kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Penjawat Awam Berpengetahuan, Dinamik Namun Buta ICT

Lahir penjawat awam berpengetahuan, dinamik

KLUANG - Institut Tadbiran Awam Negara Kampus Wilayah Selatan (Ikwas) menganjurkan wacana bicara eksekutif bagi memberi pendedahan kepada penjawat awam agar lebih berpengetahuan, dinamik dan berprestasi tinggi, kelmarin.

Menerusi wacana tersebut seramai 500 penjawat awam dari Zon Selatan terlibat secara langsung dalam program yang julung kali diadakan di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Kluang, di sini.
Pengarah Ikwas, Dr Azani Salleh berkata, wacana itu selari aspirasi nasional 1Malaysia, 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' dan gagasan ‘Merakyatkan Perkhidmatan Awam’.

“Program ini merupakan sebahagian daripada pembangunan keupayaan dan kebolehan modal insan sektor awam seperti yang dihasratkan pemimpin negara dalam pentakrifan semula hala tuju latihan dan strategi pembelajaran.

“Transformasi Tadbir Urus dan Integriti dalam perkhidmatan awam telah dipilih sebagai tema program ini. Ia selari dengan isu dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara yang telah dibentangkan Ketua Audit Negara setiap tahun.

“Ikwas berhasrat melalui wacana bicara ini penjawat awam akan diberi pendedahan mengenai isu berbangkit supaya mereka dapat memikul cabaran masa hadapan demi mengekalkan tadbir urus yang terbaik,” katanya pada  majlis Wacana Bicara Eksekutif di Ikwas, Kluang, kelmarin.

Dr Azani berkata, dalam wacana bicara itu, Ikwas telah menjemput Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed untuk mengadakan sesi dialog berkongsi idea dan pandangan bersama penjawat awam di negeri ini.

Ujarnya, program itu adalah platform perbincangan bagi perkongsian perspektif dan pengalaman antara Nur Jazlan dengan penjawat awam.

“Kebanyakan peserta wacana ini adalah ketua jabatan kerajaan. Apa yang kita mahu perkongsian yang diperoleh dapat dikongsi bersama anak buah apabila mereka pulang ke jabatan masing-masing.

“Ikwas juga bercadang untuk meneruskan wacana seumpama itu pada masa akan datang dengan menjemput mereka yang pakar untuk memberi ceramah,” katanya. Wartawan Sinar Harian 11 Feb 2015

Penjawat awam buta ICT penghalang kejayaan

KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin berkata penjawat awam yang tidak celik teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) boleh menjadi penghalang kepada kejayaan pelaksanaan aplikasi ICT kerajaan dalam pelbagai perkhidmatan.

Beliau berkata penjawat awam yang tidak celik ICT juga bakal tercicir daripada arus perkembangan sektor perkhidmatan awam yang berubah secara pantas.

"Hampir semua urusan pada masa ini memerlukan bantuan ICT untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan, baik dalam bidang apa sekali pun termasuk perkhidmatan awam. Penjawat awam yang tidak mampu menghadapi cabaran ini akan tertinggal di belakang dari arus kemajuan perkhidmatan awam.

"Mereka juga berkemungkinan besar akan menjadi penghalang kepada kejayaan pelaksanaan aplikasi kerajaan terutama dalam usaha kerajaan yang menyarankan usaha kreativiti dan inovasi dalam menghasilkan produk ataupun perkhidmatan dengan lebih efisien dan menjimatkan," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berkata demikian semasa merasmikan seminar ICT bertemakan 'Pemerkasaan ICT Asas Pemantapan Integriti Penjawat Awam' di sini hari ini.

Justeru kata Yahya, kejayaan pelan transformasi negara ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi serta berdaya saing amat bergantung kepada keupayaan menguasai dunia siber dan ICT.

Bagi Sabah katanya, langkah negeri itu memasang rangkaian komputer dalaman (Intranet) yang dinamakan Sabah.net pada tahun 2000 amat tepat kerana di situlah bermula penggunaan mel elektronik ataupun e-mel dalam kalangan pentadbir negeri dan perkhidmatan awam negeri.

Katanya seiring dengan kemajuan itu, pihak Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri telah memainkan peranannya sebagai peneraju  perubahan perkhidmatan dengan menyediakan aplikasi untuk dilaksanakan oleh semua jabatan dan agensi kerajaan negeri.

"Mengikut Laporan Status Perkhidmatan Online oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) pada tahun 2013, kerajaan negeri Sabah adalah yang kedua paling banyak perkhidmatan online selepas negeri Perak. Kita ucapkan syabas dan terima kasih  kepada Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri yang banyak menyumbang kepada kejayaan tersebut," katanya.

Bagaimanapun kata Yahya, Sabah belum boleh berpuas hati dengan pencapaian tersebut sebaliknya perlu meneliti pencapaian tahap penggunaan aplikasi itu kerana difahamkan status penggunaannya masih belum mencapai 100 peratus.

Beliau menyarankan agar semua ketua jabatan dan agensi memastikan pegawai dan kakitangan mereka menggunakan setiap aplikasi yang telah disediakan. - Bernama Wartawan Sinar Harian 24 April 2014

Tags: ict, kerajaan, perkhidmatan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments