kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Nikmati zaman siswa sepenuhnya

SEBILANGAN daripada anda pasti akan mengakui masa pengajian di kolej atau universiti adalah detik kehidupan yang paling signifikan. Ini tidak pula bermakna mereka yang tidak ke universiti langsung tiada detik seumpamanya.

Ada yang menggunakan kisah Steve Jobs tidak menamatkan pengajiannya, namun masih berjaya mengasaskan Apple, yang kini merupakan syarikat teknologi terulung di dunia. Jadi usah risau jika tidak ke universiti. Usah risau tiada markah A dalam UPSR. Untuk apa dibocor kertas peperiksaan tahun lepas?

Persaingan untuk mendapat tempat di universiti hari ini semakin sengit, terutama universiti awam yang menjadi rebutan kerana yuran pengajian yang jauh lebih murah daripada swasta. Sebenarnya, bukan hari ini sahaja tetapi dari zaman dulu lagi para siswazah sentiasa diberi peringatan tentang betapa bertuahnya mereka terpilih ke menara gading, daripada ribuan yang memohon. Insafkah?

Zaman universiti ini menjadi detik paling signifikan kerana ia adalah era perubahan daripada "budak sekolah" menjadi "budak U". Tidak perlu berpakaian seragam ke sekolah. Tetapi ini juga menjadi cabaran besar terutama kepada siswa lelaki. Dulu ada bonda gosokkan baju. Sekarang kena buat sendiri. Akibatnya selalulah muncul di bilik kuliah dengan baju bergosok di bahagian hadapan sahaja.

Zaman ini juga memperkenalkan kita kepada banyak orang baru yang bersedia menjadi sahabat, dan juga kekasih. Bukan banyak kekasih tetapi ini proses eksperimen. Tak serasi, kita eksperimen yang lain. Apa pun, banyak kes yang cemerlang. Seronok kita dengar pasangan sejoli di kampus, kini sudah berumah tangga malah menimang anak yang ramai.

Universiti juga mengajar erti disiplin diri. Waktu belajar kena disusun dan dipatuhi sendiri. Ada teman sebilik suka berseloroh rules are meant to be broken. Bukan berlagak. Cuma ia kaedah memperlahankan permainan (sebab sibuk eksperimen tilam dan bantal). Esok hari terakhir hantar tugasan, malam ini baharu hendak buka buku.

Aktiviti lain yang menyeronokkan ialah ko-kurikulum. Yang berbakat bersukan, boleh menjadi wakil universiti. Dalam kalangan rakan sebilik, semua mengelak daripada menyertai kelab pasukan berseragam. Tak larat berkawad tengah panas sebab semua anak cucu Putera Lilin. Kena mentari, nescaya cair dan pitam.

Satu aktiviti yang seronok ialah menyertai majlis perwakilan pelajar. Zaman saya dulu, pemilihan jawatankuasa berlangsung dalam suasana harmoni. Saya sendiri menang tanpa bertanding. Jawatan exco sahaja. Bukan bertanding presiden pun. Kerja exco seronok, dapat sertai program fakulti ke sana sini dan "cuti halal" daripada menghadiri kuliah.

Atas faktor ini jugalah saya hairan kenapa pemilihan pelajar sekarang tidak ubah macam pemilihan parti politik. Ada yang kata ia berlaku kerana wujudnya "penajaan" dan endorsement daripada parti. Maklumlah, universiti ialah kilang pengeluaran pemimpin. Tidak apa. Undang-undang pun dah dilonggarkan untuk pelajar berpolitik. Tetapi dengan syarat, sempurnakan dulu pengajian. Dapat ijazah, lepas itu hendak bertanding jawatan apa pun tidak mengapa.

Agak mengagumkan semakin banyak kursus pengajian di universiti yang berbentuk pengkhususan, seiring dengan keperluan semasa negara di abab ke-21 ini. Kursus seperti alam sekitar, sains pelancongan, strategik media dan sebagainya adalah sesuatu yang asing 10 tahun lalu.

Dewasa ini, bila direnungkan sejenak, mungkin ada dalam kalangan kita terfikir kenapa tidak mengambil jurusan pengajian tertentu? Akan ada yang menjawab, sudah pilih tapi UPU beri kursus lain. Ada juga mengaku, kelulusan SPM tidak cukup A untuk mendapat tempat. Tengok, SPM penentu. Bukan UPSR. Ibu bapa diminta bertenang, boleh? Tak dapat A dalam UPSR pun anak tetap dapat ke tingkatan satu. Fokuslah pada SPM. Tak dapat A, memang payah masuk universiti awam. UPSR jauh lagi.

Pilihlah kejuruteraan mekanikal, sesuai dengan kemajuan industri automotif negara dan global hari ini. Atau sains pelancongan, kerana dengan kemudahan kapal terbang bermakna semakin ramai akan melancong. Guna ilmu untuk naikkan mutu pelancongan negara. Lihat Sabah yang cukup teratur industri pelancongannya yang membolehkan anda mengatur pelan menerusi Internet. Atau pilihlah jurusan keusahawanan agar teori dan praktikal dunia perniagaan dapat diraih awal menuju ke tahap global.

Kalau boleh, ambillah jurusan kewartawanan. Sebab hari ini, siapa sahaja mahu jadi wartawan. Asalkan ada telefon pintar dan komputer riba, mereka menyiarkan berita ikut suka hati mereka. Wartawan dalam Facebook begitu ramai. Ulang siar (share) berita daripada entah apa-apa blog, dan diberi ulasan sendiri. Kemudian kawan-kawan tumpang sekaki. Sahih atau tidak, belakang kira. - Johardy Ibrahim Utusan Malaysia Rencana 15 Februari 20

Tags: siswa, universiti
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments