kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Awas pedofilia!

GANGSTERISM, vandalism, mencuri, buli di sekolah, pergaulan bebas, dadah, ganja, menghidu gam, lepak, rempit dan bermacam-macam lagi merupakan gejala sosial yang tak terbendung dalam kalangan remaja.

Sama ada sedar atau pun tidak, masalah sosial ini menjadi barah yang menular dalam masyarakat kita sehingga membawa kepada isu yang lebih serius seperti gay, homoseksual, lesbian, sodomi dan penderaan seksual terhadap kanak-kanak. Ia seakan bukan lagi berita asing yang muncul di dada-dada akhbar setiap hari.

Buat ibu bapa yang prihatin, kecenderungan anak-anak untuk terlibat sama ada sebagai pelaku ataupun mangsa, perlulah dibanteras sejak dari rumah. Bersikap ekstra prihatin dengan sosialisasi anak-anak semenjak kecil bukan semata-mata mengekang anak daripada mudah terpengaruh dengan gejala tidak baik, sebaliknya turut membantu mencegah penyebaran pengaruh budaya tidak sihat.

Penderaan seksual terhadap kanak-kanak

Sesetengah daripada kita masih asing dengan ungkapan pedofilia. Ia merupakan sejenis penderaan atau gangguan seksual melibatkan orang dewasa dan kanak-kanak. Awas, pelakunya mungkin mereka yang terdekat dengan kita!

Kamus Dewan edisi ke empat mendefinisikan pedofilia sebagai keinginan mengadakan hubungan seks dengan kanak-kanak. Pedofilia sejenis gangguan psikologi di mana individu dewasa tertarik secara seksual untuk melakukan seks dengan kanak-kanak atau menggunakan kanak-kanak yang belum baligh atau di awal baligh untuk kegiatan dan aktiviti seks mereka.

Kanak-kanak daripada setiap peringkat umur, bangsa dan status sosio ekonomi berpotensi menjadi mangsa penderaan seksual.

Berhati-hatilah dengan persekitaran dan pergerakan di sekeliling anda. Awasi setiap langkah anak-anak anda dan bersikap ekstra peka terhadap perubahan emosi mereka.

Punca pedofilia?

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga tahun 2006 menunjukkan 75% penderaan seksual kanak-kanak dilakukan oleh keluarga sendiri. Betapa ramainya anak kecil yang telah diperkosa tetapi takut mendedahkannya.

Ada kes pemerkosaan beramai-ramai berlaku dalam kalangan keluarga melibatkan datuk, ayah, sepupu, bapa saudara, ipar duai bermula seawal lima tahun. Atas desakan nafsu, anak kecil menjadi mangsa kerana mereka tidak mampu melawan. Pedofil (pelaku) semacam hilang akal sehingga menganggap kesakitan dan trauma yang dialami kanak-kanak sebagai cabaran yang menyeronokkan.

Kebebasan internet

Kita disarankan memangkin pembangunan minda kanak-kanak khususnya pendidikan dan hiburan agar tidak tersasar dari landasan sepatutnya.

Malangnya, dalam memperkayakan persekitaran yang kondusif untuk tumbesaran kanak-kanak di negara ini, kita terlalu alpa dan leka dengan kebebasan mutlak internet sehingga teknologi seperti gajet begitu mudah diberikan kepada kanak-kanak yang masih mentah.

Tahukah anda kebebasan melayari internet sehingga kanak-kanak terdedah dengan pornografi juga boleh menyebabkan obsesi seksual yang tidak terkawal? Akibat kelalaian ibu bapa dan pihak tidak bertanggungjawab dalam mengawal minda dan pergaulan anak-anak serta pengaruh hedonisme yang mengagung-agungkan kemewahan inilah yang telah meracuni fikiran. Gajet dan segala bentuk hiburan yang tidak terkawal inilah yang membantu anak-anak membesar mengejar keseronokan dan kenikmatan hidup secara negatif.

Budaya-budaya barat yang merebak ke dalam kehidupan kita mengajak manusia kepada pemenuhan tuntutan nafsu dan keseronokan semata-mata. Hilang panduan agama ditambah pula dengan sistem kehidupan meletakkan nilai-nilai Barat sebagai asas kehidupan masa kini membawa kepada tindakan manusia yang tidak rasional sehingga menjadikan kanak-kanak mangsa nafsu.

Keadaan menjadi lebih tragis apabila kanak-kanak yang dicabul telah dibunuh oleh pelakunya. Ancaman pencabulan kanak-kanak inilah yang menjadi ketakutan besar ibu bapa. Justeru, marilah kita sama-sama mewujudkan satu persekitaran yang kondusif, peka dan berhati-hati dalam kalangan masyarakat terdekat dengan kita.

Bermula dari rumah, seterusnya kita semaikan ukhuwah dengan guru- guru dan kakitangan sekolah anak-anak, rakan-rakan sekelas dan ibu bapa anak-anak kita. Semoga dengan menjalinkan kemasyarakatan yang baik, kita dapat mewujudkan hubungan harmoni sekali gus mengekang amalan tidak elok yang boleh mempengaruhi minda anak-anak kita, pemacu masa depan negara.
Tags: dera
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments