kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Prasangka terhadap bahasa Melayu perlu dihentikan

Tinjauan terhadap 13,925 responden dalam kalangan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada tahun 2010 yang mendapati 609 tidak boleh berbahasa Melayu langsung, bukan sahaja menggemparkan banyak pihak, ia ikut menimbulkan pelbagai polemik.

Selain ini, suatu tinjauan jalanan pada tahun 2011 dalam kalangan belia Cina mendapati 28 daripada 107 responden, tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan memahaminya langsung.

Sehubungan ini, ramai yang keliru bagaimana belia bukan Melayu ini boleh lulus subjek Bahasa Melayu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, kadangkala dengan cemerlang lagi, tetapi tidak boleh berkomunikasi langsung dalam bahasa itu.


Penulis ialah penggiat linguistik nasionalis

Daripada pengakuan mereka ini yang didapati tidak mampu pun membina satu ayat yang sempurna dalam Bahasa Melayu, menghafal banyak karangan membantu mereka bukan sahaja untuk lulus, malah memperoleh gred tinggi pula. Selain karangan, mereka ini juga mengakui menghafal banyak perkara lain, antara 'idiom' dan ungkapan bahasa Melayu tertentu untuk diguna dalam jawapan mereka.

Teknik menghafal

Dengan kata lain, teknik menghafal jelas membantu mereka untuk mencapai orientasi instrumental dalam tujuan mempelajari Bahasa Melayu, iaitu lulus dan dengan baik pula. Sudah tentu orientasi begini tidak baik dalam usaha kita membentuk negara bangsa. Bahasa Melayu dipelajari semata-mata untuk memenuhi syarat lulus memperoleh sijil penuh dalam peperiksaan.

Dengan ini, ia hanya alat untuk kepentingan diri semata- mata, iaitu digunakan seseorang untuk memperoleh sesuatu encapaian untuk dirinya sahaja. Ia sepatutnya ikut dipelajari dari orientasi integratif, iaitu antaranya untuk mengetahuinya dengan lebih dekat lagi bagi menjadi ahli fungsional dalam komuniti bahasa Melayu. Dengan ini, mereka yang bukan Melayu khususnya, kelihatan berusaha menjadi sebahagian penting dalam komuniti nasional yang rata-ratanya daripada kaum Melayu.

Ini penting bukan sahaja kerana kaum Melayu kumpulan dominan di negara ini. Lebih penting lagi kerana bahasa Melayu bahasa negara ini. Sebagai bahasa negara, bahasa Melayu adalah bahasa rakyat Malaysia. Oleh itu, ia wajib diketahui dan dikuasai dengan baik oleh semua warganegara untuk digunakan dalam semua bidang pada setiap masa.

Meskipun begitu hakikatnya, namun malang sekali mereka ini langsung tidak dapat melihat kepentingan bahasa Melayu dalam peranannya sebagai bahasa negara. Malah konsep dan ideologi sedemikian langsung tidak ada pada pemikiran mereka. Ini dapat dilihat daripada respons mereka bahawa bahasa Melayu bukan bahasa antarabangsa dan hanya digunakan di wilayah kecil, iaitu di Nusantara.

Oleh itu, ia tidak perlu pun diketahui dengan baik, apatah lagi dikuasai pada peringkat tinggi. Sudah memadai ia diketahui dan dikuasai pada peringkat asas saja. Justeru bentuk bahasa pasar masih banyak digunakan untuk berkomunikasi dalam bahasa negara ini, walaupun negara sudah hampir 60 tahun merdeka.

Sebagai bahasa negara, bahasa Melayu tidak boleh selama-lamanya dituturkan dalam bentuk jelik begitu dan lebih teruk lagi tidak boleh dituturkan langsung oleh sesetengah warganegara. Dalam hal ini, seseorang warganegara Malaysia wajib mempunyai pengetahuan dan penguasaan yang baik terhadap bahasa negara.

Sehubungan keadaan malang ini, sebenarnya banyak persoalan yang wujud itu bukan sahaja boleh membawa kesan buruk dalam usaha membangunkan negara, khususnya dari segi pembentukan negara bangsa. Ia boleh ikut menjejaskan citra kita yang kelihatan kusam di luar negara. Kesan buruk dan citra kusam ini sebahagian besarnya berkisar pada nasionalisme dan nasionaliti.

Tiada perasaan bangga

Dalam hal ini, ke mana perginya perasaan bangga terhadap negara dan juga perasaan keterikatan kepada negara pada sesetengah daripada rakyat kita. Atau ia tidak perlu wujud pun dalamkalangan mereka ini. Seterusnya, apakah yang berlaku kepada sistem pendidikan kita yang sepatutnya mampu membangkitkan semangat kebangsaan dan menanamkan jati diri kebangsaan.

Bagaimana pula dengan Dasar Sosial Negara yang seharusnya ikut berjaya membangunkan negara dari segi kemasyarakatan? Sikap buruk kepada bahasa Melayu itu adalah penunjuk bahawa proses pembangunan negara, khususnya pembentukan negara bangsa, tidak berada pada landasan betul sehingga ada warganegara negara sedemikian rupa. Sesuatu perlu dilakukan segera sebelum sikap ini berleluasa.

Tags: bahasa, melayu
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments