kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tokoh berpengaruh yang sederhana

SEMALAM berpuluh-puluh ribu umat Islam membanjiri Pulau Melaka, Kota Bharu. Mereka yang datang bukan sahaja dalam kalangan pemimpin, ahli dan penyokong Pas bahkan umat Islam secara keseluruhannya termasuklah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Mereka hadir dengan satu matlamat iaitu memberikan penghormatan terakhir kepada seorang tokoh yang dianggap paling berpengaruh pernah dilahirkan oleh Pas iaitu Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Di laman-laman sosial seperti Facebook, blog dan Twitter dibanjiri dengan ucapan takziah oleh rakyat pelbagai peringkat tanpa mengira latar kaum, politik dan agama. Sememangnya pemergian Nik Aziz, 84, yang juga bekas Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am Pas amat dirasai oleh orang ramai.

Walaupun ketika hayatnya bergelumang dengan politik terutama ketika menjadi Menteri Besar Kelantan mulai 1990, Allahyarham dianggap tokoh politik paling kontroversi kerana kenyataan-kenyataannya namun sumbangan beliau terhadap perkembangan Islam di negara ini tidak boleh dinafikan.

Nik Aziz bukan sekadar ahli politik yang siang malam menghabiskan masa untuk mengekalkan kuasa terutamanya di Kelantan tetapi juga Allahyarham juga adalah seorang tok guru yang mengajar ilmu-ilmu agama melalui kuliah-kuliahnya.



GAMBAR bertarikh 17 Februari 2011 menunjukkan Nik Abdul Aziz Nik Mat membaca kenyataan Dr. Mahathir Mohamad berkenaan dirinya dalam akhbar Utusan Malaysia di pejabatnya di Kota Bharu, Kelantan.

Atas sebab itulah kembalinya beliau ke rahmatullah bukan sahaja dianggap kehilangan kepada perjuangan politik Pas tetapi juga umat Islam secara keseluruhannya terutama rakyat Kelantan. Pengaruh Allahyarham terlalu hebat dan ini diakui oleh kawan dan lawan.

Ketokohan dan kewibawaan Allahyarham dalam meraih sokongan khususnya umat Islam terhadap Pas cukup mengagumkan. Justeru tidak hairanlah dalam mana-mana pilihan raya sama ada pilihan raya kecil atau umum, poster wajah Allahyarham berdoa akan menjadi ‘modal’ paling ampuh untuk Pas meraih undi.

Malah kerana pengaruh itu juga, banyak pemimpin Pas menjadikan Nik Aziz sebagai `pelindung’ karier politik mereka. Begitu juga dalam pakatan pembangkang yang turut disertai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Walaupun senario itu dianggap tidak baik kerana boleh membawa perpecahan di dalam Pas namun itulah hakikatnya. Sebab itulah dalam isu tertentu Nik Aziz tidak akan teragak-agak membidas sesiapa sahaja yang cuba menggugat perjuangan Pas waima dalam kalangan pemimpin parti itu sendiri.


Nik Abdul Aziz Nik Mat bersalam dengan Dr. Mahathir Mohamad pada majlis pelancaran Minggu Saham Amanah Malaysia 2001 di Dewan Majlis Perbandaran Kota Bharu di Kelantan.

Ini terbukti apabila Allahyarham pada 13 Oktober tahun lalu menyifatkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas di Selangor, Saari Sungip (Hulu Klang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) sebagai tidak siuman sekiranya mengambil keputusan keluar parti.

“Mahu pindah parti, itu dia punya pasal. Tetapi kalau pindah juga ertinya dia akan berdepan dengan rakyat yang selama ini memilih dia kerana dia berkempen untuk Pas. Kempen untuk Pas, lepas pada itu, pergi parti lain pula. Ini orang tidak siuman kita panggil. Orang yang akil baligh mesti jaga lidah.”

Semua itu membuktikan betapa hebatnya pengaruh Allahyarham mencatur politik Pas dan pakatan pembangkang.

Berikutan ketokohan itu jugalah khususnya di Kelantan, orang melihat ‘Pas itu Nik Aziz, Nik Aziz itu Pas’, maksudnya pengaruh Allahyarham yang memungkinkan Pas mengukuhkan cengkaman politik di negeri itu sejak 1990.

Kehebatan pengaruh politik Allahyarham di negeri Cik Siti Wan Kembang itu menyebabkan banyak pihak melihat tiada orang lain yang layak menjadi Menteri Besar Kelantan selain beliau.

Bagaimanapun atas faktor usia dan kesihatan, biarpun mengekalkan keputusan bertanding kerusi DUN kawasan Chempaka pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham melepaskan jawatan berkenaan kepada Datuk Ahmad Yaakob.

Pengunduran Nik Aziz seolah-olah meninggalkan suasana suram kepada politik Kelantan. Pemimpin-pemimpin Pas sedia ada dikatakan tidak sehebat Allahyarham, malah pertembungan dalaman juga semakin ketara.

Justeru Nik Aziz terus menjadi pakar rujuk jika Pas menghadapi masalah. Kata-katanya biasanya diterima secara sebulat suara oleh semua pihak dalam Pas mahupun pakatan pembangkang.

Pada 16 November lalu, Allahyarham secara terbuka membidas tindakan beberapa pemimpin DAP yang mempersoalkan ketidakhadiran Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat sebagai, “kerja orang bodoh’.

Kenyataan itu memberi isyarat bahawa prinsip Allahyarham dalam mempertahankan rakan-rakan seperjuangan tidak boleh dipandang ringan oleh sesiapa juga yang cuba memperlekehkan pemimpin-pemimpin Pas.

Walaupun sepanjang karier politiknya, Allahyarham dilihat ‘amat memusuhi’ UMNO dan Barisan Nasional (BN) berikutan berbeza ideologi namun Allahyarham tetap mesra dengan pemimpin daripada seteru politiknya itu.

Atas sikap itulah ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad masih menjadi Perdana Menteri, Nik Aziz turut mengkritik tindakan pihak-pihak yang cuba mendapatkan sokongan asing bagi menggugat kerajaan pada masa itu.

Biarpun berbeza fahaman politik dengan Dr. Mahathir, beliau tetap menghormati bekas Perdana Menteri itu sebagai pemimpin serba boleh dan banyak berjasa kepada Malaysia.

Penulis masih ingat dalam satu pertemuan dengan Allahyarham pada 2003, ketika Dr. Mahathir mahu menyerahkan kuasa kepada penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi, penulis bertanya adakah beliau akan menghadiri majlis angkat sumpah di Istana Negara, Nik Aziz dengan tegas berkata; “Saya akan datang sebab Dr. Mahathir orang yang cukup berjasa kepada negara kita, kehadiran saya adalah tanda penghormatan saya kepada beliau.’’

Itulah Allahyarham Nik Aziz. Seorang ahli politik, tok guru dan ulama yang ditakdirkan oleh Allah SWT mewarnai arena politik negara.

Bak kata Perdana Menteri; “Malaysia telah kehilangan seorang pemimpin dan ilmuan Islam yang banyak berjasa. Walaupun kami berbeza pendapat dan pandangan tetapi kami berkongsi impian untuk Malaysia kekal sebuah negara aman dan makmur.’’ Al-Fatihah.

-
Tags: sederhana, tokoh
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments