamin

    Usaha kerajaan menggubal akta baharu menggantikan Akta Kebankrapan 1967 (Akta 360) bertujuan melindungi penjamin tentunya melegakan pihak yang…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments