kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Antara label 
dan realiti

DUNIA sekarang semakin obses dan ghairah dengan memberi dan meletakkan label kepada apa jua yang boleh diberi label.

Pengeluar-pengeluar melabelkan produk-produk mereka dengan pelbagai cara dan bentuk, sehingga produk-produk tersebut seakan-akan ajaib dan jauh daripada realiti. Ada yang memutihkan, hampir segera, apa yang hitam dan kelam. Ada yang mencantikkan, juga secepat mungkin, apa yang semula jadi tidak begitu menarik. Dan ada pula yang begitu ajaib mujarabnya, sehingga merubah segala-galanya seperti impian menjadi realiti. Walhal realitinya adalah label-label tersebut memesongkan .

Begitu juga halnya dengan masyarakat dunia. Sudah menjadi kelaziman mengenakan label-label untuk menandakan kumpulan-kumpulan tertentu yang pada realitinya juga tidak betul, tidak tepat dan memesongkan.

Sekarang label-label telah mengasing-asingkan antara puak-puak contohnya:-

* Muslim ‘moderate’ atau sederhana

* Muslim ekstremis

* Muslim pengganas atau terrorist

* Muslim ‘fundamentalis’

Juga, wujud pula antara kita sendiri di Malaysia label-label seperti Melayu moderate, warga Malaysia moderate, Melayu ekstremis, kaum Cina ektremis dan sebagainya.

Di peringkat global, umat Islam perlu khuatir terhadap label-label yang memberi gambaran negatif terhadap mereka, dan yang mentafsirkan ajaran Islam dalam pelbagai bentuk, yang terpesong dari apa yang sebenarnya.

Sebenarnya tidak timbul soal label-label ber­asingan untuk umat Islam. Jika seseorang itu meng­anuti agama Islam maka asas segalanya ialah ke­sederhanaan dan pegangan hidup di dunia ialah Rukun Islam yang jelas maksud-maksudnya.

Mentafsirkan apa jua yang sahih mengikut pandangan-pandangan dan fahaman subjektif pihak-pihak tertentu yang mungkin mempunyai agenda dan muslihat tersendiri adalah memesongkan pe­ngertian tuntutan agama Islam. Apatah lagi mereka yang jelas me­lakukan tindakan-tindakan kejam serta penganiayaan dengan menyalahgunakan Islam atau bertindak kononnya demi Islam adalah mencemar imej suci agama Islam dan memberi gambaran negatif tentang umat Islam kepada orang lain.

Padahal majoriti besar umat Islam di dunia ialah orang yang berpegang teguh kepada ajaran-ajaran Islam. Tanpa perlu apa-apa label, umat Islam yang ramai ini, faham bahawa Islam sememangnya menuntut kesederhanaan, kesabaran, menerima perbezaan antara makhluk Allah SWT dan menghormati pihak lain.

Mereka yang telah jauh lari daripada ajaran-ajaran sebenar agama Islam sehingga bertindak sebagai pengganas dan ekstremis tidak lagi mencerminkan umat Islam. Mereka ha­nyalah semata-mata ekstremis atau pengganas. Agama tidak merupakan faktor penghitung.

Begitu juga label yang menandakan sebahagian daripada ekstremis-ekstremis tersebut sebagai kononnya ‘Muslim fundamental’. Sebenarnya jika mereka yang sudah terpesong dan sudah menjadi ekstremis dilabelkan sebagai orang Muslim asli/ fundamental, apakah kita yang majoriti ini dianggap bukan Muslim asli, dan cuma pengikut cabang-cabang dan ranting-ranting agama Islam? Dan bahawa kita yang majoriti ini juga dianggap bukan umat Islam yang sebenarnya mengikuti ajaran-ajaran asas dan pokok atau fundamental agama Islam? Kita tidak sewajarnya membenarkan ini berterusan.

Sekian lama dibiarkan label ini digunakan secara tidak betul. Pengganas-pengganas yang membunuh atas nama agama Islam, bukan orang yang memahami asas-asas atau fundamental agama Islam. Mereka menyalahgunakan atau tersalah faham, ajaran-ajaran asas Islam. Kita yang ramai inilah umat Islam fundamentalis kerana kita berpandu dan berpegang kepada ajaran-ajaran dan rukun-rukun fundamental atau asas agama Islam.

Maka di Malaysia, seorang yang berstatus Melayu mesti pada asasnya beragama Islam. Tidak timbul soal sama ada seseorang Melayu itu sederhana atau ekstremis. Sebagai seorang yang beragama Islam, seorang yang berstatus Melayu mesti menjadikan kesederhanaan sebagai panduan tindakan dan kelakuan.

Apatah lagi di Malaysia, tidak ada faedahnya kita memberi label-label sesama sendiri sehingga wujud belah bahagi antara kita. Lagipun siapakah yang menentukan apa ciri-ciri kesederhanaan bagi kaum-kaum Melayu, Cina, India, Iban dan seterusnya? Tanda aras atau benchmark siapakah yang diterima pakai? Adakah sesiapa yang tidak menerima mana-mana aspek tanda aras itu akan dianggap pelampau atau ekstremis?

Sebenarnya, kita tidak perlu melabelkan sesama sendiri. Jika kita warganegara Malaysia, maka panduan-panduan Rukun Negara memberi petunjuk-petunjuk jelas. Perlembagaan Negara menjelaskan peruntukan undang-undang yang asas. Dan keinginan untuk hidup dengan damai dan tente­ram secara berterusan dari generasi ke generasi wajar mendorong kita semua menerima kepelbagaian dan perbezaan-perbezaan di antara kita.

Dengan sendirinya kita akan mengamalkan hidup bersama yang akrab, dengan menghormati antara satu dengan lain. Dan dengan sendirinya akan sukar untuk adanya ruang, bagi sesiapa jua yang berfikiran dan bertindak melampau atau ekstremis kerana majoriti terbesar rakyat Malaysia tanpa diberikan label sememangnya warganegara yang bertangg­ungjawab dan bersikap sederhana.

Tan Sri Rafidah Aziz Utusan Malaysia Rencana 09 Februari 2015 12:58 AM - pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama 35 tahun, menteri selama 28 tahun dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO selama 38 tahun. Beliau kini ialah Profesor Adjung di Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM) selain menjadi Pengerusi AirAsiaX, Megasteel dan Pinewood Iskandar Malaysia Studio.

Subscribe

  • Raja, rakyat dan perlembagaan

    TIDAK berapa lama dulu seorang diplomat Thai memberitahu bahawa saya tidak perlu menunjukkan pembesar dan pemimpin Thai berinsut di lantai ketika…

  • Perlembagaan Persekutuan bukan saluran pecat pemimpin

    SAYA terpanggil untuk berkongsi pandangan perundangan mengenai isu ini kerana sejak akhir-akhir ini, ada yang menyatakan pandangan dan tafsiran…

  • Hak kebebasan berhimpun

    DALAM masyarakat demokratik, rakyat memainkan peranan penting menyemak dan mengimbangi (check and balance) cabang-cabang kerajaan supaya tidak…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments