Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Datuk Mohamed Sabri Mohd Arsad berkata, perkara berkenaan wajar dilakukan kerana guru dari negeri-negeri berkenaan lebih mengenali budaya masyarakat di sana.
"Sebahagian guru-guru dari semenanjung Malaysia tidak dapat dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di sana dan ada segelintir yang hanya menganggap perkhidmatan mereka di negeri-negeri tersebut hanyalah sementara.
"Keadaan ini sememangnya berlaku dan apabila mereka (guru dari semenanjung) bertukar pulang ke semenanjung, akan berlaku kekurangan tenaga pengajar di Sabah dan Sarawak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Kelmarin, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pihaknya bercadang mengambil lebih ramai calon guru pelatih dari Sabah dan Sarawak mulai tahun ini bagi memenuhi kekosongan di sekolah di negeri berkenaan.
Katanya, calon dari dua negeri tersebut penting untuk mengisi kekosongan guru memandangkan bilangan mereka terpilih sebelum ini tidak dapat menampung keperluan di negeri itu.
Calon Sabah, Sarawak diutamakan isi kekosongan
BESUT - Rancangan untuk mengambil lebih ramai calon guru pelatih dari Sarawak dan Sabah mulai tahun ini adalah bagi memenuhi kekosongan tempat di sekolah-sekolah di negeri berkenaan.
Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, calon dari kedua-dua negeri berkenaan penting bagi pengisian kekosongan tersebut kerana bilangan mereka yang terpilih sebelum ini tidak dapat lagi menampung keperluan di negeri-negeri berkenaan buat masa ini.
“Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengambil lebih ramai calon guru pelatih dari Sarawak dan Sabah seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini diharapkan tidak dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu kerana usaha itu ikhlas bagi membantu negeri-negeri berkenaan,” katanya kepada pemberita di Jerteh di sini malam tadi.
Menurutnya, KPM akan meletakkan sasaran bagi menentukan bilangan yang akan diambil agar ia bersesuaian dengan keperluan Sarawak dan Sabah untuk pendidikan masa depan.
Idris berkata, sebelum ini KPM menetapkan syarat calon bagi pelatih guru sekurang-kurangnya memperoleh kelulusan 7A bagi calon Semenanjung dan 5A bagi calon Sarawak dan Sabah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dalam perkembangan lain, Idris berkata sebuah lagi politeknik baharu bernilai lebih RM180 juta akan dibina di Bukit Keluang, Besut, tahun depan.
Katanya buat permulaan Politeknik Besut akan mula beroperasi di Alur Lintang Besut dengan menyewa beberapa buah bangunan kedai bagi membolehkan para pelajarnya memulakan sesi pengajian mulai pertengahan tahun ini.
Idris berkata setakat ini terdapat 32 politeknik di seluruh negara termasuk lima buah Politeknik Metro yang beroperasi khususnya secara online dan pendidikan jarak jauh bagi golongan pekerja industri. - Bernama
SInar Harian Rencana 16 Feb 2015