kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Penjawat Awam kaki culas

Tidak rasa terancam punca buat kerja sambil lewa

PENGANALISIS ekonomi berpendapat punca utama kakitangan awam culas ialah sistem kerja yang tidak mendesak untuk bersaing sehingga membuatkan mereka selesa dan tidak mementingkan prestasi.

Ahli Jawatankuasa Kluster Ekonomi dan Kewangan, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, meskipun penjawat awam diberikan imbuhan dan bonus yang besar namun masih tidak menjamin kualiti kerja yang diberikan kepada orang ramai.

“Sewajarnya bayaran bonus diberikan berdasarkan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditampilkan setiap penjawat awam.

“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu kaji semula kaedah mengukur kualiti pekerja. Malah jabatan itu juga wajar lebih telus dan fokus kepada kualiti kerja yang boleh diukur,” katanya.

Menurut beliau, penjawat awam yang tidak mencapai KPI yang disasarkan hanya layak menerima gaji bulanan seperti biasa tanpa bonus.

“Setiap pekerja perlu ada KPI untuk menentukan pemberian bonus dan kenaikan pangkat kena ada KPI yang jelas.

“Sekiranya gagal menampilkan kualiti dan prestasi kerja penjawat awam tidak menerima imbuhan, dengan garis panduan baru ini penjawat awam lebih peka,” katanya.

Abdul Rahim berkata, negara kita berdepan masalah keculasan penjawat awam ini kerana saiz jumlah perjawatan yang ramai.

“Situasi ini misalnya dalam satu jabatan memerlukan 10 orang kakitangan tetapi terpaksa lantik 20 orang kerana terdapat pekerja yang curi tulang.

“Perkara tidak sihat ini telah menyebabkan negara mengalami kerugian dalam bajet perbelanjaan operasi,” katanya.

Beliau berkata, negara berdepan kerugian kerana perlu lantik ramai kakitangan namun pada hakikatnya bilangan pekerja yang besar itu bertindih buat benda sama sebab dalam jumlah tersebut terdapat yang curi tulang.

“Sebelum ini pembayaran bonus kepada semua penjawat awam semua membuatkan mereka berasa selesa walaupun tidak menunjukkan prestasi kerja memberangsangkan.

“Pemberian bonus pada masa depan tidak boleh bayar satu bulan untuk semua. Berlaku pembaziran kerana penjawat awam yang cekap dan juga tidak cekap menerima insentif yang sama,” katanya. Wartawan Sinar Harian Rencana 16 Feb 2015


Gaji rendah faktor culas

TEKANAN
perasaan akibat menerima gaji tidak setimpal menjadi salah satu punca kakitangan awam culas dan penyampaian tidak berkesan.


Kakitangan awam berpangkat rendah antara yang kerap tidak bekerja dengan komited kerana hilang semangat akibat menerima gaji sedikit. (Gambar hiasan)


Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda berkata, perkara itu kerap terjadi di kalangan kakitangan awam berpangkat rendah.

“Kos sara hidup semakin meningkat, tangga kenaikan gaji pula sepatutnya disemak setiap tiga tahun. Tetapi apa yang berlaku kini, semakan kenaikan gaji setiap sepuluh tahun pun tidak dibuat. Jika gaji mereka rendah, mereka akan mengalami tekanan perasan hingga tiada semangat mahu bekerja dengan komited.

“Kadang-kala mereka terpaksa bekerja lebih masa dan dan ada yang bekerja secara sambilan atau membuat kerja lain untuk menambah pendapatan, jadi kualiti di tempat kerja sendiri merosot,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kadar kakitangan awam yang bersikap negatif seperti itu tidak terlalu ramai dan hanya dengan jumlah yang minimum.

“Kira-kira 3,000 sahaja dalam data yang Cuepacs ada atau 0.001 peratus yang menyumbang kepada masalah itu, berbanding jumlah kakitangan awam secara keseluruhan berjumlah 1.25 juta di seluruh Malaysia,” katanya.

Katanya, sebagai kakitangan awam, sukar untuk sesebuah institusi kerajaan itu membuang atau memberhentikan kakitangannya sewenang-wenangnya.

“Jika ada yang culas pun, agak sukar untuk kita kenal pasti dan jika berkaitan dengan kakitangan yang selalu berhubung atau berdepan dengan orang awam, agak terkesanlah kerana sukar untuk berurusan pula nanti.

“Untuk itu, dasar tersebut akan dikaji semula oleh kerajaan dan bagaimana untuk menentukan sesuatu hukuman jika berdepan dengan kakitangan awam bermasalah ini.

“Mungkin jika mereka bersara lebih awal boleh jadi salah satu cara untuk tangani masalah, tetapi memang agak sukar. Namun tidak perlu dirisaukan sangat kerana bilangan yang bermasalah memang sangat kecil,” katanya.


Penjawat awam culas kena terjah

KERAJAAN Selangor serius mengekang budaya culas penjawat awam yang sering melepak pada waktu kerja tanpa perasaan bersalah.
Unit Integriti SUK bertindak tegas meminta penjawat awam yang keluar ketika waktu kerja menulis nama untuk dihantar kepada ketua jabatan masing-masing.


Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, budaya curi tulang di kalangan penjawat awam ini bukanlah fenomena baharu. Walaupun pelbagai teguran dan amaran dikeluarkan, namun ia masih tidak meninggalkan kesan.

“Kerajaan telah berikan waktu kerja anjal kepada mereka iaitu masa masuk, rehat, makan tengah hari namun penjawat masih keluar melepak di kafe dan berpelesiran di luar bangunan.
“Budaya negatif ini perlu diubah segera, sekiranya terus dibiarkan negeri dan negara berdepan pembaziran tenaga kerja,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Jumaat lalu, Mohammed Khusrin bertindak menjalankan lawatan mengejut (spot check) di Kafe Dewan Jubli Perak dan gerai-gerai kecil di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) dan mendapati masih ramai penjawat awam bersarapan dan membeli-belah pada waktu kerja.

“Peringkat awal kita keluarkan notis amaran, kali kedua hantar nama kepada ketua jabatan untuk tindakan lanjut.

“Unit Integriti SUK Selangor akan memantau aktiviti ini dari semasa ke semasa dan tindakan tatatertib akan diambil. Diharapkan semua penjawat awam dapat mengubah budaya ini demi nama baik perkhidmatan awam,” katanya.

Mohammed Khusrin menegaskan terjahan ini bukan hanya dijalankan di Bangunan SUK malah unit integriti ini juga bergerak ke daerah seluruh negeri.

“Terjahan mengekang budaya mengular di kalangan penjawat awam ini bukan main-main.

“Kerajaan negeri serius mengubah budaya kerja tidak sihat seumpama ini di Selangor,” katanya.

Tambah beliau, tindakannya memuat naik gambar lawatan mengejut berkenaan di laman sosial Facebook bukan bertujuan menjatuhkan maruah penjawat awam, sebaliknya sebagai kesedaran agar mereka tidak mengulangi perbuatan itu serta teladan untuk kakitangan lain.

Sampai bila nak curi tulang?

SIKAP segelintir kakitangan awam curi tulang waktu bekerja ibarat kudis lama yang masih tidak pulih dalam sektor perkhidmatan awam.

Melihat kelibat mereka menghisap rokok selepas sarapan, walaupun jam menunjukkan 10.30 pagi di gerai-gerai bukanlah perkara asing.

Malah ada yang sanggup ke luar kawasan, semata-mata mahu menikmati makanan kegemaran mereka tanpa menghiraukan waktu bekerja.

Ada juga yang mengambil kesempatan berniaga dalam pejabat, melakukan urusan peribadi, urusan ke bank, mengambil dan menghantar anak ke sekolah dan pelbagai lagi kegiatan yang sinonim dengan budaya kerja segelintir penjawat awam.

Ini belum dikira dengan kedatangan lewat tetapi menuntut kerja lebih masa apabila pulang lambat.

Baru-baru ini juga, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi turut menegur penjawat awam di Selangor yang culas dan gagal memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Namun, kebanyakan mereka terus berasa selesa dengan pelbagai imbuhan tetapi mutu kerja yang diberi tidak setimpal.

Disebabkan segelintir perangai jelik penjawat awam ini, masyarakat terus memandang serong terhadap sektor awam walaupun yang melakukan perkara itu bukanlah semua.

Ikuti kupasan Sinar Harian dalam isu membabitkan segelintir kakitangan awam yang dilihat seolah-olah makan gaji buta dan tidak komited dalam menjalankan tanggungjawab hakiki mereka.
Tags: disiplin, kerajaan, perkhidmatan
Subscribe

  • Kisoh Igak Ikang

    Doh wak gane ni orrrkk , kisoh petang ning lepah ' minung bir' .... bace deh ... kawang daghi ganu ato ... jangang maghoh ke ambe plok ...…

  • Kursus Bahasa Untuk Penerbangan ~ Loghat Perthliess (Abi)

    Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Sat lagi kita nak mendaghat di Lapangian Teghebiang Cupin Tali pinggiang tu tulung pakai takut nye pelantin pi depan sat…

  • Online education must continue

    Learning sessions and approaches through educational television will be taken to provide students without access to the internet but access to…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments