kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kalaulah pelakunya Muslim ...

Pembunuhan tiga pelajar Islam yang ditembak di kepala di sebuah apartmen di Chapel Hill berdekatan dengan Universiti North Carolina di Amerika Syarikat (AS), Selasa lalu tidak begitu mendapat perhatian media AS, termasuk Washington Post atau New York Times, apatah lagi media berpengaruh di dunia seperti CNN.

Pendekatan laporan mereka juga bukan bertaraf 'breaking news,' sekadar melaporkan berita pendek pembunuhan itu dilakukan seorang lelaki ateis tanpa mengaitkannya langsung dengan politik, rasisme atau agama dianuti penyerang terbabit, Craig Stephen Hicks yang berumur 46 tahun. Seboleh-bolehnya mereka mahu menekankan pembunuhan itu tiada kaitan dengan Islamofobia, sama seperti kes pembunuhan lain yang membabitkan orang Kristian dan Yahudi.

Media arus perdana AS anti-Islam

Adakah situasi ini sama jika pelakunya orang Islam dan yang terbunuh pula penduduk Kristian atau Yahudi? Inilah persoalan yang berlaku ketika ini di AS. Ribuan pengguna Twitter mempersoalkan 'kebebasan media' dan keadilan sosial yang dicanangkan di Barat yang membabitkan orang Islam. "Anda tidak akan menyaksikan berita ini kerana yang dibunuh Muslim," tulis seorang pengguna Twitter, yang mengulang tweet lebih 1,400 kali. "Apakah keimanan mereka melatari keputusan tidak menyiarkan peristiwa ini. Jika pembunuhnya Muslim dan korbannya Kristian atau Yahudi, seluruh media arus perdana akan mengorek sedalam-dalamnya dan bebas memaki-hamun Islam dan seluruh Muslim di dunia," tulis pengguna Twitter lainnya.

Walau apa alasan diberikan, pihak berkuasa di negara Uncle Sam itu, keadilan perlu ditegakkan, apatah lagi negara itu sudah memberi jaminan akan mengenakan hukuman yang berat ke atas mana-mana individu yang terbabit dengan jenayah kebencian. Perlu diakui, media Barat turut menyumbang kepada peningkatan jenayah kebencian ini apabila menyiarkan laporan yang suka berspekulasi dan melabel dengan pelbagai kejahatan kepada individu atau pertubuhan Muslim, sekali gus meningkatkan lagi Islamofobia di seluruh dunia. Tidak boleh ditolak kemungkinan sentimen dan kejahatan anti-Muslim yang sebahagiannya didorong oleh satu sisi sempit, sensasi, dan kefanatikan media Barat dalam menggambarkan Islam dan Muslim.

Liputan berita tak adil

Ramai ilmuwan, antaranya Edward Said, Elizabeth Poole, Kai Hafez, Milly Williamson, Karim Karim, Teun Van Dijk, Kimberly Powell dan Dina Ibrahim yang membuat penyelidikan akademik mengenai liputan media Barat ke atas Islam dan Muslim, mendapati umat Islam sering digambarkan dengan ciri-ciri kekerasan, kuno, fundamentalis dan mengancam peradaban Barat. Liputan berita media Barat juga jarang menyoroti Islam kecuali kaitannya dengan kekejaman dan Islam jarang disebutkan dalam konteks berita yang positif atau baik. Malah, liputan mengenai konflik kekerasan global atau bersifat serantau juga tidak adil. Ketika orang Kristian, Yahudi dan agama lain dibunuh oleh Muslim, Islam dikaitkan sebagai pihak bertanggungjawab dan memainkan peranan secara langsung. Namun, ketika umat Islam dibunuh oleh orang Yahudi, Kristian dan bukan Islam lain, identiti keagamaan pelaku kekerasan yang menyerang Islam cenderung dianggap sebagai hal yang remeh, diabaikan dan tidak diberikan perhatian langsung.

Azhar Abu Samah Berita Harian Kolumnis 16 Feb 2015
Tags: pengganas
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments