kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kebebasan akhbar bukan sekadar lantang, tegak kebenaran

Dari 1 Februari hingga Selasa lalu, organisasi dan warga media di Indonesia menyambut Hari Pers Nasional (HPN) 2015 di Batam, Kepulauan Riau. Pada sambutan hari khas untuk memperingati peranan pers (press) ke-30 itu, boleh dikatakan setiap akhbar menyiarkan rencana, sidang pengarang, komentar, berita dan sebagainya mengenai media dan kewartawanan.

Tema sambutan tahun ini ialah 'Pers Sehat, Bangsa Hebat' yang menunjukkan hasrat media di Indonesia untuk membantu rakyatnya menjadi bangsa yang dihormati dan negara yang kukuh. Sebagaimana dinyatakan oleh Timbalan Presiden Indonesia, Muhammad Jusuf Kalla ketika merasmikan HPN, Isnin lalu, bahawa media dan pemerintah perlu
saling bergantungan.

Ini bermakna kerajaan memerlukan media untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat, manakala media memerlukan sokongan pemerintah, khasnya pemimpin untuk mendapatkan bahan berita yang berintegriti.

Negara besar dan kuat pun akan musnah jika medianya tidak berperanan membina pemikiran rakyat dan pembangunan negara. Begitu juga, negara kecil pun boleh menjadi kuat, maju dan dihormati jika medianya sama-sama membantu memajukan negara.

Peranan media

Media boleh membantu mewujudkan negara yang aman, makmur dan sejahtera jika benar-benar memainkan peranan yang diharapkan. Jika media bertindak melagalagakan sesama pemimpin atau mewujudkan ketegangan dalam kalangan rakyat, negara besar pun akan hancur manakala negeri yang kecil akan punah.

Sudah tentulah, jika medianya hanya berjuang untuk menegakkan hak dan kebebasan media, tanpa memikirkan kesannya, negara akan menerima nasib tidak baik - tepuk dada tanya selera. Dalam gerakan media di negara demokrasi, media memperjuangkan hak untuk mendapat kebebasan mutlak. Mereka tidak mahu dihalang untuk menulis apa sahaja atas nama kebebasan.

Mereka tidak memikirkan soal implikasi sesuatu berita disiarkan. Apa yang penting bagi mereka ialah kebebasan untuk menulis segala-galanya yang mereka fikirkan mempunyai 'nilai berita', tanpa sekatan dan larangan.

Mereka berpendapat hanya dengan cara itu menjadikan mereka berperanan untuk memperjuangkan keadilan dan kebenaran. Pada mereka, hanya dengan mempunyai hak membuat pilihan itu, mereka mempunyai kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat.

Di Indonesia, walaupun media diberi kebebasan yang begitu luas, mereka masih edar dengan tanggungjawab terhadap negara. Berasaskan kepada tema sambutan tahun ini jelas menunjukkan media akur dengan kepentingan untuk memperkuatkan bangsa dan negara Indonesia.

Perbincangan sesama pengamal media menunjukkan mereka percaya kebebasan dengan matlamat untuk membangunkan bangsa dan negara akan menjadi penentu kepada kejayaan negara demokrasi. Pada masa sama mereka mahu media bebas dan tidak terikat kepada mana-mana pengaruh bisnes dan politik pihak. Suasana yang positif ialah pengamal media tidak menutup pintu perbincangan berhubung isu media. Malah, perbincangan mengenai isu media meningkat ke tahap yang lebih tinggi.

Dalam suasana hari akhbar pun perbincangan sesama wartawan serta tulisan di media menunjukkan pula perjuangan untuk mewujudkan media yang bersih. Ini menunjukkan tahap memperjuangkan kebebasan media yang sudah pun wujud di negara itu, kini beralih pula kepada perjuangan baharu - mewujudkan media yang bersih.

Perjuangan untuk mewujudkan media yang bersih adalah satu keperluan baharu dalam dunia tanpa sempadan hari ini. Apa ertinya kebebasan media jika tindakan media itu boleh dipersoalkan, penuh dengan muslihat dan agenda tersendiri. Untuk menjadi media yang hebat dalam apa bentuk sekali pun, setiap organisasi, pemilik dan individu yang terbabit dalam media mestilah memenuhi prasyarat bahawa ia mestilah 'bersih dan dilihat bersih'.

Media tidak seharusnya berjuang untuk mendapat kebebasan semata-mata tetapi lebih penting ia mestilah bersih daripada segala prasangka. Ia mempunyai elemen ketelusan dan kejujuran.

Terap nilai bersih

Asas ke arah mewujudkan media yang sihat dan bangsa yang hebat ialah dengan menerapkan ciri-ciri dan nilai media yang bersih daripada pengaruh luar. Jika mereka masih terbelenggu dengan pengaruh manamana pihak, bermakna mereka gagal untuk mewujudkan media yang bersih.

Perbincangan mengenai kebebasan media sudah begitu lama dan belum selesai. Ia sering dikaitkan dengan dasar sesebuah negara yang tidak menyenangi sikap media yang mahu menulis apa sahaja atas nama kebebasan media. Mereka mencari, menyiasat, membongkar, mendedah dan menulis apa sahaja untuk membuktikan mereka mempunyai kebebasan.

Tulisan mereka sering menimbulkan konflik dengan pihak yang 'diserang' oleh media. Itulah sebabnya sering berlaku pertelingkahan antara kerajaan dan media. Atas dasar ini, usaha untuk mewujudkan media yang bersih, seharusnya menjadi perjuangan setiap organisasi media.

Semua media, sama ada menyokong pemerintah atau pembangkang, mesti ada etika untuk mewujudkan sebuah media bersih. Perjuangan ini perlu juga dicontohi oleh mereka yang menjadi 'wartawan alam maya'.

Tags: bebas, media
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments