kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kisah RON97 dan ubah gaya hidup


Seorang rakan mengaku yang dia kini ada duit lebihan antara RM100 hingga RM150 sebulan, sejak tiga bulan lalu setelah harga runcit petrol turun. Kos minyak keretanya yang berulang-alik dari rumah di Sungai Buloh untuk ke pejabat di ibu kota iaitu lima kali seminggu, sudah jauh berkurangan.

Harga minyak mula diturunkan sejak September tahun lalu berikutan kejatuhan harga minyak dunia dan sejak itu, sudah tiga kali harganya menurun. Kali terakhir 1 Februari lalu dengan harganya kini terus turun iaitu RON95 kini RM1.70 seliter, RON97 RM2 seliter dan diesel RM1.70 seliter.

Selagi harga minyak dunia tidak berganjak di bawah paras AS$60 setong (kelmarin sekitar AS$57), selagi itu rakyat boleh mengharapkan harga runcit petrol di stesen minyak tempatan diturunkan lagi pada setiap 1 hari bulan, berikutan penetapan harga runcit RON95 dan diesel dilakukan mengikut kaedah pengapungan terkawal bermula 1 Disember lalu.

Berbalik kepada kisah rakan tadi, dia juga mengaku sebenarnya tiada lebihan duit dalam erti kata sebenar walaupun harga runcit petrol turun. Ada tiga alasan diberinya iaitu isteri saban minggu ajak balik kampung di Sungai Petani, Kedah kerana duit minyak sudah kurang, isteri lebih kerap ajak untuk makan di restoran kerana lebihan sedikit wang saku, malah turut menukar minyak kereta daripada RON95 yang digunakan selama ini kepada jenis RON97 - semuanya gara-gara harga runcit petrol semakin murah.

Pokoknya, rakan itu tadi bukan saja tiada lagi lebihan wang antara RM100 hingga RM150 sebulan, malah berbelanja lebih pula kerana menukar gaya hidup daripada makan di gerai, sudah berkeinginan menjamu selera di restoran dan menukar pula kepada penggunaan RON97 'kerana pecut kereta lebih lancar bila perjalanan jauh balik kampung'.

Hakikat ini turut disimpulkan oleh pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai yang menyatakan bahawa peralihan trend pembelian petrol RON97 dalam kalangan pengguna berkemungkinan mengakibatkan pembaziran sekiranya tidak diurus secara sistematik.

Situasi itu katanya, berkemungkinan berlaku apabila pengguna cenderung menghabiskan baki petrol di dalam tangki dengan berjalan jauh pada hujung minggu yang hanya akan menambah perbelanjaan sampingan.

Di sinilah timbul persoalan sama ada pengguna berbelanja mengikut kehendak nafsu atau keperluan. Jika mengikut kehendak nafsu, maka tersasarlah langkah penjimatan yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

Sememangnya kejatuhan harga minyak dunia meskipun memeritkan bagi negara pengeksport minyak, memberi senyuman kepada ramai pihak. Benar kata bekas Presiden Amerika Syarikat, John F Kennedy bahawa dalam setiap krisis atau kegawatan, ia juga mempunyai sudut positif dan peluang untuk kebaikan. Namun, sikap tamak haloba boleh 'merompak' kebahagiaan yang dinantikan... iyalah apabila harga minyak naik, peniaga dengan serta-merta akan turut menaikkan harga barangan meskipun stok lama, tetapi jika sebaliknya amat payah untuk menurunkan harga.

Diharapkan selepas ini, ramai peniaga akan menurunkan harga barangan melalui tekanan pelbagai pihak dan pengguna perlu menggunakan kebijaksanaan, selain bijak berbelanja.




PENGGUNA motosikal menggunakan RON97 disebabkan penurunan sebanyak 11 sen seliter mulai 1 Februari lalu di seluruh negara. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Tags: ekonomi
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments