kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Isu pendidikan Sabah, Sarawak patut diutama

Ketika menjadi pengetua sekolah sekitar 20 tahun lalu, setiap tahun saya berhadapan masalah guru hendak bertukar tempat bertugas dan kekurangan guru terlatih. Selepas beberapa tahun, ada guru memohon untuk kembali ke tempat asal mereka.

Sekolah sering menjadi tempat 'berlatih' untuk mereka yang baharu lulus dari maktab perguruan dan universiti. Sedangkan sekolah amat memerlukan guru terlatih berpengalaman. Kekosongan yang ditinggalkan, diisi oleh mereka yang baru lulus dan putaran ganas itu berterusan saban tahun. Masalah sedemikian tentu dapat diatasi jika guru dari kalangan anak tempatan menjadi pendidik.

Tahun ini Sarawak memerlukan 2,432 guru, sedangkan jumlah guru tempatan hanya 601 orang, jadi perlu bergantung kepada guru dari Semenanjung. Mereka mahu lebih banyak peluang diberi kepada calon tempatan. Isu ini amat sensitif dan mereka mahu diambil kira juga aspek latar belakang etnik, termasuk memberi keutamaan khas kepada calon guru daripada etnik minoriti.

Kaji syarat kemasukan

Kementerian Pendidikan sedang mengkaji syarat kemasukan pelajar Sabah dan Sarawak bagi meningkatkan jumlah pengambilan guru baharu dari kedua-dua negeri terbabit. Merekalah yang akan kembali ke pangkuan masyarakat mereka untuk mendidik anak tempatan. Tanpa menafikan perlunya guru dari Semenanjung bagi tujuan integrasi nasional dan atas keperluan yang tidak dapat dielakkan bagi bidang tertentu, memang banyak kebaikannya jika anak tempatan mengajar di tempat mereka selepas menjalani latihan profesional.

Ada guru dari tempat lain dihantar mengajar di kawasan luar bandar, memohon untuk dipindahkan ke sekolah lain di bandar ataupun di tempat asal kerana tidak dapat menyesuaikan diridengan kawasan luar bandar. Guru tempatan lebih faham akan masalah, isu dan aspirasi masyarakat mereka. Mereka ini pasti dapat menjadi teladan dan motivasi kepada pelajar yang dididik.

Bukankah ini akan membantu untuk meningkatkan jumlah anggota masyarakat yang terdidik, pada jangka panjang? Tentu tidak adil, untuk menggunakan kayu ukur yang sama bagi calon guru dari luar bandar daripada etnik minoriti tertentu dari pedalaman Sabah dan Sarawak. Mereka ini kekurangan dari pelbagai segi, termasuk pendedahan kerana tinggal di pedalaman. Memasukkan mereka dalam kumpulan besar permohonan dan melalui sesi temu duga serta pemilihan yang ketat berdasarkan merit, bersamasama calon lain dari seluruh negara, adalah tidak adil. Tentu peluang mereka untuk terpilih adalah tipis.

Memang diakui, berbeza daripada 30 tahun lalu, kini persaingan untuk menjadi guru adalah sengit. Ketika itu, bidang perguruan bukan menjadi keutamaan anak muda, tetapi kini dengan kesukaran mendapatkan pekerjaan, mereka beranggapan, memasuki IPG atau mengikuti kursus perguruan dan pendidikan adalah lebih baik. Pekerjaan hampir terjamin meskipun masih ada siswazah yang enganggur. Pengorbanan beberapa tahun mengikuti kursus berkenaan berbaloi kerana gaji guru lumayan.

Guru sandaran

Sebelum ini, pihak sekolah dibenarkan mengambil guru sandaran tidak terlatih untuk menggantikan tempat guru bersalin, bersara atau menyambung pelajaran. Kehadiran mereka dapat mengatasimasalah kelas tanpa guru. Kini kementerian menetapkan syarat hanya guru daripada jurusan pendidikan dibenarkan memohon.

Suatu ketika, guru sandaran diberi peluang mengikuti kursus peningkatan diri pada masa cuti. Peluang diberikan mampu melatih guru sandaran ini menjadi guru berkelayakan. Seharusnya tidak timbul kekurangan guru kerana ramai anak tempatan memohon dan berazam tinggi menjadi guru. Mengapa tidak diberi peluang kepada golongan ini untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perguruan di IPG atau universiti berkaitan?

Guru sandaran masih diperlukan kerana negeri terbabit menghadapi kekurangan guru terlatih dan guru lulusan jurusan pendidikan. Kita memerlukan guru tempatan daripada pelbagai etnik dan agama, yang berkelayakan, komited dan bermutu bagi mengangkat kualiti dan martabat pendidikan dan bidang perguruan. Segala langkah perlu diambil untuk mengatasi masalah berkaitan kemudahan pelajaran, termasuk guru terlatih.

Selain menangani kekurangan bilik darjah, bangunan sekolah, rumah guru dan asrama yang uzur, jurang elaun perumahan yang jauh berbeza antara guru tempatan dan Semenanjung, masalah kekurangan guru terlatih perlu ditangani. Pandangan pemimpin dan rakyat dari kedua-dua negeri itu perlu diambil kira dalam perancangan bidang pendidikan. Kita mahu memastikan kualiti pelajaran di Sabah dan Sarawak setaraf dengan sekolah terbaik di negara ini. Kita mahu memastikan ada sekolah dari kedua-dua negeri terbabit termasuk dalam senarai 20 sekolah terbaik di negara ini. Ini tentu baik untuk masa depan semua. Jeniri Amir Berita Harian Kolumnis 18 Feb 2015

Tags: pendidikan
Subscribe

  • Education is a learning curve

    TERTIARY level students, especially those in their final year, are a step away from graduation and have one foot in the working world. I must admit…

  • Online education must continue

    Learning sessions and approaches through educational television will be taken to provide students without access to the internet but access to…

  • There are more things than PPSMI 2.0

    The PPSMI issue is back in the news. The BM Linguistic group is again against the proposal. It is seen as a one-man show by an obsessed man and…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments